Realism Dan Liberalism

January 29, 2018 | Author: Joey Alwy | Category: N/A
Share Embed Donate


Short Description

Realism Dan Liberalism...

Description

Perspektif Realisme dan Liberalisme Realisme Perspektif Realisme dan Liberalisme merupakan dua pendekatan yang penting dan sangat berguna dalam mengkaji hubungan antarabangsa. Pengkaji harus memahami dan mengetahui lebih mendalam akan kedua-dua pendekatan ini supaya boleh menganalisis hubungan antarabangsa mengikut kesesuaiannya. Pendekatan-pendekatan tersebut amat berguna bagi pengkaji dalam menjelaskan sesuatu perkara seperti tercetusnya sesuatu peperangan atau konflik antarabangsa. Dengan ini, pengkaji mampu mengetahui dan memahami sesuatu tindakan dan keputusan yang bakal atau telah diambil oleh aktor negara-negara dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi. Pendekatan Realisme adalah satu perspektif yang menekankan kepada negara atau state yang bersifat unitary dan berperanan sebagai aktor terpenting yang bersifat rasional, serta hubungan antarabangsa adalah bentuk tindakan dan interaksi di antara aktor negara. Manakala Liberalisme merupakan perspektif dalam kajian hubungan antarabangsa yang melihat bahawa aktor bukan kerajaan atau aktor non-state yang penting dalam hubungan dan politik antarabangsa, namun pendekatan ini tidak menafikan kepentingan peranan state. Kedua-dua perspektif ini mempuyai mempunyai penekanan yang berlainan, perspektif Realisme menekankan kepada konsep kuasa dan keseimbangan kuasa, manakala perspektif Liberalisme lebih mementingkan kepada konsep kebergantungan dan hubungan transnasional dalam kajian hubungan antarabangsa.

Realisme merupakan perspektif dominan dalam mengkaji hubungan antarabangsa terutamanya pada abad ke-20, lebih-lebih lagi pada masa Perang Dunia pertama sehingga dengan pasca Perang Dunia kedua, dan Perang Dingin. Ramai penulis yang mengeluarkan dasar-dasar pemikiran Realisme, di antaranya dapat dikenalpasti iaitu seperti Thucydides dalam karya Peloponnesian War(460-406SM), Sun Tzu dalam The Art of War, Thomas Hobbes dalam Leviathan(1588-1679), dan Niccolo Machiavelli dalam The Prince(1469-1527). Pada perkembangan lebih lanjut, muncul Realis lain seperti E.H. Carr, Hans Morgenthau, Schelling, dan Kenneth Waltz pada akhir 1930-an.

Secara umumnya, perspektif Realisme dapat dijelaskan dalam beberapa prinsip yang menentukan sesuatu tindakan dan keputusan yang diambil oleh aktor antarabangsa. Bentuk konflik dan kerjasama yang berlaku di antara aktor adalah dalam suasana dunia yang bersifat anarki , iaitu dalam satu keadaan huru-hara yang tiadanya sesebuah kerajaan agung yang mampu mengenakan peraturan antarabangsa. Isu-isu keselamatan adalah isu yang penting dan paling berpengaruh bagi sarjana pendekatan ini. Pertama, negara atau state adalah aktor utama dalam politik antarabangsa. Realis menganggap bahawa negara merupakan satu-satunya unit terpenting dalam menyelesaikan konflik antarabangsa dan setiap tindakan yang diambil. Dalam pendekatan Realisme, hubungan antara negara adalah saling berkaitan dalam sistem negara antarabangsa. Hubungan yang terjalin antara negara-negara boleh

ditentukan oleh kepentingan masing-masing dalam masyarakat antarabangsa. Negara adalah organisasi yang tertinggi kerana mempunyai cirri-ciri dan kepentingan tersendiri. Realis juga menganggap bahawa aktor bukan negara kurang penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau membuat keputusan negara.

