Kepentingan Aktiviti Beriadah Dan Rekreasi
January 6, 2017 | Author: Muhamad Hafizuddin Bin Razli | Category: N/A
Short Description
Download Kepentingan Aktiviti Beriadah Dan Rekreasi...
Description
KEPENTINGAN AKTIVITI BERIADAH DAN REKREASI Harum sudah cempaka hiasan, Berpuput semilir laungan jiwa, Aktiviti riadah pencetus wawasan, Pastinya lahir nusa wibawa Pantun di atas jelas mengetengahkan kepada kita betapa pentingnya aktiviti riadah. Mengapakah aktiviti riadah kembali diperhangatkan dan menjadi polemik perbualan masyarakat? Marcapada ini,seiring dengan era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, masyarakat kita sering berlumba-lumba mengejar unsur kemewahan. Tanggapan kekayaan merupakan kunci kepada segala kesenangan sudah sebati dalam kehidupan mereka sehingga mereka alpa akan kepentingan aktiviti riadah yang menjadi salah satu amalan dalam mempraktikkan gaya hidup sihat. Sesungguhnya, aktivit rekreasi dan riadah yang boleh didefinsikan sebagai segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan fikiran merupakan elemen yang penting dalam menjayakan segala aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum nasi menjadi bubur. Pertama, aktiviti riadah dan rekreasi boleh menyihatkan tubuh badan kita. Hal ini demikian kerana apabila kita beriadah,kadar lemak yang terkumpul di dalam badan manusia boleh dikurangkan. Contohnya, kita boleh berjoging pada waktu lapang,terlibat dalam aktiviti senamrobik atau berkayak dan sebagainya. Tambahan lagi, jantung dapat mengepam darah dengan lancar. Secara tidak langsung, pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi dapat dihindarkan secara total .Dalam konteks ini, berekreasi dan beriadah adalah penting supaya badan kita sihat dan otak kita cerdas bak kata peribahasa Melayu, badan cergas otak cerdas.Oleh itu,kita perlu menjadikan aktiviti riadah dan rekreasi sebagai agenda harian agar kesihatan badan yang hakiki dapat dinikmati kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Menyingkap daripada sudut perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan pada setiap minggu mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan dalam diri seseorang.Bayangkan jika individu terbabit perlu bekerja selama 60 jam dalam 5 hari,bukankah mereka akan mula mengalami tertekan? Kepenatan,keletihan dan beban kerja yang memberatkan akan menyebabkan mereka menunjukkan simptom-simptom tekanan seperti mudah marah,letih,lesu dan tidak bersemangat. Hal ini demikian akan menyebabkan prestasi mereka sama ada di tempat kerja mahupun sekolah mengalami kemerosotan dan mengundang pelbagai impak negatif seperti mendapat teguran daripada pihak atasan,dilucutkan jawatan dan sebagainya. Dengan aktivitinya riadah,hal ini akan membolehkan kita melakukan aktiviti yang kita gemar. Hal ini menjadi cara yang efektif untuk menghiburkan kita. Kita dapat melupakan beban yang ditanggung dan menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, wajarlah aktiviti riadah dipraktikkan dalam kehidupan kita untuk mengurangkan tekanan yang dialami.
