Isu Dan Cabaran Institusi Masjid Dalam Pembentukkan Sahsiah Remaja Di Era Globalisasi Dan Cadangan Penyelesaiannya
November 22, 2017 | Author: Ezry Fahmy | Category: N/A
Short Description
Kertas kerja ini akan mengkaji pelbagai sudut peranan yang mesti dimainkan oleh sebuah institusi masjid dalam konteks pe...
Description
1 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
ISU DAN CABARAN INSTITUSI MASJID DALAM PEMBENTUKKAN SAHSIAH REMAJA DI ERA GLOBALISASI DAN CADANGAN PENYELESAIANNYA Oleh: Abdul Razak Abd Muthalib (Kolej Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur) Mohd Khairil Anwar Abd Latif (Kolej Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur) Ezry Fahmy Bin Eddy Yusof (Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF)
Abstrak Institusi masjid merupakan institusi yang memainkan peranan sangat penting di dalam kehidupan masyarakat Islam. Tetapi pada masa kini fungsi masjid dilihat tidak lebih hanya sebagai tempat mendirikan solat lima waktu sahaja. Ini sangat berbeza dengan fungsi masjid di zaman Rasulullah s.a.w. di mana ianya pusat segala aktiviti kehidupan. Tindakan Nabi s.a.w. membina masjid sebagai langkah pertama yang dilakukannya sebaik sahaja tiba di Madinah membuktikan dan menjelaskan perkara ini. Antara cabaran yang dihadapi oleh Insitutusi Masjid di Era Globalisasi ini ialah peranannya dalam pembentukan syakhsiah remaja. Remaja merupakan aset Negara pada masa akan datang, jika golongan ini bermasalah akan menyebabkan kesan yang negatif kepada Negara. Umumnya pengajaran dan pembelajaran di institusi masjid pada masa kini kurang atau tidak mengambil berat terhadap peranannya dalam menarik golongan muda ini khususnya remaja. Kelemahan dari sudut pengajaran, antaranya isi kandungan penyampaian yang tidak mencapai piawaian yang sepatutnya serta tidak bersesuaian dengan kehidupan masyarakat, khususnya golongan remaja di era globalisasi ini. Akhirnya merebak kepada kelemahan di dalam sistem pembelajaran yang hanya terhad kepada cara-cara yang tertentu sahaja. Kertas kerja ini akan mengkaji pelbagai sudut peranan yang mesti dimainkan oleh sebuah institusi masjid dalam konteks pengajaran dan pembelajaran ini. Kedua-dua elemen ini sangat penting untuk dikaji dan diperbaiki sekiranya didapati padanya sebarang kelompangan yang akan membantutkan peranan institusi ini secara keseluruhannya.
2 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
Tujuan Kertas Kerja Kertas kerja ini secara keseluruhannya bertujuan untuk melihat apakah isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh institusi masjid dalam usaha pembentukan syakhsiah remaja dan beberapa cadangan penyelesaiannya. Objektif Kertas Kerja Bagi mencapai tujuan di atas, secara khususnya kertas kerja ini bertujuan untuk mencapai objektif berikut:
Mengenal pasti peranan utama institusi masjid di sisi Islam
Mengenal pasti realiti peranan yang dimainkan oleh institusi masjid pada masa sekarang
Mengenal pasti isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh institusi masjid dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat golongan remaja
Mengenal pasti langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh institusi masjid dalam usaha menarik minat golongan remaja
Fungsi dan Peanan Masjid Dalam Islam
Tujuan utama penciptaan manusia ini ialah supaya manusia mengabdikan diri kepada Allah. Di dalam Islam, masjid merupakan suatu institusi mulia yang digunakan oleh umat Islam untuk beribadah bagi membuktikan ketaatan dan pengabdian yang ikhlas kepada Allah. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud. “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersamasama Allah”.1
Jadi, masjid adalah tempat untuk beribadah. Ibadah di sini bukan beerti solat semata-mata, tetapi mencakupi ruang lingkup ibadah yang lebih luas. Inilah fungsi utama masjid seperti yang dijelaskan di dalam firman Allah yang bermaksud, "Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati
1
Surah al-Jin, ayat 18.
3 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."2
Menurut Abd al-Rahman bin Nasr al-Sa’di (2005), ketika menghuraikan ayat ini beliau menyatakan ”termasuk di dalam maksud ”supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya” ialah dengan ditunaikan solat sama ada fardhu atau sunat, membaca al-Quran, bertasbih,
bertahlil
dan
zikir-zikir
yang
lain,proses
pengajaran
dan
pembelajaran,
bermuzakarah, iktikaf dan ibadat-ibadat lain yang boleh dilakukan di masjid...”.
Jelas bahawa fungsi masjid seperti yang dijelaskan oleh ayat ini bukan hanya untuk ditunaikan solat semata-mata, tetapi mencakupi seluruh aspek ibadah yang lain. Dalam erti kata lain, ia merangkumi segala aktiviti umat Islam yang boleh membentuk nilai ketakwaan. Di atas dasar inilah Rasulullah menjadikan agenda membina masjid sebagai perkara pertama yang dilakukan selepas baginda sampai di Madinah. Justeru, fungsi utama masjid ialah sebagai sebuah institusi umat Islam yang berusaha membentuk dan memupuk nilai taqwa di dalam diri umat Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud,"Janganlah engkau sembahyang di masjid itu (yang dibina oleh orang munafik) selama-lamanya kerana sesungguhnya Masjid (Quba) yang didirikan atas dasar takwa dari mula (wujudnya), (maka) sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya...".3
Oleh sebab itu, peranan yang dimainkan oleh masjid nabawi yang dibina oleh Rasulullah s.a.w bukan sekadar sebagai tempat untuk ditunaikan solat semata-mata. Masjid di zaman Rasulullah telah berfungsi sebagai nadi penggerak ummah ketika itu. Menyentuh tentang hal ini, menurut Halimaton Saadiah (1997), ”Daripada perjalanan kehidupan Rasulullah s.a.w, umat Islam perlu mengambil iktibar bahawa masjid boleh berfungsi lebih daripada apa yang biasa dianggap kini, iaitu masjid sebagai rumah ibadat bagi umat Islam”.