Konsep kedua dalam pendekatan Realisme adalah state merupakan aktor yang unitary, hanya iaitu negara ialah unit yang satu-satunya dalam menghadapi dunia luar yang dianggap bersifat anarki. Realis berpendapat bahawa state atau negara ialah satu unit yang berintegrasi, state mempunyai satu dasar atau pandangan sebulat suara terhadap sesuatu masa dan isu-isu tertentu. Perbezaan pandangan adalah tidak penting, yang penting bagi state adalah masalah mampu diselesaikan oleh negara tersebut. Realis menganggap bahawa isu negara adalah isu penting, manakala isu berkaitan dengan bukan state iaitu isu pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan sukarela, atau individu-individu adalah kurang penting dalam pengamal perspektif Realisme ini.

Pendekatan Realisme dalam konsep ketiga adalah state adalah bersifat rasional. Hal ini adalah disebabkan Realis berpendapat bahawa staste adalah sentiasa bertindak rasional dalam membuat sesuatu keputusan. Matlamat semua negara adalah berpegang pada prinsip memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan risiko atau kerugian negara. Hal ini kerana, Realis menganggap bahawa demi mencapai kepentingan negaranya, state harus bertindak rasional dalam menyelesaikan sesuatu masalah dalam menghadapi dunia yang anarki ini. Dunia anarki inilah yang mendorong state supaya sentiasa bertindak berdikari tanpa bergantung pada orang lain dalam membuat keputusan. Sifat dunia yang anarki di sini bermaksud ketiadaan satu kuasa yang agung dan mampu membuat keputusan bagi menjamin kesejahteraan sesuatu negara. Jadi, state harus bertindak secara sendiri dalam memastikan negara tidak menanggung risiko besar dan membawa kepada peperangan atau konflik sesama sendiri atau dengan negara lain. Chamil Wariya mentakrifkan bahawa konflik antarabangsa sebagai konflik yang melibatkan dua negara atau lebih yang berpendirian bertentangan. Hal ini berlaku kerana keduadua negara itu mengejar matlamat-matlamat yang bercanggah mengenai isu-isu tertentu dan jika masalah tidak diselesaikan dengan baik, akan menyebabkan hubungan antara kedua-dua pihak tegang sehingga boleh mencetuskan peperangan sekiranya tidak dikawal. Sebagai contoh, Realis berpendapat bahawa Amerika Syarikat telah bertindak secara rasional dengan mengambil tindakan untuk menyerang negara Iraq pada ketika Perang-Kuwait 1990. Hal ini kerana, Realis menganggap Amerika Syarikat telah mengambil keputusan untuk mempertahankan kepentingannya di Kuwait dan mampu menyelamatkan negara Kuwait daripada kemusnahan serta mengalami kerugian yang besar.

Konsep yang keempat dalam perspektif Realisme adalah keselamatan dan ketenteraan. Isu ketenteraan dan keselamatan adalah isu antarabangsa yang menduduki hierarki tertinggi dalam sesebuah negara. Persoalan-persoalan keselamatan lebih diutamakan daripada isu-isu lain. Contohnya, konflik dan potensi berlakunya konflik adalah lebih ditakuti, jadi state lebih menekankan kestabilan

politik antarabangsa. Realis mengkaji bahawa bagaimana meletusnya kekacauan, cara menyelesaikan konflik, serta cara mencegah keganasan dalam state. Realisme menganggap bahawa kekuasaan merupakan konsep negara yang penting dengan membahagikan politik kepada dua iaitu politik tertinggi (high politics) dan politik terendah (low politics). Politik tertinggi termasuklah isu-isu strategi dan ketenteraan yang dianggap penting,manakala isu-isu ekonomi, sosial, dan alam sekitar termasuk dalam politik terendah yang dianggap kurang penting oleh Realis. Bagi Realis, adalah sifat manusia yang secara semula jadinya sukakan peperangan, maka ketenteraan yang kuat adalah kekuatan bagi sesebuah negara. Malah, sifat semula jadinya manusia yang sentiasa takut akan kekalahan dan takut dikuasai orang lain mendorong mereka untuk berusaha meningkatkan keselamatan negara dengan contoh, meningkatkan kuasa ketenteraan.