Sementelahan pula, melakukan aktiviti riadah turut memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan hubungan antara keluarga mahupun taulan. Hal ini dapat menjadi medium ke arah pembentukan keluarga sakinah.Misalnya, pada hujung minggu, seisi keluarga boleh turun padang untuk melakukan aktiviti riadah bersama-sama sama ada di taman atau padang. Bukan itu sahaja, ahli keluarga boleh berkongsi pandangan ,pendapat dan masalah sepanjang masa mereka bersama-sama. Dengan itu,setiap ahli keluarga boleh memahami antara satu sama lain seterusnya merapatkan jurang antara mereka. Keseronokan melaukan aktiviti riadah juga akan lebih dinikmati dengan adanya orang yang disayangi di sisi kita. Dalam hal ini kita akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk melakukan aktiviti riadah. Oleh itu, hubungan kekeluargaan yang erat dapat dilahirkan dengan melakukan aktiviti riadah. Selain itu,aktiviti beriadah juga dapat membentuk integrasi kaum. Marcapada ini,kita acap kali melihat pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum khususnya aktiviti yang berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara. Contohnya aktiviti berkayak,mendaki gunung dan meluncur. Kondusi ini akan memanifestasikan elemen kesepakatan dalam kumpulan masing-masing. Sesungguhnya, muafakat merupakan inti kepada perpaduan.Setiap ahli akan bersatu ibarat kata peribahasa Melayu, serumpun bagai serai,selubang bagai tebu. Hal ini dapat menjadi medium yang efektif bagi menyatukan kaum sekali gus membina semangat perpaduan. Oleh hal yang demikian,aktiviti riadah yang melibatkan unsur kerjasama ibarat aur dan tebing dapat menjadi wahana ke arah pembentukan integrasi kaum. Dalam fasa itu, kebaikan aktiviti beriadah yang dapat dinikmati ialah mengelakkan remaja daripada terlibat dalam masalah sosial. Hal ini demikian kerana masa lapang remaja dapat diisi dengan aktiviti yang menghiburkan dan menyeronokkan kerana masa itu emas. Masa senggang seorang remaja agak banyak kerana tidak perlu menanggung tanggungjawab seperti orang dewasa. Seandainya masa lapang itu tidak dipenuhi secara bijaksana,remaja akan terjerumus untuk mendorong diri melakukan aktiviti yang kurang berfaedah seperti melepak,bermain komputer tanpa batasan dan berbual-bual kosong ibarat menghitung bulu kambing. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti riadah,mereka tidak akan melakukan aktiviti yang kurang berfaedah kerana telah merasai keseronokan aktiviti riadah, bak kata peribahasa Melayu sambil menyelam minum air. Oleh itu, remaja dapat menghindarkan daripada terlibat dalam masalah sosial dengan melakukan aktivit Secara tuntas,kita perlu mencapai kesedaran yang tinggi dalam usaha mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi. Semua pihak perlu berganding bahu ibarat aur dengan tebing bagi menanamkan kesedaran dalam diri masyarakat mengenai kepentingan aktiviti riadah dan rekreasi dalam kehidupan seharian bagi melahirkan generasi masa hadapan yang sihat seterusnya menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.
Soalan: Huraikan kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita.
Pengenalan Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Persoalannya, apakah kebaikan yang diperoleh negara dalam usaha mempromosikan negara yang kita cintai ini, iaitu Malaysia kepada pelancong dari negara luar. Satu daripada kebaikan sektor pelancongan negara ialah kita dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia. ( Ayat topik ) Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’ telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang minima bertepatan dengan maksud peribahasa, ”Sambil Menyelam Minum Air”. Seterusnya, sektor pelancongan juga dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. (Ayat topik). Pelancong yang datang dari negara luar terpaksa menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan mahupun di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara. Sektor pelancongan dapat memajukan industri kraftangan di Malaysia. ( Ayat topik ). Barangan kraftangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraftangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli-belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, dan lain-lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraftangan tempatan. Sektor pelancongan dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru
pandu pelancong dan perkhidmatan lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan. Tidak dinafikan peluang yang datang memberi rezeki yang melimpah ruah kepada peniaga yang ringan tulang. Sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan songket boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.
Akhir kalam, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan yang besar terutama dari segi ekonomi kepada negara kita. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia kerana tak kenal maka tak cinta.
