KERTAS KERJA _SENI BINA RUMAH TRADISIONAL MELAYU BRUNEI DP Hj Matussin

February 8, 2017 | Author: edwintks | Category: N/A
Share Embed Donate


Short Description

Download KERTAS KERJA _SENI BINA RUMAH TRADISIONAL MELAYU BRUNEI DP Hj Matussin...

Description

1     

SENI BINA RUMAH TRADISIONAL MELAYU BRUNEI : GAMBARAN SISTEM ADAPTASI DENGAN ALAM DAN BUDAYA TEMPATAN. Oleh Dato Paduka Hj. Matussin bin Omar Abstrak

Seni bina rumah tradisional Melayu Brunei mempunyai ciri-ciri distinktif dari segi bentuk rumah yang difokuskan kepada bentuk bubungnya, susun atur ruangnya dan unsur astetiknya yang digambarkan oleh jenis hiasan dan dekorasi yang digunakan. Rekabentuk rumah Melayu Brunei adalah merupakan respon terhadap akibat-akibat yang ditimpakan oleh fenomena-fenomena alam yang ekstrim. Dengan memahami tabiat alam dan iklim tempatan yang panas dan hujan serta udaranya yang lembab sepanjang tahun, masyarakat Melayu tempatan telah berusaha mengawal dan mengatasinya melalui sistem adaptasi yang yang begitu berkesan seperti merekabentuk jenis-jenis bubung (atap) dan tingkap, menggunakan bahan-bahan binaan yang kurang menyerap hawa panas serta menyediakan beberapa jenis sistem ventilasi yang natural demi mendapatkan keselesaan dalam rumah dan juga tubuh badan. Selain daripada itu rekabentuk rumah tradisional Melayu, khususnya bahagian dalam, adalah untuk menyesuaikan dengan kehendak atau tuntutan sosio-budaya dan agama. Unsur-unsur seni bina tradisional Melayu ternyata berkesan dalam menghadapi, mengawal dan mengatasi fenomena-fenomena alam serta dalam menzahirkan suasana keindahan. Dari itu ia masih tetap relevan dalam setiap keadaan dan masa, hinggakan sebahagian daripada ciri-ciri seni bina Melayu itu masih diterapkan dalam rumaah-rumah dan bangunan-bangunan kontemporari atau moden, terutama sekali masjid dan istana. Setentunya yang memainkan peranan penting dalam usaha-usaha penerapan ini ialah RajaRaja Brunei.

PENGENALAN Antara aspek budaya tempatan yang masih kurang mendapat perhatian dari kalangan penyelidik ialah material culture yang mana rumah serta aspek seni binanya adalah salah satu elemen yang terkandung di dalamnya. Natijahnya, begitu sedikit sumber-sumber dan bahan-bahan mengenai seni bina tempatan, khususnya yang berkaitan dengan seni bina tradisional, yang dapat digunakan sebagai rujukan oleh sesiapa juga yang berminat. Ada

2   

beberapa kemungkinan yang menyebabkan seni bina tradisional tempatan ini seolah-olah tidak mendapat perhatian yang memuaskan dari kalangan penyelidik masa kini. Antaranya ialah kurangnya, bahkan tidak adanya lagi kesan-kesan seni bina tradisional yang representatif dan cukup signifikan ketika ini untuk dijadikan data rujukan dan penyelidikan. Hal ini terjadi akibat dari cepat dan pesatnya pembangunan fizikal dan proses perbandaran yang menyebabkan banyak rumah tradisional telah dirobohkan bagi memberi ruang atau laluan kepada pembinaan rumah-rumah dan gedung-gedung moden, penyediaan sistem infrastruktur awam dan proses perkembangan serta perluasan kawasan bandar dan kawasan-kawasan yang bersempadan dengannya. Misalnya antara tahun-tahun 1960an dengan 1970an cuma tinggal beberapa buah rumah berunsur tradisional yang masih boleh dilihat di kawasan-kawasan tertentu di negara ini, namun semuanya sudah tidak ada lagi pada masa ini. Selain daripada itu kerana tidak adanya lagi tukang pembuat rumah tradisional yang masih hidup ketika ini untuk dijadikan narasumber yang autoritatif, menyebabkan kerja penyelidikan dalam bidang berkenaan begitu sulit dan terhad. Maklumat yang diperoleh daripada tukang-tukang mengenai seni bina tradisional merupakan sumber primary yang amat tinggi nilanya. Dalam keadaan kekurangan data ini, penulis lebih banyak bergantung kepada sumbersumber secondary daripada tulisan-tulisan yang telah dihasilkan oleh beberapa orang penyelidik atau penulis sebelum ini1 bagi menyediakan kertas ini. SUMBER-SUMBER AWAL BERKAITAN SENI BINA BRUNEI Walaupun beberapa sumber awal ada menyentuh tentang rumah-rumah yang terdapat di ibu negeri Brunei silam, namun ianya hanyalah berupa gambaran-gambaran ringkas dan umum sahaja, yakni tidak menceritakan secara jelas, terperinci dan spesifik tentang aspek seni bina tempatan. Contohnya, Antionio Pigafetta menceritakan tentang istana raja yang disaksikannya sewaktu membuat lawatan ke Brunei dalam tahun 1521 dengan kata-kata berikut: “ Then we went to the king’s palace…..We went up a staircase accompanied by the governor and other chiefs, and entered a large hall full of many nobles…..At the end of the great hall is another hall higher but somewhat smaller. It was all adorned with silk hangings, and two windows, through which light entered the hall, and hung with two brocade curtains opened from it….At the end of the small hall was a large window from which a brocade curtain was drawn aside, so that we could see within it the king seated at a table with one of his young sons chewing betel….” (Nicholl 1990 : 9-10)

1. Contohnya lihat Pg.Ismail (1989); Alimin (1989); Awg.Hj.Metussin (1993) dan Pg. Adanan (2000)

3   

Petikan di atas menceritakan susunan ruang yang ada pada sebahagian kawasan dalam istana. Langsung tidak disentuh tentang bentuk dan ciri-ciri distinktif seni bina istana tersebut termasuk ukiran-ukiran yang terdapat pada tiang, dinding, pintu, tingkap dan balai penghadapannya yang menggambarkan keindahan, kehalusan dan ketinggian seni bina Brunei ketika itu. Seterusnya Pigafetta juga menceritakan secara umum dan ringkas tentang keadaan rumahrumah penduduk Brunei yang ada dalam Bandar Brunei seperti berikut : “The city is entirely built in salt water, except the houses of the king and certain chiefs….the houses are all constructed of wood and built upon from the ground on tall pillars….There is a large brick wall in front of the king’s house with towers like fort, in which were mounted fifty six pieces of bronze cannons and six of iron…”( Nicholl 1990:11) Francisco de Sande, bangsa Sepanyol yang mengetuai penyerangan ke atas Brunei pada tahun 1578 Masehi mencatatkan dengan agak jelas sedikit tentang Bandar Brunei dan keadaan rumah-rumah dan istana-istana yang ada di dalamnya: “The city was very large and rich, and was built over a very broad and deep river and had the appearance of another Venice. The buildings were of wood, but the houses were excellently constructed, many of them being constructed of a stone work and gilded, especially the king’s palaces, which were of huge size. That city contained a very sumptuous mosque, a very large and interesting building, quite covered with half relief and gilded”(Nicholl 1990:61) Meskipun aspek seni bina hanya disentuh secara ringkas, catatan di atas sekurangkurangnya menjelaskan tentang jenis-jenis bahan binaan yang digunakan untuk rumahrumah penduduk, istana-istana raja dan masjid, style ukiran yang ada pada masjid dan salutan warna emas yang digunakan pada binaan-binaan tersebut. Sumber Sepanyol yang lain yang tidak menyebutkan nama penulisnya tetapi diterjemahkan oleh John S. Carroll ada menceritakan bahawa masjid Brunei yang telah ranap dibakar pada malam Isnin 23 Jun 1578 atas perintah Francisco de Sande adalah diperbuat daripada kayu berwarna hitam seperti bulian dan mempunyai lima tingkat (Nicholl 1986:44) Catatan yang menjelasakan tentang struktur binaan bagi sebahagian rumah yang terdapat di sepanjang Sungai Brunei adalah yang dibuat oleh Thomas Forrest pada tahun 1779. Beliau menulis : “the houses are built in each side of the river upon posts….Some houses on the right side of the water, are two stories high, which I never saw it in any other Malay country….” (Forrest 1779:380

4   

Contoh-contoh catatan awal seperti yang disebutkan di atas, meskipun menyebutkan tentang bentuk rumah, bahan-bahan binaan yang digunakan dan ukiran-ukiran yang terdapat pada bahagian-bahagian binaan di Brunei, namun semuanya belum dapat memberikan gambaran yang sangat jelas tentang seni bina Melayu Brunei pada abad-abad awal sebelum abad ke 19 Masehi. Mahu tidak mahu kita harus bergantung sepenuhnya kepada sumber-sumber lukisan dan foto sejak abad ke 18 Masehi yang memperlihatkan rumah dan binaan tradisional tempatan dan kepada foto-foto rumah dan binaan tradisional tempatan yang masih sempat dilihat atau direkod dalam tahun-tahun 1970an. Bahan-bahan rujukan ini ada tersimpan di arkib-arkib, perpustakaan-perpustakaan dan muzium-muzium tempatan dan luar negeri. Di samping itu sumber-sumber lisan dari warga “tua” yang masih mengetahui serba sedikit selok belok seni bina tradisional Melayu amat berfaedah dalam menambah pemahaman tentang aspek-aspek seni bina tempatan.