Menurut Thomas Hobbes, konflik antara individu bersifat semula jadi kerana setiap individu menurut peraturan semula jadi ataupun primitif. Peraturan kehidupan yang dikatakan primitif kerana manusia bertindak mengikut naluri masing-masing (yang jahat) seperti mana haiwan bertindak. Namun beliau secara optimisnya berpendapat bahawa keadaan tersebut dapat dibendung hasil permuafakatan antara manusia dalam perjanjian yang beliau gelar kontrak sosial. Hobbes turut mendakwa bahawa permuafakatan ini timbul hasil daripada kesedaran semua individu yang berkongsi kepentingan bagi menamatkan konflik dan membentuk kehidupan yang aman damai. Pendapat Hobbes ini sesuai menggambarkan senario sesebuah negara, ia turut berkait rapat dengan senario yang berlaku di peringkat antarabangsa. Pendekatan Realisme dengan Liberalisme mempunyai perbezaan yang cukup jelas menurut pengkaji-pengkaji hubungan antarabangsa. Contohnya, pandangan tokoh Liberalis misalnya John Locke yang telah mengemukakan bahawa keadaan di Britain selepas 50 tahun abad ke17, yang lebih baik dan aman boleh dibentuk berbanding dengan pandangan tokoh Realisme Thomas Hobbes yang menganggap bahawa keadaan Britain sebelumnya adalah kacau-bilau dan perang saudara sering terjadi serta tekanan sosial dan desakan yang tidak menjamin keselamatan negara itu.

Liberalisme Perspektif Liberalisme pula merupakan pendekatan yang berbeza dan menolak prinsip Realisme. Tokohtokoh Liberalisme adalah seperti John Locke (1632), Jeremy Bentham (1748-1832), Immanuel Kant (1724-1804), dan ramai lagi. Perspektif ini tidak menafikan peranan state sebagai aktor penting, sesebuah state bagi Liberalis tidak semestinya bersifat rasional dan unitary aktor sebagaimana yang didakwa oleh Realis. Hubungan antarabangsa adalah lebih luas dan tidak hanya mementingkan kepada persoalan keselamatan dan ketenteraan sahaja. Konsep utama Liberalisme yang menekankan bahawa aktor utama bukan sahaja state, namun aktor non-state, iaitu bukan kerajaan juga penting. Aktor bukan kerajaan iaitu organisasi-organisasi antara kerajaan IGOs dan organisasi-organisasi bukan kerajaan INGOs seperti PBB, WTO, IMF, The Japan-US Alliance, APEC, ASEAN, SEATO, NATO, Liga Arab dan banyak lagi. Kesemua organisasi tersebut

mempunyai peranan tersendiri dan berbeza dari segi saiz dan keupayaannya. Aktor-aktor ini juga mempunyai kekuatan dan berupaya dalam membuat keputusan mengenai isu-isu tertentu dan mendapat maklumat-maklumat mungkin tidak mampu kerajaan lakukan. Organisasi-organisasi tersebut turut mempunyai kepentingan politik menurut Liberalis. Liberalis menganggap bahawa aktor bukan kerajaan ini berupaya dalam mempengaruhi state seperti membuat sesuatu keputusan dan tindakan.