Kemudian, beliau menyenaraikan beberapa fungsi yang telah dimainkan oleh masjid di zaman Rasulullah s.a.w: 1) Fungsi Ibadah: Solat berjemaah lima kali sehari semalam merupakan tonggak segala aktiviti lain. 2) Pusat pengajaran dan pembelajaran 2 3
Surah Al-Nur, ayat 36-37. Surah At-Taubah, ayat 108.
4 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
3) Pusat Pentadbiran 4) Pusat Kehakiman: Penduduk Madinah mengajukan masalah-masalah mereka kepada Rasulullah s.a.w di masjid dan Baginda juga telah menyelesaikan banyak pertelingkahan di masjid. 5) Pusat Penerangan dan Maklumat: Khutbah memainkan peranan yang penting bagi menyalurkan ilmu, maklumat dan nasihat. 6) Pusat Perhubungan: Rasulullah bukan sahaja mengadakan perhubungan dengan sahabat-sahabat baginda bahkan melayani rombongan dan pengunjung-pengunjung bukan Islam dengan baik. 7) Pusat Kebajikan: Golongan fakir miskin ditempatkan di suatu ruang dalam masjid Nabawi. 8) Pusat Rawatan dan Kecemasan: Selepas peperangan khususnya, mereka yang luka turut dirawat di masjid. 9) Pusat Interaksi Masyarakat Berdasarkan Muhammad (2007) pula, fungsi masjid ketika zaman Rasulullah s.a.w merupakan tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam. Masjid juga dijadikan tumpuan dan pusat bagi sebarang penyelesaian masalah individu dan masyarakat. Walaupun bertempatkan masjid yang serba sederhana, ianya digunakan oleh Rasulullah s.a.w untuk menerima dan berjumpa dengan duta-duta asing, dan tempat yang mana pemimpin-pemimpin Islam bersidang selain digunakan sebagai madrasah dan tempat pengajian bagi menuntut ilmu tentang ajaran Islam. Ketika menggambarkan fungsi utama masjid selain tempat ibadat, Muhammad (2007) berkata: “Sejarah masjid Quba di Madinah menjadi bukti sebagai institusi pendidikan apabila ianya didirikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri sebagai medium untuk baginda s.a.w memberi khutbah dan halaqah sementara para sahabat duduk mengelilingi baginda dan melakukan soal jawab berkaitan urusan agama seharihari. Begitulah juga fungsi dan peranan masjid-masjid utama yang lain seperti Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Masjid Kufah, Masjid Basrah dan banyak lagi” (p.220-221). Melihat kepada fungsi yang dimainkan oleh institusi masjid pada zaman Rasulullah ini, kemungkinan ia suatu yang sukar untuk diaplikasikan keseluruhannya kepada masjid-masjid yang ada sekarang. Tetapi, sejauh manakah institusi masjid sekarang; dengan kapasiti
5 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
kemampuan yang ada, telah memaksimumkan fungsinya supaya ia benar-benar menjadi nadi pengerak umat? Justeru, apakah realiti fungsi masjid pada masa kini? Realiti Fungsi Masjid Pada Masa Kini Institusi masjid merupakan satu aset penting dalam sejarah kebangkitan Islam. Sebagai salah satu pusat yang berperanan penting kepada simbolik wilayah Islam, institusi masjid terus berfungsi sebagaimana fungsi-fungsinya yang universal. Dalam era globalisasi ini, fungsi dan peranan institusi masjid dituntut supaya berperanan lebih luas sesuai dengan peredaran masa. Tidak wajar institusi masjid yang dahulunya menjadi pusat pengembangan syiar Islam dikecilkan skopnya sebagai hanya sekadar rumah ibadat semata. Dalam usaha memakmurkan masjid, Ghafani Awang Teh (2008) mencadangkan beberapa langkah praktikal antaranya: “Menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, menyediakan senibina yang menarik, persekitaran yang bersih dan ceria, kemudahan tandas yang selesa, menyediakan risalah mengenai Islam dan fungsi –fungsi dalaman masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan promosi yang luas kepada masyarakat setempat dan pelancong asing, menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dan menyediakan ruangan pameran serta galeri.” Di Malaysia khususnya, kita tidak dapat menafikan keindahan seni bina masjid-masjid yang memaparkan budaya dan etnik masyarakat setempat. Masjid-masjid seperti Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapong-Tengku Tengah Zaharah Kuala Terengganu, Masjid Kristal Jerteh Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kg Laut Kelantan, Masjid Ulu Melaka Melaka dan lain-lain semestinya memukau para pelancong asing yang datang ke Malaysia. Adapun tujuan menjadikan institusi masjid sebagai destinasi pelancongan yang menjadi matlamat utama kebanyakan pihak dikhuatiri tersasar daripada fungsi asal kewujudan masjid. Hal ini adalah kerana kewujudan dan pembinaan masjid dilihat lebih menfokuskan kepada seni binanya yang bakal mengkagumkan para pelancong daripada pengisian rohani dan kesan yang boleh dilakukan kepada masyarakat setempat. Perbelanjaan jutaan ringgit untuk membina masjid dengan tujuan bermegah-megah adalah satu perbuatan yang sia-sia, membazir dan
6 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
menunjukkan sifat yang berlebih-lebihan sekiranya orang yang memakmurkannya pula hanya sedikit. Imam Ahmad meriwayatkan dari Anas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: " Tidak akan datang kiamat sehingga manusia bermegah-megahan dalam membangun masjid"4
Sikap berlebih-lebihan ini kadang-kala dilihat menyerupai kaum Yahudi ataupun Nasrani dalam membangunkan tempat ibadat mereka, lebih besar belanja dan keluasannya, lebih tersohor nama masjid tersebut. Ibnu Abbas berkata: “Sungguh kalian akan memperindah dan menghiasinya (masjid) sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani memperindah dan menghiasi tempat ibadah mereka.”5 Maka tidaklah harian apabila ramai pihak sehingga kini masih meragui masjid-masjid di Malaysia perihal fungsi dan peranannya dalam mencontohi kegemilangan institusi masjid pada zaman kegemilangan Islam walaupun telah menelan belanja yang besar. Selain itu, masjid di sesetengah kawasan di Malaysia juga dilihat dijadikan tempat perkumpulan (serta tarikan pelancong) kerana terdapat kuburan orang-orang ternama di dalam perkarangan masjid. Perkara ini kurang diberi perhatian oleh jabatan agama Islam negeri (JAIN) walhal ianya perkara yang boleh merosak fungsi utama institusi masjid sebagai tempat ibadat, bukannya makam perkuburan. Hatta ianya hanya kuburan orang biasa yang ditanam di perkarangan masjid apatah lagi perkuburan yang akhirnya dibangunkan masjid di atasnya adalah satu kesalahan dari aspek fekah dan dikhuatiri mampu merosakkan akidah umat Islam. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan agar tidak menempatkan kubur di perkarangan masjid kerana ianya merupakan perbuatan Yahudi dan Nasrani, ianya juga dari sudut hikmah demi mengelak menjadi sarana mempersekutukan Allah s.w.t dengan para penghuni kuburankuburan tersebut, yang mana diantara akibatnya, orang-orang berkeyakinan bahawa para penghuni kuburan yang dikuburkan di masjid-masjid itu boleh memberikan syafaat, manfaat dan sebagainya. Hal ini jelas berbeza dengan Masjid Nabawi yang dibesarkan daripada keluasan asal demi menampung jemaah yang semakin ramai. Tidak keterlaluan anggapan bahawa perkara ini dipandang enteng oleh jabatan agama Islam negeri (JAIN) apabila masih banyak kelihatan masjid-masjid yang terdapat kuburan di perkarangan masjid dewasa ini tanpa ada sebarang tindakan diambil. Ada juga yang 4 5
Sahih Al-Jami As-Shagir 6 : 174, hadis no. 7298 Sahih Bukhari, Kitab As-Solah, Bab Bunyanil Masajid jld. 1 hal. 539.