CIRI-CIRI DISTINKTIF DALAM SENI BINA TRADISIONAL MELAYU BRUNEI Rumah, sebagai struktur ciptaan manusia yang mempunyai bentuk dan ciri tertentu, merupakan elemen asas atau utama dalam seni bina. Rumah dapat menggambarkan sistem nilai, pandangan hidup dan sistem adaptasi sesuatu masyarakat, kerana dari keseluruhan elemen yang terbentuk dalam struktur rumah atau binaan terkandung idea, falsafah, karakter, sistem kepercayaan dan konsep seni atau keindahan masyarakat yang menciptakannya. Justeru itu tinjauan ke atas seni bina rumah tradisional Melayu Brunei adalah perlu bagi memahami makna dan ciri-ciri yang terpancar serta tersirat dalam ciptaan atau karya yang mereka hasilkan. Antara ciri-ciri distinktif yang dapat dilihat dalam seni bina rumah tradisional tempatan adalah dari segi bentuk rumah (houseform) atau bentuk bubung2 (roof shape), rekabentuk (design) dan susun atur ruang (layout) serta hiasan (embellishment) dan ukiran (craving) yang digunakan.

1. Bentuk Rumah Seperti juga di semenanjung Tanah Melayu3, pemberian nama atau jenis rumah (house type) tradisional Melayu di Brunei adalah berdasarkan kepada bentuk bubung (roof shape).

2. Di Semenanjung Tanah Melayu perkataan ‘bumbung’ digunakan untuk perkataan ‘bubung’ 3. Lihat lim Jee Yuan (1987) dan Abd. Halim (1982a; 1982b; 1984a; 1984b)

5   

Namun bagitu ada lagi penjenisan yang berdasarkan kepada sistem tambahan (addition system) ke atas struktur indung rumah (rumah ibu). Daripada lukisan-lukisan dan foto-foto rumah di Kampong Ayer yang dihasilkan dan diambil sejak abad ke 19 Masehi serta berdasarkan rumah-rumah berunsur tradisional yang pernah dilihat dalam tahun-tahun 1960an dan 1970an, jelas kelihatan sebahagian daripada ciri-ciri distinktif yang disebutkan di atas.

Bentuk Bubung Berdasarkan kategori bentuk bubung, terdapat tiga jenis bentuk rumah tradisional Melayu di Brunei, iaitu rumah belah bubung4, rumah tungkup dan rumah potong limas. a. Rumah Belah Bubung Bentuk bubung rumah ini ialah persegi empat tepat (rectangular) jika dipandang dari atas. Di bahagian tengah atas bubung atau atap diletakkan tulang bubungan dalam keadaan mendatar (horizontal) yang berfungsi sebagai pembahagi atap sebelah kanan dan sebelah kiri yang curam ke bawah sehingga terbentuk rangka bubung yang menyerupai ‘V’ terbalik jika dilihat dari kedua sudut tepi rumah. Di bahagian bawah kedua hujung bubung terdapat dinding penutup berbentuk tiga segi yang dipanggil titi belayar5. Dalam berberapa contoh, terdapat sebuah tingkap kecil yang bertongkat pada bahagian tengah curaman atap yang mungkin berfungsi sebagai sistem ventilasi bagi udara masuk dan keluar dan juga menjadi sistem pencahayaan. Tingkap ini akan ditutup apabila hari hendak hujan dari sebelah dalam rumah. Begitu juga pada bahagian titi belayar terdapat sebuah tingkap kecil yang fungsinya juga sama seperti tingkap kecil di atas bubung. Rumah belah bubung lebih banyak didapati berbanding rumah-rumah jenis lain mungkin kerana kerja penyediaan bubungnya relatif lebih mudah daripada bubung-bubung jenis atau bentuk lain. Pada awalnya bahan yang digunakan untuk atap rumah jenis ini ialah daun nipah atau apung (Nipa fruticams) yang dianyam (dituhur) menjadi kepingan. Kepingan-kepingan atap ini kemudiannya dipasang secara bertindih-tindih (berlimpa-limpa) agar air hujan mudah dan cepat mengalir ke bawah. Dinding rumah juga menggunakan daun pucuk nipah yang dianyam menjadi kajang. Lantai rumah pula menggunakan batang nibung yang dibelah-belah.

4. Di Semenanjung dikenali dengan rumah bumbung panjang. 5. Di Semenanjung, struktur ini dipanggil tebar layar.

6   

Apabila bahan-bahan binaan yang lebih baik mutunya didapati dalam pasaran dan kedudukan ekonomi penduduk mengizinkan, maka bahan-bahan untuk atap, dinding dan lantai turut bertukar sesuai dengan edaran masa. Reka bentuk rumah belah bubung yang begitu fleksibal memudahkan sistem tambahan dilakukan pada bahagian hadapan rumah atau pada mana-mana bahagian.

b. Rumah Tungkup Bentuk atap rumah ini adalah persegi empat sama (square) dari pandangan sebelah atas, dan bentuk ini selari atau selaras dengan bentuk rumah (indung rumah). Disebabkan bentuk dan ketinggiannya, bubung rumah jenis ini kelihatan menungkup (menutupi keseluruhan bahagian atas indung rumah) melalui tulang bubung yang agak pendek dan empat penyirung rumah yang curam kebawah sehingga menjadikan bentuk bubung ini kelihatan seperti piramid. Rumah tungkup kurang kelihatan di negeri ini pada masa lalu dibandingkan dengan rumah belah bubung mungkin kerana ianya lazim dimiliki oleh orang-orang berada atau bergelar yang mempunyai status sosial dan ekonomi yang tinggi dan baik. Tingkat kesulitan untuk membuat bubung jenis ini yang memerlukan kemahiran dalam ketepatan ukur mengukur mungkin juga penyebab mengapa jenis rumah ini kurang menjadi pilihan.

c. Rumah Potong Limas Dalam konteks Brunei, rumah potong limas atau bubung berbentuk limas (piramid) mempunyai dua variasi. Variasi pertama ialah di mana bubung paling atas yang berbentuk belah bubung menurun ke bawah dengan begitu curam seperti piramid dan disambung dengan bubung di bahagian bawahya yang agak menjengkang (tidak begitu curam). Atap jenis ini di kenali sebagai bumbung perak di Semenanjung (Lim Jee Yuan 1987 dan Abd.Halim 1982a; 1982b; 1984a; 1984b). Menurut Lim Jee Yuan (1987 : 24-26) rumah bumbung perak dan rumah bumbung limas bukanlah yang berunsur asli tempatan (indigenous) tetapi yang menerima pengaruh daripada bentuk rumah Belanda dan Inggeris. Sebagai pengamatan, atap rumah potong limas variasi pertama ini mempunyai dua bentuk bubung, iaitu atap belah bubung pada bahagian paling atas, dan atap tungkup pada bahagian bawah dengan penyirung diletakkan pada empat penjuru atap atau rumah. Variasi kedua ialah jenis bubung yang lazim di gunakan pada bangunan masjid di mana bubung jenis tungkup yang berbentuk limas (piramid) berada di bahagian paling atas,

7   

sementara bubung pada bahagian bawahnya juga berbentuk tungkup, menjadikan keseluruhan bubung atau atap kelihatan bertingkat (tiered) dua6. Atap rumah potong limas biasanya diperbuat daripada kepingan kayu bulian (Eusideroxylon sp.) yang di potong-potong nipis dan berbentuk empat persegi tepat. Memandangkan bubung jenis ini bagitu berat, maka kayu yang digunakan untuk tiang indung rumah adalah dari jenis keras dan kuat, biasanya bulian. Seni bina rumah potong limas adalah memperlihatkan kombinasi seni bina tempatan dengan seni bina moden (luar).

Bentuk Berdesarkan Sistem Tambahan Berdasarkan kepada sistem tambahan yang di lakukan ke atas struktur dalam atau luar indung rumah, maka timbullah jenis rumah loteng7 dan rumah belanggar. Rumah loteng mendapatkan namanya daripada ruang loteng yang ditambah atau dibina di bahagian atas indung rumah, sementara panggilan rumah belanggar adalah berasal daripada ruang tambahan yang di letakkan atau didirikan melintang di bahagian hadapan indung rumah yang kelihatannya seolah-olah “melanggar” bahagian tersebut. a. Rumah Loteng Rumah ini dipanggil rumah loteng disebabkan ianya mempunyai angkap atau ruang berlantai di bahagian atas indung rumah yang biasa disebut loteng. Loteng digunakkan untuk tempat tidur anak perempuan atau ruang bagi menjalankan aktiviti menenun kain atau kraftangan yang lain. Tetapi ada juga yang menggunakannya sebagai ruang menyimpan alat-alat pertukangan tangan, hasil-hasil kraftangan dan alat-alat keperluan yang jarang-jarang digunakan setiap hari. Untuk naik ke atas loteng desediakan tangga di bahagian dalam indung rumah.