Konsep kedua dalam Liberalisme, menolak bahawa state itu adalah sifat unitary seperti mana Realisme ertikan. Hal ini disebabkan, Liberalis mengatakan bahawa keputusan-keputusan yang dibuat menggabungkan kerajaan, birokrat-birokrat, pentadbiran-pentadbiran tertentu, malah mungkin juga pandangan-pandangan individu tertentu. Contohnya, The Japan-US Alliance dan SEATO mempunyai maklumat-maklumat berguna dan penting dalam membuat keputusan-keputusan berhubung dengan ketenteraan dan keselamatan negara. Contoh lain seperti APEC dalam persidangan pada peringkat pegawai-pegawai, menteri-menteri, dan ketua-ketua Negara telah berjaya merapatkan hubungan di antara negara-negara anggota. Malah, APEC turut berjaya menjelaskan kedudukan hubungan dan pendirian sesebuah negara terhadap isu-isu semasa yang berlaku dalam sesebuah negara yang terlibat. Tindakan-tindakan yang dilakukan oleh aktor-aktor bukan kerajaan turut mempengaruhi bentuk ekonomi yang kebanyakannya menjadi agenda dalam politik antarabangsa. Malah turut mempengaruhi keputusan dan tindakan kerajaan dalam melindungi kepentingan masing-masing. Organisasi-organisasi tersebut lebih dikenali sebagai organisasi antarabangsa membantu memenuhi fungsi-fungsi yang berguna dalam hubungan antarabangsa. Oleh itu, dalam pendekatan Liberalisme; selain state, aktor bukan state tidak boleh dinafikan kepentingannya, walaupun peranan state sebagai aktor terpenting bagi menentukan corak hubungan tersebut, peranan aktor bukan kerajaan juga tidak boleh diabaikan.

Konsep Liberalisme seterusnya adalah state tidak selalunya bertindak secara rasional seperti mana yang didakwa oleh Realis. Liberlis tidak bersetuju bahawa state sentiasa membuat keputusan dan bertindak secara rasional. Hal ini berlaku kerana, terdapat pertembungan dan perselisihan tertentu dalam proses membuat keputusan yang menyukarkan sesebuah state memilih yang terbaik dalam berasaskan matlamat memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan kos serta risiko. Liberalis berpendapat bahawa sesebuah negara kadang-kadang juga bertindak mengikut perasaan dan bukan rasionalnya, oleh itu tercetusnya peperangan atau konflik antara negara yang akhirnya merugikan negara sendiri. Sebagai contohnya, Liberalis menganggap bahawa Iraq telah bertindak menyerang Kuwait pada tahun 1990 bagi menguasai kekayaan hasil minyak Kuwait adalah tidak rasional. Hal ini kerana, Iraq tidak mempunyai data-data yang mencukupi berhubung Kuwait dengan Amerika Syarikat yang sememangnya Amerika Syarikat mempunyai kepentingan terhadap Kuwait pada masa itu. Hal ini menyebabkan Iraq diserang oleh Amerika Syarikat yang lebih kuat dari segi ketenteraannya sehingga Iraq kalah dan mengalami kerugian besar. Maka, jelas bahawa tindakan negara Iraq tidak membawa kepada keuntungan malah terpaksa menanggung risiko kerugian yang besar. Liberalis turut mengkritik bahawa Amerika Syarikat tidak bertindak secara rasional dengan menyerang negara Vietnam dalam Perang AS-Vietnam II pada tahun 1964-1975. Hal demikian kerana, Amerika Syarikat telah kalah dalam

peperangan tersebut dan menyebabkan negara tersebut kehilangan seramai 50000 tentera dan terpaksa menanggung kos yang tinggi dalam usaha memulihkan keadaan ekonomi negara. Amerika turut menghadapi tekanan yang besar dari dalam negara.

Seterusnya, konsep keempat dalam perspektif Liberalisme menegaskan bahawa faktor keselamatan dan ketenteraan bukan sahaja penting, tapi isu-isu lain seperti ekonomi, sosial, dan alam sekitar juga amat penting dalam sesebuah state. Liberalis mengatakan bahawa agenda hubungan antarabangsa adalah lebih luas dan hubungan antara politik negara adalah amat berkait rapat dengan isu-isu ekonomi, sosial, dan alam sekitar. Menurut Liberalis. isu-isu politik, ekonomi, sosial, dan alam sekitar adalah saling bergantungan dan mempengaruhi antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Isu-isu tersebut adalah saling berhubungan sesama sendiri dalam sesebuah negara. Liberalis mengatakan bahawa agenda hubungan antarabangsa tidak seharusnya didominasi atau difokuskan pada isu-isu yang berkaitan dengan ketenteraan dan keselamatan semata-mata. Isu-isu mengenai ekonomi, sosial dan pembangunan, kependudukan, ekologi, serta alam sekitar tidak harus diketepikan oleh state dan dianggap sebagai politik terendah (low politics) kerana semua tersebut saling bergantungan dan saling mempengaruhi di antara satu sama lain. Oleh yang demikian, isu-isu seperti perdagangan antarabangsa, pembangunan dan kebajikan, ekonomi dan kewangan, ekologi, serta alam sekitar dan sumber tenaga semuanya dianggap sama mustahak dengan isu-isu ketenteraan dan keselamatan. Hal ini sukar dipisahkan di antara satu sama lain kerana isu-isu tersebut adalah saling bergantungan.