7 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
mengambil kesempatan menggunakan kuburan orang-orang ternama yang berada di perkarangan masjid sebagai salah satu promosi kepada masjid berkenaan. Antara masjid yang terkenal yang boleh dijadikan contoh dalam isu ini ialah Masjid Melayu,Bandar Taiping (Masjid Lama Taiping), Masjid Pondok Upeh,Balik Pulau, Masjid Kampung Kling,Melaka, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Mengabang Telipot, Masjid Langgar, Masjid Kampung Telaga Nenas, Masjid Tok Selehor, dan banyak lagi. Mengapa ianya menjadi isu yang penting untuk dibangkitkan ialah kerana fungsi utama masjid sebagai tempat ibadat tercemar dengan keadaan ini apabila sudah jelas amaran Allah melalui firmanNya yang bermaksud, “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka jangalah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah”6.
Di samping isu dan peranan masjid masa kini, kita juga tidak dapat menafikan wujud sesetengah masjid yang bijak dalam menggunakan dana-dana yang diperolehi dalam melaksanakan program atau aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Sepertimana yang dinyatakan oleh Jaafar et. (2001) bahawa masjid juga berfungsi sebagai penerima sumbangan harta fizikal dalam pelbagai bentuk termasuklah peralatan hinggalah tanah dan bangunan yang diwakafkan oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu apabila semua sumbangan dana dan harta yang diwakafkan ini digabungkan, maka sebahagian masjid itu mempunyai dana dan harta yang besar nilainya. Apa yang menjadi kerisauan semua pihak ialah apabila banyak harta wakaf masjid yang terbiar tanpa diusahakan untuk mendatangkan faedah yang diharapkan. Perkara ini perlu diambil serius supaya fungsi masjid itu berkembang sesuai dengan peredaran zaman dan pihak pengurusan masjid dituntut bersifat kreatif dan inovatif dalam merancang aktiviti dan hala tuju masjid sebagai pusat pengembangan syiar Islam seperti yang pernah diterajuinya suatu masa dahulu dan sehinggalah hari ini. Masjid tidak seharusnya hanya bertumpu pada hal ehwal ibadat semata, contohnya wujud beberapa masjid yang hanya mengisi jadual aktiviti bulanan mereka dengan solat hajat secara berjemaah pada isu-isu yang dirasakan perlu, atau bacaan yasin dan tahlil yang dibuat secara mingguan dan lain-lain aktiviti tanpa merancang program-program yang mampu lebih mendekatkan masyarakat terutamanya remaja dengan masjid.
6
Surah Al-Jin, ayat 18.
8 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
Jaafar et. (2001) berpandangan bahawa, “Jawatankuasa yang mempunyai kemahiran pengurusan yang tinggi dijangka akan dapat merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menarik dan mampu melibatkan anggota masyarakat keliling dalam usaha memakmurkan dan memuliakan masjid”(p.12). Masjid juga berperanan sebagai pusat penyampaian maklumat dan kesedaran kepada masyarakat melalui program atau aktiviti yang dijalankan selain adanya fungsi khutbah yang disampaikan secara mingguan dalam metod yang lebih formal. Melalui program atau aktiviti mingguan atau bulanan yang dibuat mampu menarik minat golongan tertentu untuk mendekatkan diri mereka dengan aktiviti yang dianjurkan oleh masjid. Antara program atau aktiviti dari sudut sosial yang dianjurkan oleh masjid di sekitar ibu kota ialah seperti kelas pengajian
al-Quran,
kelas
taekwondo,
program
pengurusan
rumahtangga,
seminar-
seminar,khidmat sosial dan kaunseling keluarga atau kemusykilan agama dan sebagainya. Pengajaran dan Pembelajaran di Masjid: Isu dan Cabaran Dalam Pembentukan Syakhsiah Remaja Antara fungsi penting yang dimainkan oleh institusi masjid dari dahulu hingga sekarang ialah sebagai tempat penyebaran ilmu dan pendidikan. Proses ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti kuliah mingguan, ceramah, forum dan sebagainya. Cuma, berdasarkan pemerhatian rambang yang dilakukan di kebanyakan masjid, aktiviti-aktiviti ini kurang mendapat sambutan dari kalangan remaja. Menurut Mohd Yusof Othman (1997), “Buat masa ini, majlis ilmu yang dijalankan oleh pihak masjid rata-ratanya hanya dijalankan melalui majlis “baca kitab”, yakni suatu majlis membaca (kadang-kadang tanpa mengulas) kitab-kitab lama tertentu yang muktabar oleh ulamak tertentu pada setiap minggu atau bulan. Kegiatan sebegini harus diteruskan. Kita tidak menafikan kepentingan majlis seperti ini, tetapi keberkesanan dan kemampuan majlis seperti ini untuk mengajak lebih ramai golongan remaja dan bukan untuk orang-orang pencen sahaja perlulah dikaji. Majlis ilmu seperti ini yang mana identitinya merupakan “kelab orang-orang pencen atau majlis taubat” sahaja perlu diubah agar imejnya menjadi lebih dinamik dan progresif”. Justeru, inilah antara isu dan cabaran penting yang perlu diambil kira oleh pihak pengurusan masjid supaya golongan remaja lebih dekat dengan masjid dan berminat untuk hadir aktivitiaktiviti masjid. Apabila golongan remaja berminat untuk hadir ke masjid, barulah agenda
