Contoh Karangan Cemerlang Bahasa Melayu SPM 2
October 29, 2017 | Author: Aini Akmalia Abdul Karim | Category: N/A
Short Description
Contoh karangan cemerlang Kertas 1 (Bahagian B) bertemakan Individu....
Description
Contoh karangan cemerlang Bahasa melayu spm ==> Aktiviti yang boleh dilakukan oleh remaja untuk menghindari gejala negatif. Dalam era urbanisasi ini, masih ramai lagi remaja yang terlibat dalam gejala negatif. Bagi mereka, gejala negatif yang dilakukan merupakan satu aktiviti yang dapat melepaskan tekanan yang dihadapi. Walaupun isu-isu seperti ini sentiasa hangat diperkatakan bagai goreng pisang panas, namun hal seperti ini masih berulang malah tidak pernah berkurang. Oleh hal yang demikian, individu itu sendiri perlu mencari jalan untuk berubah ke arah kebaikan seperti menyertai aktiviti-aktiviti yang berfaedah agar tidak menyesal pada kemudian hari lantaran negara memerlukan remaja yang positif dari segi sahsiah dan akademik yang bakal menjadi tonggak malah menerajui kepimpinan negara pada masa mendatang. Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh remaja untuk menghindari gejala negatif. Sebagai contoh, remaja boleh menghabiskan masa dengan membaca buku di perpustakaan. Kebanyakan remaja pada masa ini akan berasa janggal apabila digelar 'ulat buku'. Hal ini demikian kerana, mereka sering berasa seperti dipermainkan apabila dikenakan gelaran itu kepada diri mereka. Sebagai remaja yang akan menjadi pemimpin kelak, senario ini tidak wajar dijadikan penghalang untuk berubah kerana perkara seperti ini akan mendatangkan kebaikan. Justeru, remaja perlu rajin menghadirkan diri ke perpustakaan untuk membaca buku kerana 'membaca jambatan ilmu'. Untuk mendapatkan pulangan yang lumayan dalam menghindari gejala yang negatif, remaja juga boleh melakukan aktiviti seperti bersenam, bersukan mahupun berekreasi. Melalui kaedah seperti ini, remaja bukan sahaja dapat menghindari gejala negatif, malah dapat mencergaskan badan dan mencerdaskan minda. Otak yang cerdas dapat mengelakkan diri memikirkan hal-hal yang negatif lantaran di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Oleh itu, remaja perlu meluangkan sekurang-kurangnya 20 minit untuk bersukan bagi memastikan diri sentiasa terpelihara daripada gejala negatif. Di samping itu, remaja juga boleh menyertai persatuan ataupun kelab-kelab yang telah dianjurkan oleh pihak kerajaan, misalnnya Kelab Rakan Muda, Kelab Belia, Program Remaja Sihat Tanpa Dadah (PROSTAR) dan lain-lain. Melalui penglibatan dalam persatuan atau kelab, keberkesanan untuk berubah ke arah positif lebih tinggi. Hal ini demikian kerana, diri remaja itu sendiri akan mendapat motivasi daripada rakan-rakan ahli mahupun penganjur. Selain itu, aktiviti yang dianjurkan oleh kelab itu juga secara tidak langsung dapa membentuk sahsiah yang mulia dalam diri remaja, contohnya latihan dalam kumpulan. Aktiviti seperti ini akan membentuk keyakinan dan keberanian dalam diri setiap individu untuk memberikan hujah dan pendapat mereka. Jelaslah di sini bahawa kelab dan persatuan mampu menghindari remaja dalam melakukan gejala negatif. Kesimpulannya, sebagai remaja yang bakal memimpin pucuk pimpinan untuk masa akan datang, janganlah kita mencipta beribu-ribu alasan untuk tidak berubah ke arah kebaikan.
Kita perlulah mengorak langkah yang sewajarnya kerana Bill Gates pernah berkata bahawa 'orang yang berubah selepas orang lain berubah, sebenarnya dia tidak berubah'. Maka, jelaslah bahawa terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan untuk menghindari gejala negatif. Kita cuma perlu menanam azam dan tekad secara berketiak ular dan bukan hanya hnagat-hangat tahi ayam kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
View more...
Comments