Penglibatan pelbagai jenis aktor dalam sesuatu isu hubungan antarabangsa memerlukan penjelasan dan pengisahan secara rasional dan sistematik mengenai sesuatu isu tertentu dalam pendekatan yang sesuai. Tugas tersebut bukanlah senang dan selalunya dalam usaha bagi menjelaskan isu-isu tersebut melibatkan pelbagai pandangan dan pengertian. Salah satu cara yang diaplikasikan oleh pengkaji hubungan antarabangsa bagi menyelesaikan masalah kepelbagaian dalam aktor dan pengaruh-pengaruh yang dihasilkan adalah mengkategorikan isu-isu dalam pendekatan yang sesuai. Pendekatan Realisme dan Liberalisme adalah perspektif hubungan antarabangsa yang berdasarkan aktor atau proses yang berbeza bagi menjelaskan sesuatu keadaan secara rasional. Dalam mempelajari bidang hubungan antarabangsa memerlukan usaha memahami scenario dunia pada masa ke semasa. Oleh disebabkan dengan sifat hubungan antarabangsa itu sendiri kompleks, maka kajian yang dibuat dalam hubungan antarabangsa juga bersifat kompleks. Sifat tersebut menyukarkan pengkaji-pengkaji hubungan antarabangsa menjelaskan fenomena yang berlaku daripada pandangan tertentu. Oleh itu, pengkajipengkaji harus lebih memahami secara lebih mendalam akan pendekatan-pendekat tersebut agar boleh menjelaskan sesuatu fenomena seperti konflik peperangan dan tindakan keputusan yang diambil dengan lebih tepat dan boleh mempengaruhi dan menjadi panduan dalam membuat keputusan pada masa akan datang. Pendekatan-pendekatan tersebut telah membantu dan memberi peluang kepada pengkaji memberikan pelbagai bentuk penjelasan mengenai peristiwa antarabangsa tertentu, pada masa, dan tempat tertentu.

Secara kesimpulannya, dua pandangan di atas dianggap sebagai falsafah pembuka jalan kepada pengkaji-pengkaji hubungan antarabangsa. Realisme melihat dunia sebagai bersifat anarki dengan ketiadaan kerajaan dunia, manakala Liberalisme melihat bahawa keadaan kerjasama dan keamanan boleh dicapai dengan kerjasama antarabangsa. Adalah sesuatu perkara yang sukar bagi pengkaji dan penganalisis antarabangsa dalam menentukan mana satu pendekatan yang sesuai bagi menggambarkan dunia antarabangsa pada masa kini. Hal ini adalah bergantung kepada situasi tertentu yang dipengaruhi oleh banyak faktor yang tidak sentiasa benar dalam semua keadaan dan lokasi. Dalam keadaan tertentu, pendekatan Realisme mungkin lebih sesuai dalam menjelaskan tindakan atau keputusan yang dibuat oleh aktor yang berperanan. Jadi, pengkaji hanya perlu menentukan pendekatan yang mana lebih sesuai untuk digunakan dalam menjelaskan hubungan antarabangsa pada keadaan yang tertentu.

View more...

Comments

Copyright ©2017 KUPDF Inc.
SUPPORT KUPDF