9 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
tarbiyah dan pembinaan syakhsiyah dapat dilaksanakan. Oleh itu, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah bagaimana untuk menarik minat para remaja untuk hadir ke masjid, kemudian barulah proses pembinaan syakhsiah itu dapat dilaksanakan. Dalam merealisasikan perkara ini, sistem pengajaran dan pembelajaran yang diguna pakai oleh institusi masjid mestilah dikaji dan diperhalusi agar ianya bertepatan dengan kehidupan masyarakat berdasarkan peredaran zaman dan tempat. Tindakan tidak berperanan atau kurang mengambil berat peranan institusi masjid terhadap golongan remaja ini akan menyebabkan kerugian kepada masyarakat Islam dan dunia Islam secara keseluruhannya. Isu-isu yang wajar diperhatikan dan diperbaiki dari sudut pengajaran supaya selari dengan keperluan zaman kini, antaranya ialah: 1- Tenaga pengajar Sistem pembelajaran secara terbuka seperti kuliah-kuliah pengajian, ceramah dan yang seumpamanya yang dilakukan di dalam masjid merupakan suatu tradisi di dalam sistem pengajian ilmu Islam yang diwarisi semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah ke hari ini. Kuliah-kuliah ini merupakan tempat masyarakat menimba ilmu khususnya ilmu yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam sama ada berbentuk fardhu ain atau fardhu kifayah. Tenaga pengajar atau guru merupakan faktor yang sangat penting dalam memainkan peranannya menyampaikan dakwah serta menasihati masyarakat. Penyampaian yang efektif dan berkesan terutamanya kepada golongan remaja adalah satu faktor yang mampu menarik mereka mendekati masjid. Jika ditinjau kebanyakkan masjid yang ada di negara kita sekarang ini, tenaga pengajar juga termasuk imam-imam masjidnya terdiri daripada mereka yang telah berusia lanjut sehinggakan cara dalam penyampaian kuliah, ceramah dan juga khutbah lesu dan tidak bermaya. Apabila mereka menghuraikan sesuatu masalah atau memberikan sesuatu contoh, maka huraian atau contoh yang diberikan itu tidak sesuai dengan realiti kehidupan remaja masa sekarang. Kesannya menyebabkan golongan remaja ini tidak berminat untuk mendengarnya. Ini tidak bermaksud untuk mengatakan usia yang lanjut itu tidak diperlukan lagi, bahkan sebahagian mereka yang lanjut usianya itu kaya dengan pengetahuan dan pengalaman serta masih bersemangat dalam misi dakwahnya. Cuma, tindakan yang mungkin boleh diambil oleh tenaga pengajar ialah mempelbagaikan cara penyampaian mereka agar sesuai juga untuk diterima oleh golongan remaja. Lihatlah kepada ‘uslub’ atau cara yang digunakan oleh
10 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
Rasulullah s.a.w. dalam pelbagai ucapan dan penyampaianya. Jabir bin Abdillah ketika menyifatkan cara Nabi sewaktu berkhutbah meriwayatkan:
“Nabi s.a.w. apabila baginda
berkhutbah, merah kedua matanya, kuat suaranya, bertambah kemarahannya sehinggakan baginda seolah-olah sedang memberikan peringatan kepada tentera.”7 Di ketika yang lain pula al-Irbadh bin Sariyah meriwayatkan: “Pada suatu hari setelah selesai daripada solat subuh Rasulullah s.a.w. memberikan peringatan kepada kami dengan suatu peringatan yang mengalirkan air-air mata, dan menggentarkan hati-hati. Berkata seseorang: Peringatan ini seperti peringatan perpisahan…”.8
Kedua-dua hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap penyampaian yang dibuat haruslah meraikan keadaan dan orang yang mendengarnya. Dalam usaha untuk menarik golongan remaja untuk mendengar sesuatu penyampaian, hendaklah cara penyampaian tersebut sesuai dengan jiwa mereka. Sesebuah institusi masjid juga tidak harus mengenepikan peranan pendakwah-pendakwah muda. Termasuk juga jawatan sebagai imam, khatib dan muazzin yang seharusnya diberikan sedikit ruang kepada golongan muda supaya golongan remaja ini lebih senang untuk didekati kerana jarak usia yang tidak terlalu berbeza. Dari satu faktor yang lain, sikap sesetengah penceramah, tenaga pengajar atau pihak pengurusan masjid sendiri yang terlalu cepat melabel dan menghukum golongan remaja dengan persepsi yang negatif juga dilihat sebagai salah satu faktor kenapa remaja tidak berminat untuk hadir ke kuliah-kuliah di masjid. Sebagai contoh, bayangkan apa perasaan remaja jika dia pergi mendengar kuliah dan si ustaz mengatakan di dalam kuliahnya ayat-ayat seperti: “Remaja-remaja sekarang semuanya telah rosak…”, atau “Remaja sekarang sudah tidak boleh diharapkan lagi… dan sebagainya. Adakah sikap penceramah sebegini akan mendekatkan lagi remaja dengan masjid atau pun sebaliknya?. 2- Bahan Pengajaran Perkara yang paling penting dalam sistem pengajaran ialah bahan atau kandungan pengajaran itu sendiri. Ianya suatu bahan pengisian yang membentuk dan mempengaruhi pemikiran serta tindakan seseorang. Jika pengisian yang diguna pakai itu suatu pengisian yang baik dan