6. Bangunan Masjid Besar Brunei yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Alam (1906-1924) mempunyai bentuk bubung dua tingkat. Lihat Awg Hj. Metussim (1993:15) dab Awg Hj. Abd Karim (1991:26). Bubung bertingkat dua ini menjadi ciri seni bina bagi masjid-masjid kampung di seluruh daerah negara ini yang dibina sejak tahun 1920an hingga sekarang. Untuk maklumat lanjut lihat Awg Hj. Metussin (1993). 7. Perkataan loteng berasal dari dialek Cina Hokkien Lau Teng yang bererti bilik atas (Pg. Ismail 1989;35)

8   

Disebabkan bubung rumah ini agak tinggi, maka ia memberikan ruang yang cukup luas di bahagian loteng. Tingkap dan lubang tebukan yang ada di dinding loteng serta ruang terbuka di bahagian kepala tangga (tempat menaiki tangga) membantu mendinginkan ruang loteng ini. Bagi menanai atau mendukung tingkat bahagian atas, tiang rumah ini biasanya menggunakan jenis kayu yang keras dan kuat terutamanya bulian. Bahan atap juga menggunakan kepingan kayu bulian yang tahan sehingga berpuluh-puluh tahun yang juga menandakan status sosial dan status ekonomi yang tinggi bagi orang yang menghuni rumah tersebut. Bentuk atap untuk rumah jenis ini adalah dari jenis tungkup atau jenis belah bubung.

b. Rumah Belanggar Rumah jenis ini mempunyai bentuk atap belah bubung atau atap potong limas bagi indung rumahnya. Ruang tambahan yang dipanggil langgar8 yang dibina melintangi atau ‘melanggar’ bahagian hadapan indung rumah juga biasanya mempunyai bentuk bubung yang sama dengan bubung idung rumah. Ruang tambahan (langgar) ini adalah digunakan untuk menerima dan melayan tetamu, untuk menjalankan kegiatan keagamaan seperti sembahyang berjemaah, mengaji al-Quran, berdikir, kenduri dan lain. Rumah belanggar menggambarkan perubahan dalam seni bina rumah tradisional Melayu Brunei pada tahun-tahun 1950an kerana rumah bentuk ini adalah yang dianggap moden ketika itu yang mulai menggunakan bahan-bahan binaan terkini seperti atap zing dan kayu papan yang berketam halus menggunakan mesin. 2. Rekabentuk Dan Susun Atur Ruang Secara umumnya rekabentuk dan susun atur ruang dalam rumah Melayu Brunei dapat dibahagikan kepada bahagian hadapan, iaitu indung rumah dan bahagian belakang, iaitu dapur. Pembahagian ini adalah secara arbitrary sahaja kerana terdapat juga sedikit variasi demi untuk menyesuaikan dengan keperluan dan selera pemilik rumah atau mengikut keadaan kawasan dimana rumah itu dibina. Seseorang yang hendak memasuki sebuah rumah Melayu, dia harus lalu dari bahagian hadapan rumah, iaitu mula-mula sekali melalui pantaran (anjung) yang menganjur keluar rumah.

8. Langgar adalah bersamaan dengan serambi gantung bagi rumah di Semenanjung. 

9   

Pantaran biasanya tidak beratap atau berdinding. Ia merupakan kawasan untuk masuk dan keluar rumah. Ada juga pantaran yang dipasang pagar dan tempat duduk untuk tempat berehat-rehat atau berbual-bual. Di bahagian hadapan pantaran ini diletakkan tangga untuk kegunaan turun dan naik. Lantai pantaran biasanya diperbuat daripada belahan nibung atau buluh dan kedudukan paras lantainya lebih rendah sedikit daripada paras lantai indung rumah. Dari pantaran, seseorang memasuki pula ruang langgar yang merupakan bahagian tambahan kepada indung rumah. Paras lantai ruang ini biasanya sama dengan paras lantai indung rumah. Tetapi ada juga paras lantai ruang ini lebih rendah sedikit daripada lantai indung rumah. Dalam ruang langgar inilah para tetamu dilayan. Di ruang ini terdapat dinding penyapar atau dinding pemisah (partition) yang memisahkan kawasan yang dianggap public (langgar) dengan kawasan yang dianggap peribadi (indung rumah). Tetapi terdapat juga keadaan di mana di ruang langgar ini tidak mempunyai dinding penyapar khusus atau kekal, memadai diletakkan dinding angin, malahan ada juga ruang ini di biarkan terbuka sahaja dari mana seseorang dapat melihat bahagian dalam indung rumah yang dijadikan ruang-ruang berdinding (bilik) atau yang dipasang tabir sahaja.

Dari langgar seseorang memasuki pula bahagian utama indung rumah yang berukuran besar. Kebanyakan aktiviti perbadi dilakukan di ruang ini seperti tidur, menjahit, membaca, belajar, sembahyang dan lain-lain. Dari ruang utama indung rumah seseorang memasuki bahagian belakang rumah, iaitu dapur yang mempunyai paras lantai yang lebih rendah sedikit dari paras lantai indung rumah, atau ada juga yang mempunyai paras lantai yang sama. Di ruang dapur inilah kegiatan masak-memasak, makan dan menyuci dilakukan. Terletak berhampiran dengan ruang dapur ialah ruang pantaran yang digunakan untuk menyuci dan menjemur pakaian, mandi, buang air dan lain-lain. Ruang ini berdinding tetapi tidak beratap. Bagi ruang untuk mandi (pemandian) dan ruang untuk buang air (jamban) dipasang dinding yang ketinggiannya sekira-kira orang berdiri. Di bahagian belakang pantaran ini terdapat lagi satu tangga untuk keperluan turun dan naik. Rumah di Kampung Ayer lazimnya mempunyai jambatan (titian) penghubung yang dibina di bahagian pantaran hadapan rumah yang menghubungkan antara sebuah rumah dengan yang lain. Di samping itu terdapat juga jambatan tambahan dibina di bahagian belakang rumah yang mempunyai fungsi yang sama dengan jambatan di bahagian hadapan.

10   

3. Ciri Aestetik Bagi rumah tradisional Melayu, unsur aestetik merupakan pertimbangan kecil dan bergantung kepada kemampuan ekonomi dan kesesuaian reka bentuk rumah atau ruang (Lim Jee Yuan 1987:40). Tujuan utama dan pertama membina rumah bagi orang Melayu ialah untuk menyediakan tempat bagi berlindung daripada panas dan hujan, untuk mendapatkan keselesaan dan keselamatan hidup dan untuk menyediakan ruang bagi memenuhi fungsi atau tuntutan sosial dan agama.

a. Hiasan Dan Ukiran Untuk tujuan aestetik, hiasan dan ukiran dalam rumah Melayu adalah lebih disesuaikan dan ditentukan oleh reka bentuk dan susun atur ruang sesebuah rumah itu. Bagitu juga jenis hiasan atau ukiran yang digunakan adalah mengikut di mana atau pada bahagian mana ianya diletakkan. Misalnya ada jenis hiasan atau ukiran tertentu yang lazimnya hanya dibuat atau diletakakan pada bahagian pepilis (cucuran atap) rumah. Nama ukiran yang lazim digunakan pada bahagian ini ialah rawai lidah. Bagitu juga ada jenis-jenis ukiran atau hiasan yang lazim atau khusus digunakan untuk menghiasi daun tingkap, daun pintu, jerjak atau kekisi (grille) tingkap dan tebukan pada titi belayar. Ukiran-ukiran yang indah dan halus itu adalah menggunakan motif-motif berbentuk floral kerana Islam melarang penggunaan imej haiwan dalam bentuk seni (artform). Motif floral yang biasa digunakan adalah daripada jenis-jenis tanaman yang ada dan biasa dilihat di sekeliling masyarakat tempatan. Bahagian-bahagian dari pokok atau tanaman yang selalu dijadikan motif ukiran ialah daun, seperti daun lukut dan daun air mulih (daun menjalar), bunga, seperti bunga kemunting dan bunga jambangan, tempuk buah, seperti tampuk pidada dan tampuk manggis, dan pucuk seperti pucuk rebung. Bentuk-bentuk geometri juga tidak jarang digunakan dalam ukiran-ukiran tempatan seperti madu kasirat dan arap gagati (berbentuk empat segi bujur). Mutiara (berbentuk bulat) dan tapak catur (berbentuk empat segi sama). Teknik-teknik yang digunakan bagi membuat ukiran-ukiran itu ialah secara timbul (relief), turisan (incision), tebukan (perforation) dan goresan yang menimbulkan pandangan menarik. Selain berfungsi untuk mendapatkan keindahan, sebahagian daripada ukiranukiran itu juga membekalkan sistem ventilasi dan pengawalan silauan (glare) pada bahagian-bahagian tertentu dalam rumah. Pada bahagian atas dinding pemisah bilik dalam sesetengah rumah Melayu terdapat lagi hiasan yang terbentuk dari susunan batang-batang kayu yang sederhana tebal sehingga tercipta barisan lubang-lubang yang berbentuk empat segi bujur (diamond) yang dipanggil madu kasirat atau arap gagati dan berbentuk tiga segi atau piramid yang dinamakan gigi iyu (yu).

