Karangan Usaha Membantu OKU.doc
September 5, 2017 | Author: Jiaye Siaw | Category: N/A
Short Description
Karangan Usaha Membantu OKU.doc...
Description
Usaha berterusan membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini? Sejak akhir-akhir ini, isu kebajikan Orang Kelainan Upaya (OKU) telah menjadi satu topik perbincangan yang hangat dalam kalangan rakyat di negara ini. Golongan OKU juga perlu dibela oleh seluruh anggota masyarakat kerana mereka tidak mampu melakukan aktiviti fizikal kerana kecacatan yang dialami itu. Sehubungan dengan itu, institusi kerajaan, swasta dan orang awam mestilah menyusun strategi atau usaha untuk membantu golongan OKU memajukan diri mereka supaya tidak tersisih dalam arus globalisasi kini. Pada masa yang sama mereka juga dapat memberi sumbangan untuk membangunkan ekonomi negara ini. Antara usaha untuk membantu OKU ialah menyediakan peluang untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang tertentu. Program kemahiran tersebut sangat penting untuk melatih OKU menguasai bidang kraftangan, membaiki kenderaan dan perniagaan. Dengan cara ini mereka akan mudah untuk bekerja dan dapat menjana pendapatan keluarga walaupun cacat. Oleh itu, sokongan daripada pihak kerajaan amat diperlukan untuk membangunkan pusat-pusat latihan kemahiran OKU ini seperti Program Semai Bakti Pusat (PDK) di bawah pengawasan Felda di seluruh negara berjaya melatih kira-kira 7,700 orang OKU dalam pelbagai bidang. Jelaslah kemahiran yang dimiliki oleh OKU itu akan membantu OKU berdikari dan menyumbangkan kepada kemajuan serta pembangunan ekonomi negara kita. Selain itu, pihak kerajaan perlu membuka peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluas kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kuota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu. Di samping itu, pihak swasta pula tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih semasa mengambil pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu bersikap adil kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani di mana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Kita harus memuji Pasaraya Besar Carrefour telah mensasarkan 5 peratus daripada pekerjanya adalah OKU menjelang tahun 2010 nanti iaitu berjumlah kira-kira 200 orang. Oleh itu, peluang pekerjaan haruslah dibuka kepada OKU untuk membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan itu, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan segera melalui Kementeriannya agar minat OKU dalam bidang ini dapat dikembangkan dari masa ke masa. Sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia ke-9 kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM 22 juta melalui Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia. Semua OKU yang berminat boleh membuat permohonan dan perlu mendapat sokongan daripada persatuan masingmasing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan
golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain. Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti, bak kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU. Masukkan peribahasa Cina - jika kita memberi seorang nelayan seekor ikan, nelayan itu dapat makan untuk sehari. Jika kita menunjukkan cara memancing ikan kepada nelayan itu, dia akan dapat hidup untuk jangka masa yang lebih lama. Analoginya - OKU yang diberi bantuan dalam bentuk wang ringgit dan makanan akan terus menghadapi kesukaran untuk hidup pada hari berikutnya. Jika mereka diberi latihan kemahiran yang sesuai, mereka akan menggunakan kemahiran itu untuk "mencari makan" seterusnya. USAHA-USAHA MENINGKATKAN TARAF HIDUP GOLONGAN OKU 3 - ARAS 1 Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada kemudahan yang disediakan untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan OKU. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
CONTOH KARANGAN : Tidak kupinta lahir ke dunia, Tidak kuduga cacat begini. Bukan kupinta kasih dan manja, Bukan kurayu bantu simpati. Demikian senandung sayu sebahagian daripada lirik lagu ‘Namun Kupunya Hati’