7
Sahih Muslim, kitab al-Jumuah, bab Takhfif al-Solat wa al-Khutbah, no: 1435. Sunan Al-Tirmizi, Kitab al-Ilm an Rasulillah, bab Ma Ja’a fi al-Akhzi bi al-Sunnah wa ijtinab al-Bida’, no: 2676, beliau berkata hadis ini Hasan Sahih. 8
11 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
berkualiti, maka ia akan melahirkan jiwa-jiwa yang berkualiti dan begitulah sebaliknya. Bahan pengajaran inilah yang dinamakan sebagai ilmu, dan Islam amat mementingkan perkara ini. Terdapat tenaga pengajar yang mengajar di masjid-masjid menggunakan bahan-bahan yang tidak mencapai piawaian yang Islam mahukan. Islam mewajibkan setiap perkara yang hendak disampaikan menepati fakta agama iaitu nas al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Selain itu Islam juga turut mengiktiraf kajian sains dan perubatan. Kehadiran tenaga pengajar yang tidak mementingkan keaslian dan kesahihan fakta terhadap bahan-bahan yang disampaikannya, disebabkan dua faktor. Pertama ialah mereka tidak ada suatu metodologi yang kukuh dalam memperolehi ilmu dan maklumat, menyebabkan mereka tidak dapat menapis dengan baik segala maklumat yang mereka perolehi dari sudut keaslian dan kesahihannya. Kedua ialah faktor sikap, iaitu seperti merasa diri sudah sangat berilmu, malas untuk membuat kajian, hanya berpada dengan maklumat yang sedia ada dan sebagainya. Antara bahan-bahan pengajaran yang dikenal pasti tersebar dan disampaikan oleh tenaga pengajar atau penceramah-penceramah yang tidak mencapai piawaian ilmu yang dikehendaki oleh Islam ialah: a) Penggunaan hadis-hadis dhaif (lemah) dan maudu’ (palsu) Perkara ini berlaku apabila para pengajar atau penceramah tidak menitik beratkan ilmu hadis terutamanya ulum al-hadith atau mustolah al-hadith. Ilmu ini bertujuan menyiapkan seseorang pengajar dengan ilmu untuk menyaring hadis-hadis yang hendak disampaikan kepada masyarakat sama ada hadis tersebut boleh digunakan atau tidak. Sebahagian mereka mungkin telah pun mempelajarinya tetapi oleh kerana tidak mengambil berat dalam masalah ini atau kerana mereka sendiri tidak memahaminya menyebabkan perkara ini tersebar di dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di masjid khususnya. Menurut Mariam Mohamed (2004), yang telah mengkaji hadis-hadis dari koleksi khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak, beliau mendapati bahawa daripada 102 hadis yang dikaji, 32 (31.3%) adalah hadis dhaif, 6 (5.9%) amat dhaif, 8 (7.8 %) adalah palsu. Menurut Jawiah Dakir (2009) yang memetik kajian yang dibuat oleh Rosmani A. Hamid (2005) pula, dalam kajian beliau terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam beberapa khutbah Jumaat negeri Melaka, beliau mendapati bahawa daripada 131 hadis yang dikaji, terdapat 27 hadis adalah dhaif, 6 (4.5 %) amat dhaif, dan 12 (9.16 %) palsu, manakala 7 (5.34 %) tidak dapat
12 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
dikesan sumbernya. Ini bermakna sebanyak 45 (34.35 %) hadis dalam teks khutbah pilihan tidak boleh dijadikan hujah. Kesimpulan yang dibuat oleh Jawiah Dakir (2009) bahawa diantara faktor berlakunya penyebaran hadis-hadis yang tidak sahih dari kelangan para penceramah ialah keghairahan mereka untuk mengajak manusia ke arah kebaikan tanpa membuat rujukan terlebih dahulu, sikap mengambil mudah dengan tidak menyemak semula kesahihan bahan yang ingin diajarkan, kurang merujuk kepada kitab-kitab hadis, pembelajaran ilmu hadis yang tidak mendalam dan kurangnya terjemahan kitab hadis.
Hadis-hadis yang lemah dan palsu ini memberikan kesan yang buruk terhadap kefahaman dan imej Islam serta boleh menjauhkan golongan remaja dari mendekati masjid. Antara contohcontoh hadis lemah dan palsu yang sering disampaikan oleh golongan penceramah atau di tampal di dinding-dinding masjid ialah: 1- Hadis yang melarang kanak-kanak hadir ke masjid “Jauhkanlah masjid-masjid kami dari kanak-kanak dan orang-orang gila”.9 Hadis ini merupakan hadis yang lemah. Imam al-Baihaqi berkata: hadis ini tidak sahih, Ibn alJauzi juga menghukumkannya tidak sahih. Berkata Imam al-Bazzar selepas meriwayatkannya daripada Ibn Mas’ud: Tidak ada asal dari hadisnya.10 Kelemahan hadis ini juga dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.11 Hadis ini telah menyebabkan kanak-kanak disisihkan apabila mereka hadir ke masjid sehingga saf mereka juga diasingkan jauh dari saf dewasa. Perkara ini boleh meninggalkan kesan kepada kanak-kanak tersebut apabila mereka merasa disisihkan dan sering dimarahi. Akhirnya apabila mereka meningkat ke alam remaja mereka tidak berminat untuk ke masjid.
Yang
benarnya ialah jika saf dewasa masih terdapat kekosongan, hendaklah dipenuhkan dengan kanak-kanak. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini al-Syafi’e.12 Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa. Hadis ini lemah dari sudut sanadnya.