11   

Cara penyusunan papan-papan untuk dinding juga boleh menimbulkan pandangan visual yang menarik. Umpamanya papan-papan dinding yang disusun dalam keadan menegak (vertical) dan bukan mendatar (horizontal) seperti lazimanya, dapat memberikan gambaran yang menarik dan unik. Jenis hiasan dan ukiran yang ada dalam rumah tradisional Melayu dapat mencerminkan status sosial atau kekayaan dan kekuasaan si pemilik rumah dalam masyarakatnya. Misalnya, walaupun ada istana-istana pada masa lalu yang menyerupai bentuk rumahrumah penduduk biasa, tetapi penanda yang jelas sebagai istana adalah dari saiznya yang besar, kekayaan ukiran-ukiran dan hiasan-hiasannya serta bahan-bahan binaan yang digunakan. Hiasan yang lebih terperinci (elaborate) biasanya terdapat dalam rumah orangorang berada dan tinggi kedudukan sosial mereka di dalam sesebuah masyarakat, namun rumah-rumah itu kurang tingkat kesulitannya dalam membinanya di bandingkan dengan istana.

b. Warna Warna memainkan peranan dalam menimbulkan atau menambahkan unsur keindahan, namun cat berwarna jarang digunakan bagi tujuan dekoratif. Umumnya dinding-dinding rumah dibiarkan dalam warnanya yang natural atau asal, walaupun ada yang menggunakan warna pada dinding rumah sebelah luar, bahan warna yang digunakan adalah bernis berwarna coklat kehitaman yang biasanya digunakan untuk menghalau serengga-serengga perosak seperti anai-anai. Di Brunei ada beberapa buah rumah kayu sahaja yang pernah menggunakan ‘cat berwarna’ ini sebelum tahun-tahun 1950an. Penggunaan cat-cat berwarna bagi rumah-rumah hanya dapat dilihat setelah bahan tersebut mulai banyak terdapat dalam pasaran. Penggunaan cat berwarna adalah untuk keseluruhan rumah atau pun pada bahagian-bahagian yang terpilih sahaja.

c. Proposi Dan Skala Aspek yang turut penting dalam menimbulkan atau menciptakan unsur keindahan bagi rumah Melayu ialah konsep proporsi dan skala dalam pengukuran sesuatu bahagian atau ruang rumah. Tidak dapat dinafikan bahawa ukuran dan skala yang tepat boleh menimbulkan unsur keseimbangan dan keindahan; begitulah juga sebaliknya. Dalam konteks seni bina hubungan keseluruhan elemen-elemen yang terkandung dalam sesebuah rumah atau binaan hendaklah proporsi dari segi skala dan ukuran bagi menimbulkan kesatuan keindahan.

12   

Sebaliknya jika sistem proporsi dan skala yang betul, tepat, seimbang dan standard tidak dipenuhi, maka timbullah istilah-istilah seperti biut9, singit10, timpang11, dan singkat12 untuk menyatakan kecacatan, kekurangan dan ketidaktepatan dari segi pengukuran. Salah satu atau beberapa daripada unsur-unsur kekurangan (kecacatan) itu sudah pasti merosakkan konsep keindahan sesebuah rumah. Dalam kerja ukur mengukur ini orang Melayu menggunakan sistem yang bersandarkan kepada dimensi tubuh manusia. Contohnya untuk mengukur sesuatu yang mendatar digunakan hasta (ukuran panjang dari hujung siku sampai ke hujung jari hantu), jengkal (ukuran panjang huluran hujung ibu jari dengan hujung jari yang lain), depa (ukuran panjang dua huluran tangan), langkah (ukuran panjang huluran kedua belah kaki), dan tapak (ukuran panjang dari hujung tumit hingga ke hujung ibu jari kaki). Untuk mengukur besar bulatan digunakan pula ukuran pemeluk (sebesar lengkungan tangan memeluk) dan pegelangan (ukuran lingkaran antara kedua hujung ibu jari tangan dengan hujung jari kedua belah tangan). Kesemua ukuran yang menggunakan dimensi tubuh manusia itu digunakan dalam seni bina Melayu bagi mendapatkan unsur keindahan dan keseimbangan serta ketepatan dalam proporsi dan skala.

SISTEM ADAPTASI DALAM SENI BINA MELAYU TRADISIONAL Brunei mempunyai iklim tropikal dengan suhu, kelembapan udara dan curahan hujan yang tinggi sepanjang tahun. Penduduk tempatan menyedari kesan-kesan yang ditimbulkan oleh panahan cahaya matahari, tiupan angin dan curahan hujan yang mereka alami selama hidup mereka. Mereka juga mengetahui fenomena-fenomena alam yang ekstrim seperti kemarau, banjir dan angin kencang yang mendatangkan kesan kepada kehidupan dan harta benda mereka. Hidup dalam negeri yang mempunya hutan yang kurang terganggu, penduduk tempatan begitu mengenali tumbuhan-tumbuhan yang ada di sekeliling mereka. Mereka mengenali jenis, sifat dan kegunaan tumbuhan-tumbuhanan itu. Mereka mengetahui mana-mana jenis tumbuhan yang keras, kuat dan tahan menghadapi iklim ekstrim.

9. Bererti serong, tidak tepat atau lurus 10. Bererti tidak tegak betul atau berat sebelah 11. Tidak sama atau rata tingginya, berat sebelah 12. Tidak panjang, lebar atau luas

13   

Mereka juga dapat membezakan mana-mana tumbuhan yang cantik dan sesuai dari segi bentuk untuk dijadikan contoh-contoh hiasan, ukiran dan dekorasi. Jadi alam, fenomena alam dan alam di sekeliling mereka seolah-olah menjadi guru mereka untuk survive, hidup selesa, tenang, harmoni dan untuk menimbulkan daya keratif dalam berfikir dan menghasilkan karya serta ciptaan. Begitu juga dengan mengenali, memahami dan belajar dari fenomena-fenomena alam tadi serta membuat penyesuaian dalam mengawal dan mengatasinya, maka penduduk tempatan dapat mementukan jenis dan bentuk rumah yang akan dibina, jenis bahan binaan yang akan digunakan dan ditapak atau kawasan mana akan didirikan rumah. Semua persediaan, tindakan dan penyesuaian terhadap unsur-unsur dan fenomena-fenomena alam ini dinamakan proses dan sistem adaptasi. Sistem adaptasi dengan alam ini kemudiannya berkembang kepada sistem adaptasi hiasan, ukiran dan dekorasi dengan keadaan rumah serta adaptasi saiz, rekabentuk dan susun atur ruang dengan keperluan dan tuntutan sosial, budaya dan agama.

a. Adaptasi Dengan Iklim Bentuk rumah, kedudukan rumah, fasiliti rumah dan bahan binaan yang digunakan untuk mendirikan rumah adalah gambaran tentang bagaimana orang Melayu menyesuaikan diri dengan alam, alam sekelilimg, iklim dan fenomena alam. Iklim tempatan yang panas, kelembapan udara dan curahan hujan yang tinggi di sepanjang tahun mudah merangsang proses pengkaratan (rusting), pereputan (rotting) dan pertumbuhan algi dan kulat yang mendatangkan kesan kepada bahan-bahan yang digunakan untuk membangun rumah. Iklim tropikal juga membantu pertumbuhan flora begitu cepat dan kadang-kadang susah dikawal. Pada satu segi, pertumbuhan hutan menimbulkan keadaan iklim yang baik kerana ketebalan pohon-pohon dapat mengurangi radiasi suhu panas dan kepanasan kepada permukaan bumi, sementara pada segi yang lain ketebalan pohon-pohon yang berfungsi sebagai pelindung dapat juga meningkatkan kelembapan udara. Keadaan tinggi atau rendahnya permukaan sesuatu tanah boleh menentukan tentang aliran udara jika menurut hukum kesan-kesan pergeseran (frictional effects). Sehubungan itu had kelajuan angin meningkat dengan meningkatnya ketinggian tanah, dan had kelajuan angin menjadi rendah di bahagian tanah yang rendah di mana terdapat banyak halangan (obstruction). Bagitu juga permukaan yang tidak rata seperti di kawasan semak dan hutan tebal boleh mengurangkan had kelajuan angin. Lokasi yang berhampiran dengan laut menerima tiupan angin daratan (land breeze) dan angin laut (sea breeze) secara beterusan di sepanjang siang dan malam. Tapi pendedahan kepada laut dan langit terbuka juga boleh menimbulkan masalah kesilauan (glare). Pantulan pancaran cahaya surya yang relatif tinggi dari laut, langit dan pantai membuat silauan dalam rumah perlu dikawal. Menyedari akan tabiat alam tadi dan kesan-kesan yang