Cara-cara yang berkesan untuk melahirkan insan yang cemerlang Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, negara kita telah pesat membangun dan bangunan yang mencakar langit telah didirikan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Namun
demikian, pembangunan kerohanian tidak mengalami transformasi yang ketara secara anjakan paradigma. Untuk merealisasikan wawasan 2020, Misi Nasional atau Satu Malaysia, kerajaan perlu menjanakan pembangunan kerohanian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, terutamanya golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui cerucuk kepimpinan di negara kita. Dalam konteks ini, modal insan yang cemerlang memerlukan ciri-ciri yang unik, iaitu berintelek, berakhlak mulia, kreatif dan kritis, berbadan sihat serta memiliki kepimpinan. William J. Siegel berkata, “Manusia tidak meracang untuk gagal tetapi mereka gagal merancang.” Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu merancangkan tindakan-tindakan yang efektif untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia. Untuk mencambahkan insan yang cemerlang, ibu bapa memainkan peranan yang prioriti. Menurut Hadis, anak dibaratkan kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Lantaran itu, ibu bapa yang bertanggungjawab dan memiliki ilmu keibubapaan berupaya mencanai insan yang gemilang. Terlebih dahulu, ibu bapa perlu menitikberatkan pencapaian akademik anak mereka. Selain menemani anak mereka mengulang kaji dan membuat latihan, ibu bapa juga perlu menjadi role model atau suri teladan kepada anak mereka dalam amalan membaca kerana ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi, persis peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebung”. Banyak membaca luasnya ilmunya. Ibu bapa tidak patut lokek atau kedekut untuk memberikan pujian kepada anak atas sesuatu kejayaan. Hal ini dapat memberikan dorongan kepada mereka untuk mendaki lereng yang penuh dengan onak dan duri hingga mencapai kejayaan yang cemerlang. Hal ini selaras dengan kata-kata El Leseur, “Tanpa semangat tidak ada pekerjaan besar yang dapat dilakukan.” Tegasnya ibu bapa perlu berusaha membimbing anak mereka ke arah kecemerlangan akademik. Bagaimanapun, kecemerlangan akademik atau intelek tidak akan membawa sebarang makna jika tidak dilengkapi dengan sahsiah yang mulia. Ternyata, banyak golongan yang terdidik turut melibatkan diri dalam pelbagai jenayah kolar putih atau gejala sosial terutamanya pengagihan dadah dan kegiatan maksiat bagai melukut di tepi gantang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka menerima ajaran agama dan nilai-nilai murni di rumah. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab suci. Golongan muda perlu memiliki keimanan yang teguh untuk menjauhi segala godaan dan nafsu. Pemuda dan pemudi yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan berjati diri dapat melahirkan masyarakat sakinat yang diidam-idamkan. Dengan kata lain, ibu bapa hendak membentuk anak remaja yang berakhlak mulia untuk melahirkan masyarakat penyayang menjelang wawasan 2020. Untuk melunaskan hasrat negara, modal insan yang kreatif dan kritis merupakan komponen yang signifikan. Pihak sekolah berperanan penting untuk melahirkan insan yang kreatif dan kritis. Sukatan pelajaran dan kokurikulum sekolah perlu mengalami reformasi dan keluar dari kepompong yang tradisi dan statik. Dalam dunia ICT, pendapatan Google, Facebook dan Microsoft telah mengatasi pendapatan negara kita. Produk yang dijual oleh mereka ialah kreativiti dan ilmu mereka. Hal ini telah membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki tidak akan berguna jika tidak dicampuri dengan imaginasi yang berani dan praktikal yang berterusan. Ekoran daripada itu, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar mengemukakan idea mereka. Pertandingan reka cipta robotik, laman web dan fesyen serta lain-lain lagi perlu diadakan . Secara tidak langsung, pihak sekolah dan warga didik tidak boleh lagi bergantung pada
buku teks sahaja tetapi perlu bersikap terbuka untuk melatih anak buah mereka untuk mencetuskan idea yang kreatif dan kritis. Di samping itu, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memastikan generasi muda kita memiliki badan yang sihat dan cergas. Pihak sekolah perlu memberikan ilmu pengetahuan tentang cara-cara menjaga kesihatan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Pendidikan Jasmani di sekolah perlu dititikberatkan. Kementerian Pelajaran telah menetap setiap pelajar perlu bergiat dalam satu sukan. Hal ini merupakan tindakan yang bijaksana. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka senantiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan pemakanan seimbang seperti kriteria dalam piramid makanan. Sehubungan dengan itu, putera dan puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu dapat menjauhi penyakit kronik dan penyakit berjangkit. Badan cergas otak cerdas. Fizikal yang sihat akan membentuk semangat kental dan waja diri untuk menghadapi pancaroba dalam gelombang globalisasi. Natijahnya, ibu bapa dan pihak sekolah perlu menitikberatkan kesihatan dan kekuatan fizikal anak muda kita. Sementelahan, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang terancang untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa . Apakah ciri-ciri seorang pemimpin yang berwibawa? Tidak lain tidak bukan pemimpin yang berketerampilan perlu bersikap disiplin, tanggungjawab, amanah, dapat bekerjasama, berinteraksi dan bermusyawarah dengan orang lain serta berupaya berucap di khalayak ramai. Dalam situasi ini, pihak sekolah perlu menyediakan satu ruang yang kondusif kepada pelajar untuk menonjolkan kepimpinan mereka. Setiap pelajar perlu diberikan peluang untuk menjadi ahli jawatankuasa dalam kelas, persatuan kokurikulum dan pasukan beruniform. Menurut kata-kata mutiara, “Anda memerlukan sebanyak mungkin pengalaman getir untuk menziarahi keunggulan anda.” Justeru itu, guru sebagai penasihat harus membimbing pelajar untuk menjadi pemimpin tanpa banyak campur tangan. Seperti peribahasa, “bumi mana tidak ditimpa hujan”, pelajar yang bersalah atau bersilap perlu diberi peluang untuk membaiki diri mereka sehingga meminimumkan kelemahan mereka. Kepimpinan seseorang insan akan berputik setelah dibimbing, diasak, dilatih dan diberi peluang. Hakikatnya, sekolah merupakan medan yang kondusif untuk membuahkan modal insan yang bercirikan kepimpinan. Kesimpulan, bak kata peribahasa, “ pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, golongan muda perlu dicanai supaya menjadi modal insan yang cemerlang. Ibu bapa dan guru memainkan peranan yang terpenting untuk mencapai aspirasi tersebut. Adakah pada tahun 2057, negara kita telah memiliki saintis yang memperoleh hadiah Nobel? Adakah negara kita akan memiliki usahawan seperti Bill Gates? Adakah negara kita akan memiliki olahragawan yang akan memiliki pingat emas dalam Sukan Olimpik? Hasrat tersebut akan tercapai jika masyarakat kita mengalami anjakan paradigma dari segi pembangunan kerohanian untuk melahirkan model insan yang cemerlang seperti tema Hari kebangsaan, 1 Malaysia Menjana Transformasi.
Pendahuluan: konsep pelajar cemerlang, mengapa cemerlang, gambaran isi, peribahasa
Isi karangan: 1) cemerlang akademik - pencapaian pembelajaran, pencapaian peperiksaan awam, lanjut pelajaran 2) cemerlang kokurikulum - penglibatan, perkhidmatan / sumbangan, kepimpinan 3) cemerlang disiplin - patuh peraturan, tepat masa, tugas selesai 4) cemerlang sahsiah - asertif, sopan santun, boleh dipercayai Penutup: kesimpulan am, saranan, harapan. Karangan Penuh Antara tajuk pilihan utama program motivasi ialah tentang ciri-ciri pelajar cemerlang. Malah, kebanyakan organisasi yang berkaitan dengan pendidikan menjadikan ungkapan pelajar cemerlang sebagai cogan kata utama. Pendek kata, ciri-ciri pelajar cemerlang menjadi dambaan semua pihak sama ada pihak berkuasa pendidikan, masyarakat dan para pemimpin semua peringkat. Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau. Ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan ialah dari segi pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan sentiasa mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik darjah, dan pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik darjah. Pelajar cemerlang sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka bagi memperoleh hasil pembelajaran yang optimum. Mereka menetapkan matlamat pembelajaran yang munasabah, dan berusaha untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang bentuk gangguan. Semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran yang maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang daripada dalam diri sendiri, apatah lagi daripada pendapat yang bersifat songsang. Pelajar cemerlang tidak meletakkan terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di hati. Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru yang sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka mampu bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya. Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun menyertai kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak terlalu menonjol dan tidak hanya sebagai penumpang. Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi bersabar mendengar idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan adil. Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan tangan kosong. Maka, kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak disuruh.
Pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi dalam peperiksaan awam. Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong, tetapi dibuktikan menerusi strategi dan usaha yang optimum. Mereka tidak bergantung kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus terhadap perancangan jawapan yang menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang menggunakan segala pengalaman pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi segala kehendak sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan awam. Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam, pelajar cemerlang berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diklasifikasikan sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping melamar tempat di institut pengajian tinggi terkemuka dengan tajaan biasiswa yang berprestij. Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Pelajar cemerlang menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan bagi menggilap bakat kepimpinan, memupuk semangat suka rela dalam perkhidmatan sosial dan mendekati aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada sebagai pemimpin, peserta atau petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam, permainan dan sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti kokurikulum. Pelajar cemerlang juga sinonim dengan amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar sebagai sebagai pelajar skema yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak berasa kekok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun rakan yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul sebagai peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya bersikap positif dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu membutirkan tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku yang disenangi. Pelajar cemerlang mementingkan ketepatan masa, dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna mungkin. Pelajar cemerlang tidak seperti "melepaskan batok di tangga". Batok merujuk kepada bekas air basuhan kaki pada zaman dahulu yang dilempar semula ke bawah setelah seseorang itu menaiki tangga tanpa turun semula.
Pelajar cemerlang juga menampilkan sahsiah yang mulia dan murni. Percakapan mereka dihiasi dengan sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan berasa selamat dan dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta tidak mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa, pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak.
Pelajar cemerlang selanjutkan menampilkan ciri asertif secara konsisten. Maksudnya, mereka sentiasa mengimbangi hak diri sendiri dengan hak orang lain. Mereka tidak bersikap agresif, iaitu hanya menjaga hak diri sendiri, atau bersikap permisif dengan hanya mementingkan hak orang lain sematamata. Sikap asertif bererti tegas diri. Dengan sikap asertif, pelajar cemerlang sentiasa berupaya mempertahan pendirian, tetapi dalam masa yang sama menghormati pendapat yang berbeza. Mereka menyedari bahawa rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain. Kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Pelajar cemerlang tidak menganggap bahawa diri mereka serba sempurna, sebaliknya sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan. Maka, wajar sekali ciri-ciri pelajar cemerlang dijadikan slogan dan tema untuk semua organisasi yang berkaitan dengan pendidikan. 10.CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUARANGKA JAWAPAN 1. PENDAHULUAN Warga tua – berjasa kepada negara - telah melalui pelbagai rintangan - sering diabaikan - pelbagai usaha perlu dilakukan 2. PERENGGAN ISI Peranan keluarga – menyayangi warga tua Peranan masyarakat – mengambil berat warga tua Peranan media massa – memaparkan kisah hidup/penderitaan warga tua Peranan guru – mengingatkan pelajar menghormati warga tua Peranan kerajaan – menyediakan kemudahan kesihatan untuk warga tua 3. PENUTUP - pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa. - tidak boleh mengabaikan warga tua - merekalah yang melahirkan kita dan membesarkan kita.
View more...
Comments