9
Sunan Ibn Majah dengan takhrij al-Albani, Kitab al-Masajid wa al-Jamaat, bab Ma Yukrah fi al-Masajid, no. 750. Al-Asqalani, Ibn Hajar, Talkhis al-Habir fi Takhriji Ahadith al-Rafi’I al-Kabir, 11 Al-Albani, Muhammad Nasiruddin, Sunan Ibn Majah, takhrij al-albani dan Al-Irwa’ Al-Ghalil jilid 7, hlm 361. 12 Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm 492. 10
13 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
Kata Syeikh al-Albani: “Sanad (rangkaian perawi) hadis ini dhaif (lemah). Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah, namanya Syahr bin Husyab. Menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah. Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim dibelakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini.”13 2- Hadis yang melarang bercakap urusan dunia di dalam masjid “Sesiapa yang bercakap di dalam masjid dari urusan dunia, Allah akan menghapuskan semua amalannya selama 40 tahun”. Imam al-Syaukani berkata: Hadis ini merupakan hadis maudu’ iaitu palsu.14 Kandungan hadis ini juga bertentangan dengan apa yang berlaku pada zaman Nabi dan para sahabat seperti yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam sahihnya dimana Jabir bin Samurah menjelaskan para sahabat sedang bersembang-sembang lalu mereka menceritakan kehidupan mereka sewaktu jahiliyyah dan bergelak ketawa, Nabi s.a.w. hanya tersenyum mendengarnya.15 Hadis ini secara tidak langsung difahami seolah-olah Islam adalah suatu agama yang memisahkan antara urusan agama dan urusan dunia. Inilah yang diperjuangkan oleh fahaman sekular. Sedangkan telah dinyatakan bahawa masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. menjalankan pelbagai urusan dari pentadbirannya sehinggalah menahan tawanan perang yang kafir di dalam masjid. Bagaimanakah untuk menarik golongan remaja ke masjid jika dalam masa yang sama mereka tidak dibenarkan bercakap-cakap sesama mereka berkenaan sesuatu urusan yang dikatakan keduniaan? Masjid bukanlah tempat pertapaan dan pendetaan. Tetapi masjid berfungsi membangunkan umat dari sudut kerohanian dan fizikal. Ini hanyalah dua contoh dari sekian banyak hadis lemah dan palsu yang sering dibacakan oleh penceramah bahkan menjadi panduan kepada sebahagian masjid-masjid di Malaysia dengan memasukkannya ke dalam adab-adab apabila berada di dalam masjid yang ditampal di papanpapan kenyataanya. b) Unsur-unsur Israiliyyat
13
Al-Albani, Tamam al-Minnah, 284 Al-Syaukani, Al-Fawa’id al-Majmu’ah, hlm 40. 15 Sahih Muslim, Kitab al-Masajid, bab Fadli al-Julus fi Musolla ba’da al-Subhi, no:1523. 14
14 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
Antara bahan yang sering membasahi lidah-lidah penceramah-penceramah di masjid juga ialah cerita-cerita Israiliyyat. Israiliyyat ialah cerita-cerita yang diambil dari Bani Israel atau Yahudi. Kisah-kisah ini banyak yang mencemarkan imej agama Islam, malangnya ramai penceramah yang tidak dapat membezakan cerita-cerita yang benar berdasarkan al-Quran dan hadis dengan riwayat-riwayat yang datangnya dari Israiliyyat. Di zaman moden ini golongan muda khususnya remaja telah terdedah dengan pelbagai makumat hasil dari kemodenan sistem teknologi sekaligus sistem pembelajaran. Ini menyebabkan masyarakat kita sudah mampu menapis maklumat dan hanya menerima maklumat yang berdasarkan fakta. Abu Syahbah mengulas cerita karut yang disebarkan kepada masyarakat: “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu, batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu itu menggerakkan kepalanya, maka bergeraklah batu tersebut lalu bergeraklah bumi dan terjadinya gempa bumi” Katanya: “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul”.16 Generasi moden tidak boleh
menerima
perkara
ini,
tetapi
ada
golongan-golongan
agama
yang
masih
mempercayainya. Antara lain kisah Israiliyyat ialah perincian tentang sifat Luqman al-Hakim yang diberian hikmah kebijaksanaan. Al-Quran menceritakan nasihat-nasihat Luqman yang sangat berguna kepada anak-anaknya antaranya jangan mensyirikkan Allah dan berbuat baik kepada kedua orang tua. Namun riwayat Israiliyyat menyibukkan pembaca dengan perkara-perkara yang tidak memberi sebarang faedah seperti Luqman merupakan seorang hamba Habsyi berkulit hitam, pendek, hidung penyek, bibirnya tebal dan bermacam-macam lagi. Inilah yang telah mencemarkan warisan ilmu Islam terutamanya dalam bidang tafsir dan sukar pula untuk dibersihkan.17 c) Unsur-unsur dongeng, tidak logik, khurafat dan syirik Terdapat penceramah yang memenuhkan bahan pengajarannya dengan cerita-cerita dongeng dan cerita-cerita yang tidak logik menurut akal yang sihat. Tujuannya berkemungkinan untuk menarik perhatian masyarakat kepadanya, atau bertujuan pengajaran dan menakut-nakutkan orang dari melakukan maksiat atau perkara yang bercanggah dengan Islam. Islam tidak 16 17
Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafsir, hlm 305. Rujuk Al-Qaradhawi, Thaqafah al-Da’iyyah, hlm 41.
15 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
menghalalkan sesuatu cara yang tidak betul semata-mata untuk mencapai matlamat tertentu. Ada juga yang memperkenalkan dan mempromosikan sesuatu barangan yang didakwanya mempunyai hikmat atau keistimewaan tertentu yang kesemuanya ini mengundang perkaraperkara khurafat dan syirik. Antara contoh-contoh perkara yang dinyatakan ialah:
Buku dialog Nabi s.a.w. dengan Iblis, salah satu dialognya Nabi s.a.w. bertanya kepada Iblis, Apakah tempat yang paling engkau suka? Jawab Iblis: Panggung wayang.
Cerita azab kubur yang tersebar di dalam masyarakat. Kononnya mereka mendakwa telah merakam bunyi suara jeritan dan sebagainya.
Mayat yang mati berubah menjadi khinzir, atau bertukar kepada kepala anjing serta perkara-perkara pelik dan aneh yang lain.
Memperkenalkan sesuatu barang seperti kayu, batu, rajah dan sebagainya yang didakwa mempunyai kesaktian dimana si pemakainya akan mendapat sesuatu manfaat dan tiak akan terkena kemudaratan seperti kayu kokka, selipar nabi, batu cincin dan sebagainya. Ini merupakan perkara khurafat bahkan syirik kepada Allah s.w.t.
Unsur-unsur yang disebutkan ini membodohkan umat Islam dan memburukkan imej Islam. tidak hairanlah kita jika ada orang Islam sendiri yang mempertikaikan agamanya sendiri kerana merasakan agama ini berlawanan dengan kewarasan akal yang sihat. Kesemuanya berpunca dari bahan-bahan pengajaran yang tidak mencapai piawaian ilmu yang dikehendaki oleh Islam. d) Menyusahkan amalan agama Agama Islam sememangnya agama yang mudah. Agama yang tidak menyanggahi fitrah manusia. Ini jelas seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam surah al-Maidah: 6 bermaksud: “Allah tidak menginginkan untuk menyusahkan kamu”. Allah berfirman lagi di dalam surah al-Baqarah:185 bermaksud: “Allah menginginkan kepada kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesusahan kepada kamu.”