yang bertemakan Orang Kelainan Upaya (OKU). Antara kategori OKU ialah orang yang kurang dari aspek penglihatan, pendengaran, fizikal dan sebagainya. Disebabkan hal ini, OKU sukar menjalani kehidupan seperti orang yang normal. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup golongan OKU? Antara usaha pertama yang dapat kita lakukan untuk membantu meningkatkan taraf hidup OKU di negara kita adalah dengan memberikan mereka peluang dalam bidang kerjaya. Hal ini adalah untuk membolehkan OKU berdikari. Sebagai contoh, memberikan mereka peluang pekerjaan sama ada di sektor kerajaan mahupun di sektor swasta. Antara OKU yang berjaya dan mendapat pengiktirafan ialah Allahyarham Profesor Dato’ Ismail bin Salleh yang buta matanya. Tegasnya, OKU perlu diberi peluang pekerjaan supaya taraf hidup mereka dapat ditingkatkan. Selain itu, golongan OKU boleh dibantu dengan memperbanyak infrastruktur atau kemudahan awam kepada mereka. Hal ini adalah untuk memudahkan OKU bergerak dengan selesa. Sebagai contoh, kemudahan laluan pejalan kaki atau tempat khusus untuk meletakkan kenderaan. Sekiranya kemudahan ini tiada, sudah tentu golongan OKU akan mengalami kesukaran kerana ketidakupayaan mereka dari segi fizikal jika menggunakan kemudahan awam yang sama seperti orang yang sempurna sifat fizikaInya. Oleh itu, pelbagai kemudahan perlu disediakan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Seterusnya, kerajaan perlu menyediakan peluang pendidikan yang secukupnya kepada OKU. Hal ini adalah untuk membolehkan mereka memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran tertentu. Sebagai contoh, menyediakan sekolah khusus dan pendidikan khas seperti bahasa isyarat kepada golongan OKU. Secara tidak langsung, golongan OKU juga diberikan peluang pendidikan yang sama rata dengan orang yang sempurna sifatnya. Jelaslah bahawa golongan OKU juga perlu disediakan kemudahan pendidikan untuk mereka mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Tuntasnya, semua anggota masyarakat perlulah berganding bahu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan OKU. Seharusnya nasib mereka dibela kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Marilah kita mengatur langkah sederap, seia sekata agar taraf hidup OKU lebih terjamin dan merealisasikan slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Usaha yang berterusan untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) amat wajar supaya mereka dapat memberikan sumbangan kepada negara. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha untuk membantu golongan ini. Pendahuluan : Di suatu lorong deretan kedai kelihatan seseorang yang sangat daif dengan pakaian tidak terurus sedang menadah tangan memohon simpati orang yang lalu lalang. Dalam situasi yang lain pula kelihatan seseorang yang tidak cukup anggota memohon simpati orang yang sedang lalu lalang membantunya menolak kerusi roda. Malahan di asrama-asrama yang daif mereka ini terpaksa tinggal berasak-asak. Demikianlah gambaran mudah tentang senario orang kelainan upaya (OKU) di Malaysia. Bagi rakyat Malaysia golongan OKU bukanlah suatu isu yang mendesak di negara ini. Lebih banyak isu yang harus diberi perhatian seperti isu politik, ekonomi dan isu gejala sosial yang tidak pernah kunjung selesai. Demikianlah nasib OKU yang sehingga hari ini masih dalam keadaan dilema, terbiar, dan menghadapi masa depan yang penuh hambar. Sesungguhnya sebagai insan, OKU juga mempunyai hati dan perasaan yang menuntut mereka diberi peluang untuk meneruskan hidup. Saya berpendapat memang tepat sekali pelbagai usaha harus digemblengkan sebagai langkah untuk membantu golongan tersebut meneruskan kehidupan. Isi-isi penting :
Isi 1 : OKU hendaklah diberi peluang menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi yang mereka mampu – bukan semua OKU yang tergencat mental – ilmu sahaja yang mampu mengubah kehidupan insan Isi 2 : Menyediakan pelbagai bidang kemahiran yang sesuai dengan OKU – sebagai alternatif kepada golongan yang tidak mampu meneruskan pengajian Isi 3 : Menyediakan segala infrastruktur yang mesra OKU – bagi memudahkan pergerakan dan urusan harian mereka Isi 4 : Masyarakat perlu membuka minda untuk menerima OKU seadanya – kecacatan bukan alasan untuk menyisihkan mereka – kekurangan yang dialami bukan untuk dihina tetapi untuk diinsafi Isi 5 : Kerajaan dan swasta hendaklah menyediakan peluang pekerjaan yang layak dengan kemampuan OKU – melaksana tanggungjawab atas wadah masyarakat prihatin dan penyayang Kesimpulan : Sesungguhnya, tiada seorang insan pun yang mahu dirinya dipinggiri. Mereka mahu hidup bebas dan berdikari. Sebaliknya, takdir yang menentukan, justeru tiada sesiapa yang boleh menentang takdir. Sungguhpun begitu, kita tidak boleh menidakkan ikhtiar untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka. Seandainya terus dibiarkan, mereka pasti menimbulkan pelbagai beban dan kesulitan kepada kita sehinggakan tiada beban batu digalasi.
View more...
Comments