14   

ditimpakannya, maka semuanya perlu dikawal dan diatasi bagi mempastikan rumah yang akan dibina akan lebih tahan lasak dan memberikan keselesaan serta kenyamanan. Sudah tentu untuk mengawal dan mengatasi kesan-kesan panahan cahaya matahari, curahan hujan dan tiupan angin yang berlebihan, memerlukan sistem adaptasi dari segi lokasi dan orientasi rumah, rekabentuk rumah dan bahan binaan yang digunakan. Antara bentuk-bentuk adaptasi yang biasa dilakukan bagi pengawalan cuaca yang optima dapat disebutkan di bawah ini : i. Penyediaan sistem ventilasi yang mencukupi untuk tujuan pendinginan dan pengurangan kelembapan. Dalam rumah-rumah Melayu Brunei, selain daripada mempunyai tingkap yang mencukupi, terdapat lagi tingkap-tingkap berukuran kecil di atas atap atau bubung dan di bahagian titi belayar. Di sesetengah rumah dipasang juga sejenis adang (blind) di bahagian luar tingkap yang dipanggil pidaian13 yang berfungsi bagi mengawal dan mengatasi sinaran matahari yang berlebihan dan juga untuk menghalang kemasukan tempias hujan. ii. Atap daun yang disusun menghampar dan meninggi di atas bubung memberikan tangkupan atap yang memanjang atau menurun jauh ke bawah membuatkan kawasan terdedah yang menegak (vertical) iaitu bahagian dinding dan tingkap menjadi rendah. Keadaan ini memberikan perlindungan yang baik dari siraman hujan, peneduhan yang berkesan serta membolehkan tingkap-tingkap dibuka sepanjang hari untuk ventilasi. iii. Silauan dalam rumah Melayu yang berpunca dari langit terbuka adalah dikawal oleh atap yang menjuntai luas dan tingkap-tingkap yang rendah yang menghalang langit terbuka dari pandangan mata. iv. Kelajuan angin meningkat mengikut ketinggian. Dari itu rumah-rumah di Kampong Ayer dibina tinggi di atas tiang. Selain untuk menghindari air dari mencecahi lantai rumah ketika air pasang tinggi, tiang-tiang tinggi itu juga memberikan ruang bagi laluan angin yang dapat membantu menyejukkan hawa dalam rumah. Penjelasan serupa adalah juga untuk rumah yang dibina di atas tanah kering yang terdapat pokok-pokok yang boleh menghalangi pergerakan udara.

13. Adang yang diperbuat daripada bilah-bilah buluh yang dianyam rapat menyerupai belat menangkap ikan. Di muka sebelah dalam ditutup dengan kain bewarna gelap sebagai pelapis. Adang boleh digulung ke atas dan diurak ke bawah.

15   

v. Keadaan ruang yang relatif lapang dalam rumah Melayu tempatan melalui pengurangan dinding-dinding pemisah memberikan laluan kepada edaran udara dan percahayaan yang mencukupi. Keadaan ini dibantu lagi dengan adanya tingkap-tingkap yang berukuran panjang ke bawah pada paras ketinggian badan manusia yang boleh dibuka seluasnya. Edaran udara dari luar adalah melalui tingkap-tingkap yang ada. vi. Sistem pengedaran udara bagi bahagian bubung adalah melalui penyambunganpenyambungan yang ada pada bahagian bubung, seperti lubang-lubang pada sambungan atau penemuan atap atas dan atap bawah. Udara dari luar masuk dan keluar melalui lubang-lubang ini. vii. Penggunaan bahan-bahan binaan yang ringan yang mempunyai daya penyerapan hawa panas yang rendah (low thermal capacity) seperti daun dan kayu, dapat menahan (holding) sedikit hawa panas dan memberikan rasa sejuk dalam rumah pada waktu malam. Atap daun merupakan penebat (pembendung) panas yang terbaik. viii. Sistem susun atur kedudukan rumah dapat mempengaruhi edaran udara pada sesuatu kawasan yang setentunya memberi kesan kepada hawa di dalam rumah. Susun atur rumahrumah secara sembarangan (random) seperti yang terlihat di Kampong Ayer menimbulkan banyak lorong untuk laluan angin. Keadaan ini mempastikan rumah-rumah yang terletak di bahagian kawasan belakang tidak begitu terhalang daripada menerima tiupan angin yang mencukupi. ix. Orientasi rumah Melayu tempatan yang lazimnya menghadap kiblat (hala Timur – Barat) boleh mengurangkan kawasan dalam rumah dari terdedah kepada radiasi matahari. x. Bagi rumah di atas daratan pengawalan hawa panas atau cahaya matahari dan tiupan angin juga dilakukan dengan cara menanam pohon-pohon yang tinggi seperti pokok kelapa dan pinang di sekitar berdekatan. Pohon-pohon yang tinggi bukan sahaja memberikan penteduhan yang baik, bahkan juga tidak menghalang lorong bagi tiupan angin pada paras ketinggian rumah. Semua langkah-langkah pencegahan (precautionary measures) yang dilakukan oleh tukang-tukang Melayu bagi menghadapi kejadian dan fenomena-fenomena alam melalui sistem adaptasi, memperlihatkan kepintaran mereka dalam menghadapi, mengawal dan mengatasi fenomena-fenomena tadi dalam bentuk seni bina yang unik dan kreatif.

b. Adaptasi Dengan Unsur-Unsur Sosial, Budaya Dan Agama Sistem adaptasi dengan keperluan sosial, budaya dan agama lebih ditentukan oleh unsur dalaman rumah seperti rekabentuk dan susun aturnya. Ruang dalam rumah Melaya pada umumnya tidak ditentukan atau dinamakan menurut penggunaan ruang atau kawasan,

16   

tetapi oleh bentuk (rekabentuk) rumah itu sendiri. Dari itu ruang-ruang hanya dipanggil dengan nama langgar (serambi), indung rumah dan loteng (bilik atas). Selain daripada dapur dan jamban (tandas), tidak ada ruang atau kawasan dalam rumah Melayu yang secara spesifik dinamakan bilik tamu, bilik tidur, bilik makan atau bilik belajar seperti konsep rumah moden dan Barat. Ini menggambarkan bahawa penggunaan ruang dalam rumah Melayu adalah berasaskan serba guna (multi-functional) dan bukan khusus (nonspecialised). Semuanya ini adalah berkaitan dengan konsep hidup masyarakat Melayu tradisional yang simple. Sesuatu ruang yang sama digunakan juga untuk berbagai kegiatan yang berlainan dalam masa-masa yang berbeza. Misalnya langgar yang digunakan untuk menerima tamu boleh digunakan untuk tidur pada waktu malam oleh anak-anak lelaki. Ruangan yang sama juga boleh digunakan sebagai tempat duduk berihat, sembahyang berjemaah, mengaji al-Quran, berdikir, kenduri, pernikahan, menguruskan jenazah dan sebagainya yang memerlukan kehadiran ramai orang. Dari itu saiz ruang ini lazimnya relatif besar daripada ruang-ruang yang lain. Bagi menyesuaikan dengan nilai-nilai sosial, budaya dan agama yang melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, rumah tradisional Melayu menyediakan ruang-ruang yang berasingan bagi dua jenis kelamin ini. Untuk lelaki remaja tidaklah begitu sukar untuk memenuhi tuntutan ini kerana sekiranya dia tidak mempunyai ruang yang khas, dia boleh menggunakan ruang langgar untuk berihat pada waktu siang dan menggunakannya sebagai ruang tidur pada waktu malam. Bagi gadis remaja pula, ada ruang yang dikhaskan untuknya dalam indung rumah; dan bagi keluarga yang berada, lazimnya ruang khas di bahagian atas rumah yang di panggil loteng adalah untuk menempatkan anak-anak gadis. Dalam masyarakat Melayu Brunei, selain daripada keluarga asas, anak yang telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri ada yang masih tinggal bersama orang tuanya samada untuk sementara mahupun untuk selamanya. Apabila bilangan ahli keluarga semakin bertambah sehingga terbentuknya keluarga besar, maka diperlukan pula ruang tambahan pada indung rumah. Ini dilakukan samada dengan membuat dinding-dinding penyapar (partition walls) sahaja, atau pun dengan membuat tambahan baru pada indung rumah. Masyarakat Melayu Brunei juga sangat berpegang kepada konsep kemesraan bermasyarakat daripada mementingkan fahaman hidup privacy. Kemesraan bermasyarakat ini digambarkan dalam rumah yang mereka bina yang tidak mempunyai tanda-tanda kawasan (territorial markings) dan penghalang-penghalang fizikal. Unsur privacy jarang diberikan keutamaan, tetapi lebih mengutamakan kebersamaan. Dari itu ruang dalam indung rumah terdapat hanya batasan-batasan yang minimal atau yang hanya menggunakan tabir sebagai elemen pemisah. Cara hidup bermegah-megah tidak digambarkan dalam bentuk asas dan fungsional rumah tradisional Melayu termasuk juga alat-alat kelengkapannya.