Konsep kemudahan di dalam syariat Islam ini menunjukkan bahawasanya segala perkara yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul itu ianya mudah dan mampu dilaksanakan oleh semua orang. Tetapi di sana terdapat sebahagian daripada kalangan agamawan yang suka mengambil pendekatan yang menyusahkan masyarakat dalam pengamalan agama sehariannya. Apabila pendekatan ini dibawa ke dalam masyarakat terutamanya kepada golongan remaja, menyebabkan mereka merasakan pengamalan agama ini sangat susah dan membebankan.
16 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
Akhirnya mereka tidak akan mendekati pengajaran dan pembelajaran di masjid-masjid. Memudahkan pemahaman agama ini bermula dari aqidahnya seterusnya mudah di dalam pemahaman feqahnya serta akhlak. e) Bahasa lama yang sukar difahami Terdapat juga kuliah-kuliah di masjid yang menggunakan bahan mengajarnya berdasarkan gaya bahasa Melayu lama yang sukar difahami oleh generasi remaja sekarang. Menggunakan bahan seperti ini tidaklah menjadi suatu kesalahan, tetapi ianya boleh mengurangkan minat remaja untuk menghadiri kuliah tersebut. Apatah lagi, jika tenga pengajar tersebut membaca teks tersebut sahaja tanpa diulas dengan gaya bahasa moden. Jika diulas pun tetap dengan gaya bahasa lama dan contoh-contoh yang diberikan juga ialah contoh-contoh yang sudah dianggap oleh remaja ini sebagai ketinggalan zaman. 3- Bentuk dan kaedah pengajaran dan pembelajaran Sistem pengajaran dan pembelajaran tidak akan sempurna jika tidak menitik beratkan kaedah atau cara dalam pelaksanaannya. Apa yang berlaku kepada sesetengah masjid sekarang ialah sistem pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sangat terhad hanya kepada bentuk kuliah-kuliah khusus berkenaan agama iaitu aqidah, feqah, akhlak yang diadakan
secara
mingguan atau bulanan. Kaedahnya masih menggunakan pendekatan lama sama ada dari sudut gaya penyampaian atau bahan pengajaran. Di pihak pengurusan masjid pula ada yang mengambil tenaga pengajarnya hanya semata-mata sekadar ada program yang diisi. Mereka tidak memikirkan jauh dari itu untuk meneruskan agenda perjuangan sebagai khalifah di muka bumi. Mengapa kita tidak berfikir untuk meluaskan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di masjid dengan mengadakan kelas-kelas khas kepada para remaja berkaitan matapelajaran akademik seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya supaya golongan remaja lebih mendekati kepada masjid, bahkan jika kita memikirkan keuntungan dakwah Islam mungkin ianya juga boleh dibuka kepada yang bukan Islam untuk datang dan belajar di masjid, kerana Islam tidak pernah melarang orang kafir dari memasuki masjid. Selain itu kaedah moden juga boleh digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran ini seperti penggunaan aplikasi ‘power point’, tayangan video, carta dan sebagainya. Barulah
17 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
institusi masjid kita hidup dan dapat menjadi tempat tumpuan dalam kehidupan masyarakat Islam pada era kini. Inilah antara isu-isu yang perlu diperhatikan yang juga merupakan cabaran kepada institusi masjid dalam usaha membentuk syakhsiah remaja di era globalisasi ini. Jika tiada inisiatif dari institusi masjid untuk menangani isu-isu ini, dibimbangi generasi yang baru khususnya golongan remaja akan hilang keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi masjid. Cadangan penyelesaian Bagi menangani isu-isu dan cabaran yang telah dinyatakan, kertas kerja ini mencadangkan beberapa perkara seperti berikut: 1. Tenaga pengajar di masjid mesti memiliki kemahiran penyampaian yang efektif dan berkesan supaya dapat menarik masyarakat terutamanya golongan remaja untuk mendengarnya. Kemahiran ini boleh dimiliki dan ditingkatkan melalui pembacaan buku-buku pembinaan diri atau mengikuti kursus-kursus latihan. 2.
Pihak pengurusan masjid juga perlu meramaikan pendakwah-pendakwah muda dan
memberi peluang kepada mereka sama ada untuk mengajar, membaca khutbah atau mengendalikan program-program untuk golongan remaja. Jika para pendakwah muda ini diberi peluang untuk mereka terlibat aktif dengan aktiviti masjid, ianya akan lebih dapat menarik minat golongan remaja disebabkan gaya penyampaian dan maklumat terkini yang sesuai dan mudah diterima oleh remaja. Faktor jarak perbezaan umur yang tidak terlalu jauh juga merupakan sebab yang akan membuatkan para remaja tidak berasa begitu janggal dan segan untuk bergaul dengan para pendakwah muda ini.
3. Tenaga pengajar mestilah mereka yang mempunyai kefahaman Islam yang sebenar supaya pengisian kuliah-kuliah mereka mencapai piawaian ilmu yang dikehendaki oleh Islam. Perkara ini penting untuk mengelakkan bahan-bahan penyampaiannya mengandungi unsur-unsur hadis lemah dan palsu, cerita-cerita Israiliyyat, khurafat, syirik dan bohong. Oleh itu, para pensyarah universiti dalam bidang agama, atau pun graduan lulusan agama seharusnya diberikan peluang untuk mengajar atau membaca khutbah tanpa perlu lagi kepada syarat-syarat atau prosedur yang menyusahkan.
18 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
4. Menubuhkan kelab remaja bagi setiap masjid yang digerakkan oleh golongan remaja sendiri. Oleh itu, pihak masjid boleh melantik beberapa orang remaja yang dilihat mempunyai kebolehan mempimpin untuk mengetuai kelab remaja ini. Pengerusi kelab remaja ini boleh juga dilantik menjadi salah seorang AJK rasmi masjid. Apabila perkara ini dilaksanakan, barulah golongan remaja merasakan kewujudan mereka ini dirasai dan dihargai oleh pengurusan masjid. Melalui penubuhan kelab ini, para remaja mempunyai sebab dan alasan untuk mereka hadir ke masjid berkumpul dan melakukan aktiviti sesama mereka dengan dipantau pergerakannya oleh pihak pengurusan masjid.
5. Menganjurkan kelas-kelas tuisyen di masjid khas untuk golongan remaja. Kelas-kelas ini khas untuk mengajar subjek-subjek penting yang dipelajari di sekolah. Jika sebelum ini, kuliahkuliah di masjid adalah berkaitan agama secara langsung, dan ia kurang mendapat sambutan dari kalangan golongan remaja di atas beberapa faktor yang telah dijelaskan sebelum ini, maka dengan penganjuran kelas-kelas tuisyen ini ia diharap dapat mendekatkan para remaja dengan masjid. Jika remaja ini berjaya suatu hari kelak, mereka akan mengakui bahawa masjid di kawasannya mempunyai jasa dan sumbangan kepada mereka. 6. Menubuhkan perpustakaan mini atau ruang membaca untuk para remaja dan jemaah lain. Perpustakaan mini atau ruang membaca ini dilengkapi dengan bukan sahaja buku-buku agama, tetapi juga buku-buku rujukan berkaitan mata pelajaran di sekolah dan bahan bacaan umum. Jadi, para remaja boleh menjadikan masjid sebagai tempat untuk membuat kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran dan membaca bahan-bahan ilmiah yang lain. 7. Menyediakan tempat beriadah yang sesuai di dalam kawasan masjid. Bersukan dan main memang tidak dapat dipisahkan dengan golongan remaja. Jika ini minat kebanyakan para remaja, maka pihak masjid boleh mengambil inisiatif untuk menyediakan tempat beriadah yang sesuai untuk para remaja ini. Barulah masjid tidak dilihat oleh para remaja hanya untuk golongan yang sudah pencen sahaja. Mereka boleh berkumpul dan beriadah bersama-sama dengan ahli jemaah masjid yang lain. Jika suasana ini boleh diwujudkan, maka hubungan yang akrab antara golongan remaja dan dewasa dapat dipupuk bermula di masjid. Kesimpulan
19 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
Membentuk sahsiah remaja dengan menggunakan institusi masjid selaku medium perantara merupakan perkara yang sangat penting yang perlu diambil kira oleh setiap golongan muslim yang bertanggungjawab. Tatkala zaman era globalisasi ini, golongan remaja semakin terdedah kepada masalah sosial yang berpanjangan, justeru usaha daripada pihak yang terlibat perlu berkerjasama dalam hal ini untuk mencari penyelesaian terbaik dan atas dasar itulah kertas kerja ini dibuat bagi mencadangkan kita kembali kepada contoh zaman awal yang
mana
kemuncak Islam dicapai apabila institusi masjid diberikan peranan yang sepatutnya.
Demi mencapai matlamat yang betul, kita memerlukan cara dan gaya penyampaian yang juga betul disisi agama. Cara yang betul telahpun dicontohkan oleh para salafussoleh dalam menggunakan institutsi masjid sebagai sarana kepada pengembangan syiar Islam. Maka dalam hal ini, untuk menarik perhatian golongan remaja hadir ke masjid tidaklah wajar menggunakan sarana yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam, seperti yang telah banyak dikemukan di dalam kertas kerja ini apabila fungsi utama institusi masjid ini disalahgunakan oleh sesetengah pihak akibat salah faham dan kejahilan mereka. Tiada ruginya jika ditelusuri semula tenaga pengajar, bahan pengajaran, bentuk dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diguna pakai di institusi masjid, hal ini bagi mengukuhkan dan mengembalikan semula kelahiran tokohtokoh dan golongan agamawan yang pernah suatu ketika dahulu lahir dari pendidikan institusi masjid. Justeru perkembangan fungsi masjid masa kini memerlukan pihak pengurusan masjid untuk cekap dalam pengurusan dan pembiayaian semua aktiviti yang terlibat. Oleh kerana pihak yang diberikan amanah untuk menjadi pihak pengurusan tersebut ialah jawatankuasa masjid, maka ahli-ahlinya perlu bersedia menerima perubahan dan meningkatkan kemahiran seperti yang sewajarnya bagi memastikan fungsi masjid itu dapat dilaksankan dengan efektif.
20 SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)
Rujukan Abd al-Rahman Nasr al-Sa’di, 2005, Taysir al-Karim al-Rahman, Beirut: Muassasah al-Risalah. Abu Syahbah, 2006, Kitab Israiliyyat wal Maudhuat fi Kutub al-Tafsir, Maktabah al-Sunnah. Al-Albani, Nasiruddin, 2001, Tamam al-Minnah, Riyadh: Dar al-Rayyah. Al-Qaradhawi, Yusuf, Thaqafat al-Da‘iyah, Beirut: Muassasah al-Risalah. Abu Syahbah, Maktabah al-Sunnah, Kaherah. Al-Albani, Nasiruddin, al-Irwa’ al-Ghalil, 1985, Maktab al-Islami. Al-Syaukani, al-Fawaid al-Majmua’h al-Islamiyah, Beirut. Ghafani Awang The, 2008, Jadikan masjid destinasi pelancongan, Utusan Malaysia. Halimaton Saadiah Hashim, 1997, Institusi Masjid Sebagai Pusat Pembangunan Masyarakat, INMIND. Jaafar Ahmad Sanep Ahmad Mariani A. Majid Hairunnizam Wahid, 2001, Dana dan Harta Masjid di Malaysia: Ke arah Pengurusan Strategik, National Workshop on Capacity Building Towards Excellance in Econ. Research & Policy Formulation, 23-24 April 2001, Fakulti Ekonomi UKM dan UUM, 01, Salinan Keras (Kertas). Jawiah Dakir, 2009, Hadis-hadis masyur dalam masyarakat Islam di Malaysia: Realiti dan keperluan takhrij. Kertas kerja Seminar Takhrij Hadis Nusantara, Akademi Pengajian Islam:Universiti Malaya. Mariam Mohamed, 2004, Kajian hadis dalam teks khutbah Jumaat JAIN Sarawak, Tesis Master Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd Yusof Othman, 1997, Menjana Kelahiran Khaira Ummah Melalui Institusi Masjid, INMIND. Muhammad Syafii Antonio, 2007, Muhammad SAW: Super Leader Super Manager. Jakarta:ProLM Centre & Tazkia Multimedia. Sahih Muslim, 2000, Beirut: Darul Ma’rifah. Sunan Abi Daud, Riyadh: Maktabah al-Maa’rif. Sunan Ibn Majah, Riyadh: Maktabah al-Maarif.
View more...
Comments