17   

Secara tradisional, orang Melayu tidak mempunyai perabot seperti kerusi, bangku (bench) dan meja. Di dalam rumah, kegiatan tidur, duduk, berihat dan membaca semuanya dilakukan di lantai. Dari itu pelawat dan penghuni rumah dikehendaki membuka kasut apabila memasuki rumah agar sentiasa bersih. Pengunjung akan didudukan di atas tikar pandan atau lampit14 yang diurak di lantai. Berkenaan dengan kelengkapan perabot ini, katil atau gata kadang-kadang digunakan di ruang indung rumah oleh pengantin yang baharu berkahwin. Penggunaan perabot yang minimal di dalam rumah Melayu juga membantu meciptakan ruang dalam yang lebih fleksibal. Penggunaan perabot yang besar-besar bukan sahaja menyempitkan ruang dalam tetapi juga menentukan sesuatu ruang itu hanya untuk kegunaan tertentu sahaja, yakni bukan lagi fleksibel. Daripada keterangan di atas, nyata rumah Melayu itu merupakan contoh penggunaan ruang yang ekonomikal, fleksibal dan optimal. Keterbukaan (openness) dan kekosongan (emptiness) adalah inti bagi ruang dalam rumah tradisional Melayu. Ciri-ciri ini juga memberikan kemudahan ventilasi, pencahayaan dan pemandangan yang baik di dalam rumah. UNSUR-UNSUR SENI KONTEMPORARI

BINA

TRADISIONAL

DALAM

SENI

BINA

Unsur-unsur seni bina tradisional Melayu masih kelihatan dalam bangunan-bangunan kontemporari tempatan yang secara asasnya berunsurkan seni bina moden. Unsur tradisional dan unsur kontemporari (moden) ini berkombinasi untuk menciptakan atau memperlihatkan unsur-unsur keindahan, fungsional dan adaptasi yang berkesan. Walaupun unsur-unsur tradisional itu tidak keseluruhannya diadopsi, tetapi dengan dibuat ubah suai, namun fungsi utamanya masih tetap sama atau kekal. Contohnya dari aspek aestetik; walaupun ada beberapa bangunan kontemporari yang mengadopsi seni bina moden atau Barat dari segi konsep, rekabentuk dan fungsi, namun masih kelihatan pada bangunanbangunan itu penerapan hiasan-hiasan dan ukiran-ukiran tradisional Melayu yang berdasarkan motif-motif non-figuratif termasuk yang menggunakan bentuk imej artifek Melayu tempatan yang diolah secara kreatif. Dari aspek rekabentuk, terdapat bangunan-bangunan kontemporari yang masih menggunakan bentuk atau jenis bubung tradisional, sama ada secara keseluruhan atau sebahagian sahaja bagi menyesuaikannya dengan keadaan iklim tempatan. Rekabentuk yang sedemikian bukan sahaja menciptakan unsur keindahan, tetapi juga menemuhi fungsi yang lebih penting.

14. Sejenis tikar atau hamparan yang diperbuat daripada belahan-belahan batang rotan yang dianyam rapat dan kemas.

18   

Begitu juga dari aspek fungsional, konsep keterbukaan ruang dalam rumah Melayu terus diadopsi dalam seni bina kontemporari. Contohnya, terdapat ruang-ruang luas dalam bangunan kontemporari yang dibiarkan lapang atau terbuka untuk digunakan sebagai ruang serbaguna. Malahan adalah menjadi trend dan kemestian masakini bagi bangunanbangunan besar sekarang menyediakan ruang-ruang bersaiz besar dan luas untuk digunakan berbagai tujuan. Begitu juga ruang-ruang kerja dalam bangunan-bangunan kontemporari lebih banyak dibiarkan terbuka untuk tujuan menjimatkan ruang, tidak seperti masa-masa sebelumnya yang lazim membuat bilik-bilik tertutup dan kekal atau memasang hadangan-hadangan separuh kekal bagi menempatkan kakitangan menengah bawah. Jika diamati beberapa buah bangunan kontemporari di negeri ini, kita masih dapat menyaksikan penerapan beberapa unsur atau ciri seni bina tradisional Melayu. Untuk tujuan analisa atau perbandingan, dua jenis binaan kontemporari yang memperlihatkan penerapan unsur-unsur seni bina tradisional akan difokus sebagai contoh, iaitu masjid dan istana. Beberapa bangunan lain juga turut disentuh tetapi secara sepintas lalu sahaja.

a. Masjid Masjid memancarkan bentuk seni bina yang dominan dalam mewarnai lanskap seni bina tempatan. Ia menonjolkan seni bina berunusr Islam yang indah, unik serta mengkagumkan masyarakat tempatan mahu pun luar sejak zaman-zaman awal Islam masuk dan berkembang di Brunei hinggalah ke zaman sekarang. Walaupun sumber-sumber awal tempatan dan asing tidak banyak menggambarkan atau menceritakan secara teperinci mengenai bentuk atau ciri-ciri seni bina Islam yang terdapat dalam masjid-masjid tempatan pada masa itu, namun bentuk bubung masjid-masjid awal dikatakan jenis tungkup atau limas yang bertingkat-tingkat (lihat Nicholl, 1986 dan Awg. Hj. Abd. Karim, 1991). Ciri seni bina tersebut membuktikan tentang kemahiran tukangtukang tempatan dalam mendirikan binaan yang memperlihatkan seni bina yang kompleks, unik, malahan mungkin dianggap canggih pada zamanya. Bukti kepada penggunaan bentuk bubung tungkap atau limas yang bertingkat-tingkat ini pada pertengahan pertama abad ke 20 Masehi, dapat disaksikan pada bangunan Masjid Pekan Brunei15.

15. Masjid Pekan Brunei dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Alam II (1924-1950). Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Pak Tunggal dan telah menjadi mangsa bom dalam Perang Dunia Kedua.

19   

Bentuk bubung tungkup atau limas bertingkat ini masih digunakan pada masjid-masjid dalam tahun-tahun berikutnya16. Malahan bentuk bubung dua tingkat ini menjadi ciri seni bina yang standard bagi masjid-masjid kampung di seluruh daerah (Awg. Hj. Metussin, 1993: XXXVI – XLIII). Bentuk bubung yang bertingkat-tingkat ini menciptakan ruang yang tinggi pada bahagian dalam masjid agar udara panas dari bahagian bawah naik ke bahagian atas menjadikan hawa dalam masjid sentiasa nyaman dan selesa walaupun dipenuhi oleh jemaah. Rekabentuk masjid berunsur seni bina tradisional yang terdapat di negeri ini mula mengalami perubahan secara berperingkat-peringkat. Contohnya penggunaan kubah (dome) dalam Masjid Brunei mula-mula dilakukan pada Masjid Pekan Seria yang siap dibina pada tahun 1954, diikuti oleh Masjid Omar Ali Saifuddien pada tahun 1958 dan kemudiannya oleh masjid-masjid utama di tiap-tiap daerah (Awg. Hj. Metussin 1993: XXXVI – XXXVII). Perubahan rekabentuk pada masjid-masjid di Brunei amat pesat dilakukan pada zaman pemerinatahan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (1950-1967) dan zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah (1967 hingga sekarang). Baginda telah melanjutkan usaha-usaha ayahanda Baginda, iaitu mana-mana masjid yang kelihatan uzur dan tidak dapat menampung keramaian jemaah telah diganti dengan bangunan yang baru dan cukup teratur dengan menggunakan bahan-bahan binaan yang canggih. Walaupun rekabentuk masjid-masjid kontemporari telah mengalami perubahan, iaitu bertambah canggih dan moden, namun untuk menambahkan lagi unsur aestetiknya, masjid-masjid itu masih tetap menggunakan hiasan-hiasan dan ukiran-ukiran yang berunsur tempatan dan Islam, seperti menggunakan kaligrafi Islam yang diolah dalam bentuk kreatif, bentuk-bentuk geometri yang indah dan kompleks dan motif-motif tumbuhan tempatan dalam bentuk daun, bunga dan lingkaran. Unsur-unsur keindahan yang disebutkan itu banyak terpancar dalam Masjid Omar Ali Saifuddien yang terkenal dengan keindahannya di rantau ini. Meskipun bahagian luar masjid ini banyak menggunakan rekabentuk seni bina luar seperti India, namun di bahagian dalamnya kaya dengan hiasan dan dekorasi yang diambil dari rekabentuk-rekabentuk dan corak-corak tempatan dan Islam (Pg. Adanan 1996:43).

16. Contohnya, Masjid Kampong Sengkurong (1929); Masjid Kampong Tanjung Maya yang keempat (1936); Masjid Kuala Belait yang kedua (1938); Masjid Mohammad Salleh yang ketiga , Pekan Bangar (1950); Masjid Kampong Danau yang ketiga, Masjid Pekan Tutong yang keempat (1950); Masjid Kampong Kiudang (1953); Masjid Kampong Kilanas yang pertama (1955); Masjid Kampong Pudak (lama) dan Masjid Kampong Panchor Murai lama (1957).

20   

Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah yang mempamerkan seni bina yang sangat mengkagumkan pada bahagian luar dan dalam, sarat dengan hiasan dan dekorasi berunsurkan Islam dan Melayu. Di bahagian luar masjid, terutama pada dinding menaramenaranya penuh dihiasi dengan motif-motif tradisional tempatan seperti lingkaran bunga air mulih, bunga bertabur dan arap gagati. Pada bahagian dalam pula terdapat dekorasi bercorak Islam yang tediri daripada ayat-ayat al-Quran yang ditulis menggunakan jenisjenis khat yang berlainan. Di Brunei, masjid dibina oleh Raja selaku ketua tertinggi pemerintahan sejak abad ke 15 masehi lagi, Sultan Sharif Ali (1425-1432), Sultan ke 317, Sultan Saiful Rijal (1533-1581), Sultan ke 718, Sultan Omar Ali Saifuddien II (1828-1852), Sultan ke 23, Sultan Abdul Momin (1852-1855), Sultan ke 24 dan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamuddin (18851906), Sultan ke 25 masing-masing telah membina sebuah masjid pada zaman-zaman pemerintahan mereka, kecuali Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamuddin yang telah membina dua buah masjid. Dalam pertengahan pertama abad ke 20, Sultan Muhammad Jamalul Alam II (1906-1924), Sultan ke 26, telah membina Masjid Pekan Brunei (juga dikenali sebagai Masjid Pak Tunggal) yang mempunyai bubung dua tingkat. Sultan Ahmad Tajuddin (1924-1950), Sultan ke 27, juga telah membina Masjid Kajang yang bubungnya berbentuk potong limas. Bahagian kedua abad ke 20 merupakan babak waktu yang sangat penting bagi perkembangan masjid di Brunei. Sultan Omar Ali Saifuddien III (1950-1967), Sultan ke 28 yang naik takhta pada tahun 1950 telah membina masjid-masjid kampung dan masjidmasjid utama di seluruh negara. Dalam zaman pemerintahan Bagindalah pembinaan masjid-masjid dimasukkan dalam Rancangan Kemajuan Negara. Masjid Omar Ali Saifuddien yang dibina pada tahun 1954 dan siap pembinaannya pada tahun 1958 adalah mengikut rekabentuk yang dilakar sendiri oleh Baginda. Baginda juga turut terlibat dalam perancangan awal dan pembinaan masjid tersebut, termasuk dalam penciptaan motif-motif untuk hiasan yang menggunakan tumbuhan-tumbuhan tempatan (Pg. Adanan 1996:43). Langkah Baginda dalam membina masjid telah diikuti oleh anakanda Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah (1967 hingga sekarang), Sultan ke 29, dengan lebih gigih lagi, terutamanya dalam pembinaan masjid-masjid baru yang lebih moden dan canggih.

17. Baginda dikatakan telah membina masjid pertama di Brunei. Sila lihat teks Batu Tarsilah Brunei (P.M Sharifuddien dan Abd. Latif Hj. Ibrahim (1974) dan Amin Sweeney (1968). 18. Masjid yang ada dalam zaman pemerintahan Baginda dikatakan mempunyai bubung yang bertingkat lima. Sila lihat Nicholl (1986).

21   

b. Istana Seperti halnya dengan masjid, rekabentuk istana-istana kontemporari di negara ini memperlihatkan kombinasi seni bina moden dengan seni bina tradisional Melayu, terutamanya dalam penggunaan bubung yang berbentuk belah bubung dan tungkup. Dari aspek dalaman, hiasan dan kelengkapan istana adalah lebih elaborate. Unsur ruang yang luas pada bahagian-bahagian tertentu dalam istana adalah bagi memenuhi kehendakkehendak pentadbiran negara, sosial, adat istiadat (budaya) dan agama. Jika diamati rekabentuk Istana Majalis yang dibina dalam zaman pemerintahan Sultan Mohammad Jamalul Alam II, jelas kelihatan ciri-ciri seni bina Melayu yang amat menarik, iaitu mempunya tujuh buah bubung yang berbentuk tungkup dan berloteng. Istana Mahkota dan Istana Sugara (Istana Kaca) yang dibina dalam zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin memperlihatkan unsur-unsur seni bina Melayu dan seni bina luar. Istana Mahkota mempunyi bentuk bubung potong limas serta terdapat serambi dan anjung pada bahagian hadapan. Barisan gerbang yang berbentuk lengkung terdapat di kanan dan di kiri hadapan istana. Istana ini juga mempunyai dua menara yang berbentuk kubah. Istana Sugara mempunyai rekabentuk yang mudah. Atap pada bahagian tengah istana (indung rumah) berbentuk belah bubung, dan dua ruang tambahan (langgar) di bahagian kanan dan kiri juga mempunyai atap yang berbentuk belah bubung. Terdapat pidaian pada bahagian hadapan tingkap kedua-dua langgar itu. Balkoni pada bahagian tengah istana mempunya dinding yang separuh tinggi serta mengandungi tebukan-tebukan berbentuk geometri. Semasa Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien masih lagi menjadi Pengiran Bendahara, Baginda telah membina Istana Bandung di Kampong Tumasik dan Istana Darussalam di Kampong Sumbiling Lama. Istana Darussalam mempunyai rekabentuk yang sederhana tetapi menarik. Atapnya berbentuk potong limas. Kawasan tambahan pada bahagian hadapan istana yang berfungsi sebagai garaj mempunyai atap belah bubung. Istana ini mempunyai tangga dari tingkat atas yang menganjur panjang ke bawah hingga ke kawasan garaj. Pepilis istana ini berbentuk rawai lidah. Apabila telah menaiki takhta Kerajaan Brunei, Sultan Haji Omar Ali Saifuddien telah bersemayam di sebuah istana baru bernama Istana Darul Hana. Keseluruhan bangunan istana ini diperbuat daripada bahan konkrit. Rekabentuk istana ini berunsurkan seni bina moden (berbubung rata) dan mempunyai barisan gerbang berbentuk lengkung (berunsur asing) pada bahagian hadapannya. Di samping itu Baginda juga telah membina sebuah istana untuk kediaman rasmi pembesar-pembesar negara asing yang membuat lawatan ke Brunei yang dikenali sebagai Istana Edinburgh (Istana Tetamu). Istana ini mempunyai rekabentuk moden. Baginda telah membina lagi dua buah istana di dua buah daerah untuk

22   

digunakan sewaktu Baginda berangkat melakukan lawatan kerja ke dua-dua buah daerah tersebut, iaitu Istana Mengalila (di Daerah Belait) dan Istana Pantai (di Daerah Tutong). Istana Mengalila mempunyai rekabentuk yang menggambarkan seni bina asing dan seni bina Melayu. Contohnya, bahagian tingkat atas mempunyai bubung rata, dan pada bahagian paling tinggi (seperti menara) berbentuk segi empat mempunyai rekabentuk yang menyerupai castle (istana kota) di bahagian tepi dindingnya. Pada bahagian tingkat bawah, bentuk atapnya adalah jenis belah bubung. Sebahagian daripada tingkap-tingkap istana ini berbentuk gerbang lengkung dan sebahagiannya lagi berbentuk segi empat tepat. Keseluruhan istana ini diperbuat daripada konkrit. Istana Pantai menggambarkan rekabentuk yang sangat sederhana, iaitu berbentuk rumah Melayu yang mempunyai atap belah bubung dan potong limas. Dalam zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Baginda telah membina istana yang sangat moden dan indah dikenali sebagai Istana Nurul Iman. Rekabentuk istana ini mempamerkan seni bina yang sangat hebat dan megah berunsurkan Melayu, Islam dan moden. Bubungnya yang kuning keemasan berbentuk belah bubung serta melengkung ke atas pada bahagian ujungnya menzahirkan rekabentuk yang impresif. Terdapat dua buah kubah yang berbeza ukurannya pada bangunan istana ini, sebuah yang berukuran kecil dari yang lainnya, terletak pada tingkat yang lebih tinggi, sementara sebuah lagi yang berukuran lebih besar terletak pada tingkat yang lebih rendah. Di ruang dalam istana dihiasi dengan dekorasi-dekorasi yang berunsurkan kesenian Islam dan Melayu Brunei. Setelah itu Baginda membina sebuah lagi istana yang dinamakan Istana Nurul Izzah di Jerudong. Rekabentuk istana ini memperlihatkan seni bina moden. c. Bangunan-Bangunan Lain Yang Berunsurkan Seni Bina Melayu Ada beberapa buah bangunan kotemporari di Bandar Seri Begawan yang mempamerkan unsur seni bina tradisional Melayu. Atas alasan ruang, cuma beberapa contoh sahaja yang akan disentuh di sini, iaitu Bangunan Alat Kebangsaan Diraja, Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bangunan Pusat Persidangan Antarabangsa dan Pusat Latihan Kesenian Dan Pertukangan Tangan Brunei. Bangunan Alat Kebesaran Diraja mempunyai rekabentuk yang berunsurkan seni bina Melayu dan Islam pada bahagian-bahagian tertentu. Kubahnya yang besar dan menonjol menjadi ciri dominan pada bangunan ini. Unsur seni bina Islam ini berpadu dengan harmoninya dengan unsur kesenian tempatan seperti yang kelihatan pada taburan motif bunga beputar19 yang dilingkungi oleh garis-garis berbentuk madu kasirat atau arap gagati pada keseluruhan permukaan kubah.

19. Motif ini dipercayai ciptaan Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien III.

23   

Mengelilingi keseluruhan bahagian bawah kubah ialah dekorasi yang dipanggil rawai lidah berwarna merah. Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan kompleks yang terdiri daripada dua buah bangunan utama yang berpisah. Rekabentuk bangunan-bangunan ini bercorak moden tetapi mengandungi unsur-unsur seni bina Melayu yang menonjol terutama yang terpancar dari bentuk bubung-bubungnya yang bercorak potong limas. Pepilisnya menggunakan rawai yang disesuaikan dengan ukiran-ukiran tempatan yang berbentuk floral yang diolah secara kreatif. Tiang-tiang bulat pada bahagian luar mengandungi ukiran-ukiran floral dari jenis air mulih atau daun menjalar. Pada tiang-tiang di sebelah dalam bangunan pula dan pada siling-siling ruangan tertentu terdapat motifmotif berbentuk geometri seperti bentuk segi tiga yang dipanggil gigi iyu (gigi yu). Bangunan Pusat Persidangan Antarabangsa juga mempunyai rekabentuk yang berunsurkan seni bina Melayu, iaitu beratap jenis belah bubung yang berlapis atau bertingkat. Bahagian dalam bangunan, terutama dewan-dewannya dihiasi dengan ukiran-ukiran berunsur floral dan geometri setempat. Bangunan Pusat Latihan Kesenian Dan Pertukangan Tangan Brunei, selaras dengan nama dan fungsinya, mempunyai rekabentuk yang mencerminkan seni bina Melayu tempatan. Hujung-hujung bendul yang menganjur keluar dibentuk mengikut hujung pedang bercabang dua, iaitu sejenis Alat Kebesaran Diraja yang dipanggil Kampilan. Pada bahagian luar, terdapat jalur (panel) yang mengandungi motif air mulih. Jalur ini mengelilingi keseluruhan bangunan. Atap bangunan yang berbentuk potong limas menambah keindahan kepada bangunan ini.

KESIMPULAN Daripada apa yang dipaparkan dalam kertas ini, dapatlah dilihat tentang kebijakan, kreativiti dan sifat innovatif masyarakat Melayu dalam menghadapi, mengawal dan mengatasi unsur-unsur dan fenomena-fenomena alam yang ekstrim. Dengan mengenal dan memahami tabiat-tabiat alam ini mereka dapat menyesuaikan diri melalui ciri-ciri seni bina yang fungsional dan praktikal yang mereka hasilkan atau ciptakan dengan tujuan mendapatkan keselesaan dan keadaan kondusif dalam kehidupan. Ternyata seni bina yang berunsurkan adaptatif ini berkesan dalam menghadapi, mengawal dan mengatasi kesankesan atau akibat-akibat fenomena alam dalam suasana ilkim tropikal yang kadangkalanya sangat ekstrim dan kurang bersahabat. Ciri-ciri inilah yang membuat seni bina tradisional Melayu masih tetap dan terus relevan, praktikal dan fungsional dalam kewujudannya bersama seni bina kontemporari atau moden. Selain daripada untuk mengawal dan

24   

mengatasi kesan-kesan atau akibat-akibat unsur dan fenomena alam yang ekstrim, seni bina Melayu juga menciptakan unsur seni dan keindahan. Dengan itu seni bina Melayu memenuhi dua tujuan atau fungsi, iaitu aspek fungsional dan aspek aestetik. Ciri-ciri inilah yang membuatkan seni bina Melayu masih mendapat tempat dalam masyarakat sekarang. Keyakinan masyarakat terhadapnya, terutama dalam memenuhi dua fungsi tadi dapat disaksikan melalui rekabentuk rumah-rumah kediaman, bangunan-bangunan Kerajaan dan swasta, istana dan masjid, sama ada dengan menggunakan ciri-ciri seni bina itu secara keseluruhan ataupun dengan mengkombinasikannya dengan unsur-unsur seni bina moden atau asing. Atas dasar inilah seni bina Melayu terus dinamik, kreatif atau adaptatif dengan keadaan dan perubahaan waktu, tanpa mengorbankan ciri-ciri asasnya. Seni bina Melayu tidak harus berada pada takuk yang sama secara berterusan. Ahli-ahli seni bina Melayu perlu lebih dinamik, kreatif, inovatif dan canggih untuk menghasilkan karya-karya yang lebih besar, berkelas tinggi dan agung, khususnya yang bercirikan Melayu, Islam dan moden untuk dijadikan mercutanda dunia dan tumpuan wisatawan, di samping mempamerkan ciri-ciri seni bina dan kesenian Melayu dan Islam yang dominan, yang menggambarkan identiti bangsa dan budaya Melayu. Bangsa Melayu masa kini masih menunggu lahirnya karya seni bina yang besar, yang benar-benar hebat, agung dan mengkagumkan seperti yang pernah dihasilkan oleh tamadun-tamadun besar masa lalu yang masih dapat disaksikan dan dibanggakan hingga ke hari ini. Pakar-pakar seni bina Melayu dan ahli-ahli profesi lain yang berkaitan perlu bekerjasama, berusaha dan mencari idea untuk menghasilkan karya seni bina besar dan menakjubkan agar tamadun Melayu dapat menambah bilangan senarai ‘Keajaiban Dunia’ (Wonders of the World) yang telah sedia ada, yang akan menggambarkan identiti bangsa dan tamadun Melayu untuk kebanggaan sepanjang zaman. Hal ini bukanlah suatu yang mustahil, tetapi sudah tentu memerlukan tingkat keilmuan dan daya kreativiti yang tinggi dan canggih dalam berbagai disiplin terutamanya yang berdasarakan sains dan teknologi.

25   

RUJUKAN Abd. Halim Nasir 1982(a) Struktur Bangunan Rumah Melayu, cipta, Oktober, Utusan Melayu, Kuala Lumpur 1982(b) Perkembangan Rumah Melayu Dari Masa Ke Semasa, Cipta, September, Utusan Melayu, Kuala Lumpur. 1984(a) Pengenalan Seni Bina Rumah Tradisionaal Melayu Semenanjung Malaysia, Bahagian Pertama, Dewan Budaya, Julai, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1984(b) Pengenalan Seni Bina Rumah Tradisionaal Melayu Semenanjung Malaysia, Bahagian Kedua, Dewan Budaya, Ogus, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Awg. Hj Abd Karim Hj. Abd. Rahman 1991 Masjid Brunei Abad Ke XVI Masehi, Pusaka, Bilangan 4; 24-33.

Awg. Hj. Metussin Bin Hj. Baki 1993 Catatan Sejarah Masjid-Masjid Negara Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Syara’iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Bandar Seri Begawan.

Amin Sweeney 1968 Silsilah Raja-Raja Brunei, JMBRAS, XLI. 2; 1-82

Alimin Hj. Abd. Hamid 1989 Tradisi Membangun Rumah-Khususnya Rumah Tradisional Di Kampong Ayer, Beriga, Oktober-Disember : 3-11.

Forrest,T 1779 Voyage to New Guinea And The Moluccas From Balambangan: Including An Account Of Magindano, Sooloo, And Other Islands, Dubiln.

Lim Jee Yuan 1987 The Malay House, Rediscovering Malaysia’s Indigenous Shelter System, Institut Masyarakat, Malaysia.

26   

Nicholl,R 1986 A Note On The Brunei Mosque Of 1578, Brunei Museum Journal, 44-46 1990 European Sources For The History Of The Sultanate Of Brunei In The Sixteenth Century, Penerbitan Khas Muzium Brunei.

Pg. Adanan Bin Pg. Badarudin 1996 The Brunei Mosques: History And Development, Seni Bina Brunei, Vol.2, Issue I (Jan. – Mac):38-43 2000 The Architecture Of Brunei Darussalam, Asean Publication.

Pg. Hj. Ismail Bin Pg. Ibrahim 1989 Seni Bina Melayu Brunei: Satu Tinjauan Ringkas, Berita Muzium Jilid 11, Bil.2:24-53

P.M Shariffudin Dan Abd. Latif Hj. Ibrahim 1974 The Genealogical Tablet (Batu Tarsilah) Of The Sultans Of Brunei, Brunei Museum Journal, 253-264

View more...

Comments

Copyright ©2017 KUPDF Inc.
SUPPORT KUPDF