Analisis Teks Moden Ranjau Sepanjang Jalan
July 17, 2017 | Author: Deneshwaran Raj | Category: N/A
Short Description
Ranjau Sepanjang Jalan novel untuk pelajar ib zon tengah...
Description
Analisis Teks Moden Ranjau Sepanjang Jalan
1.0
Pengenalan
Seperti yang telah diketahui, kesusasteraan Melayu itu sendiri terbahagi kepada dua iaitu kesusasteraan Melayu tradisional dan kesusasteraan Melayu moden. Terdapat banyak perbezaan antara kedua-dua sastera ini. Sastera Melayu klasik tidak disertakan nama penulis seperti yang terdapat pada sesetengah masyarakat. Oleh itu, sastera klasik ini dikatakan milik bersama dalam sesebuah masyarakat itu. Pemilikan bersama inilah yang menyebabkan penulis karya tidak meletakkan nama mereka pada karya mereka. Karya klasik ini bersifat lisan di mana disampai dari mulut ke mulut kerana kekurangan peralatan untuk menulis pada ketika itu. Berbeza pula dengan karya moden. Karya moden dikatakan lebih bersifat individu di mana setiap karya yang dihasilkan akan disertakan bersama dengan nama penulis. Secara tidak langsung kita akan dapat melihat dan mengetahui tentang kewujudan penulis karya moden seperti Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Keris Mas dan sebagainya. Setelah melalui sedikit kemodenan, karya-karya yang dihasilkan pada zaman moden tersebut dapat diterbitkan dengan banyak dan pengguna dapat membaca karya tersebut tanpa sebarang halangan. Akibat menerima sentuhan kemodenan, maka, terdapat sedikit pembaharuan dalam jenis-jenis karya moden. Antaranya ialah, sajak, cerpen, kritikan sastera, dan beberapa lagi pembaharuan telah dimasukkan ke dalam jenis-jenis sastera moden. Novel merupakan salah satu pembaharuan yang terdapat dalam karya moden. Penghasilan novel telah mengangkat nama-nama seperti A. Samad Said menerusi novel Salina, Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan dan lainlain lagi. Shahlan Mohd Saman & Che Abdullah Che Ya (2005: 129), menyatakan bahawa novel ialah bentuk cereka yang menggambarkan sifat realiti objektif tantang kehidupan manusia dalam pemilihan watak, latar dan sesuatu corak pemikiran yang jelas dan rasional. Istilah novel itu dipakai dalam maknanya yang longgar, iaitu walaupun ada gambaran realiti objektif tentang kehidupan insan dalam pembinaan watak, latar dan sebarang pemikiran, tetapi pada prinsipnya terutama dalam plot dan teknik penceritaannya, masih teguh terikat dengan bentuk cereka Melayu dalam ciri hikayat.
2.0
Latar Belakang
Pada bahagian latar belakang ini, akan diceritakan serba sedikit berkenaan latar belakang penulis dan sinopsis karya. Penulis yang telah dikaji ialah Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad. Karya yang telah dipilih ialah “Ranjau Sepanjang Jalan”.
2.1
Latar Belakang Penulis
Shahnon Ahmad merupakan seorang sasterawan yang prolifik terutama dalam tahun 1960-an sehingga tahun 1970-an. Beliau telah meneroka hampir kesemua bidang penulisan seperti puisi, drama, cerpen, novel, terjemahan, esei dan kritikan sastera. Walau bagaimanapun, kekuatan beliau adalah terserlah dalam lapangan penulisan cerpen, novel dan kritikan sastera. Beliau mencuba untuk menghidupkan semula konsep sastera Islam. Dalam penulisan kreatif, sama ada novel mahupun cerpen, beliau mempunyai gaya yang unik dan tersendiri dan pengaruhnya amat luas sekali. Banyak daripada hasil karya beliau memenangi hadiah karya sastera. Antaranya ialah Panel Hadiah Sastera sebagai Novel terbaik pada tahun 1973 (Ismail Yusoff, 2008: 195). Beliau dilahirkan di Kampung Banggol Dedap, Sik, Kedah pada 13 Januari 1933. Beliau berasal dari keluarga petani. Secara tidak langsung, “Ranjau Sepanjang Jalan” merupakan sebuah hasil berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sik dari tahun 1941 hingga 1946. Kemudian beliau menyambung pelajarannya di di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar hingga lulus School Certificate iaitu pada tahun 1953. Pada tahun 1954, Shahnon Ahmad bekerja sebagai guru di Grammar English School di Kuala Terengganu. Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1955 beliau telah bekerja sebagai pegawai tentera di Port Dickson. Namun, pada tahun 1957, beliau kembali bertugas sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Bukit Besar, Kedah. Pada tahun 1960, beliau dilantik menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid sehingga tahun 1963. Kemudian, beliau telah mengajar sastera di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jenan, Kedah sehingga tahun 1967. Antara karya yang dihasilkan oleh beliau ialah Rentong (1965), Terdedah (1965), Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Protes (1967), Perdana (1968), Srengenge (1973), Sampah (1974), Kemelut (1977), Seluang Menodak Baung (1978), Tunggul-Tunggul Gerigis dan Tok Guru (1988). Sementara itu, kumpulan cerpen yang dihasilkan oleh beliau ialah Anjing-anjing (1964), Debu Merah (1965), Selesai Sudah (1977) serta antologi bersama Dua Zaman (1963), Perajurit Yang Pulang (1964), Angin Retak (1960), Anak Rempong Karam di Kota (1968), Konflik (1969) dan Pertentangan (1969). Hasil karya umumnya pula ialah Penglibatan Dalam Puisi (1978) dan menterjemah antologi cerpen Cepu Kencana dan Setanggi (1960) (Ismail Yusoff, 2008: 196). 2.2
Sinopsis Karya
“Ranjau Sepanjang Jalan” (RSJ) merupakan salah satu hasil karya oleh Shahnon Ahmad. Berdasarkan pembacaan, didapati RSJ berjaya menyentuh emosi dan jiwa pembaca di mana pengarang dengan jayanya telah menulis sebuah cerita yang berjaya menggambarkan keseluruhan kehidupan yang dijalani oleh keluarga yang terdapat dapat novel tersebut. Secara umumnya, RSJ menceritakan tentang kisah kehidupan petani yang tinggal di sebuah perkampungan iaitu Kampung Banggol Dedap yang terdapat di Sik, Kedah.
Penceritaan lebih tertumpu pada kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh keluarga petani di kampung tersebut iaitu keluarga Lahumu dan Jeha. Lahuma merupakan seorang petani yang mengerjakan sawah seluas 14 relung. Sawah tersebut merupakan hasil tinggalan orang tuanya. Sawah tersebut telah dikerjakan bersama isterinya, Jeha. Mereka mempunyai tujuh orang anak iaitu Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah. Penceritaan bermula apabila Lahuma ingin memulakan penanaman padi di sawahnya. Lahuma sering memikirkan pelbagai bencana yang sering melanda tanamannya sehingga menyebabkan tanamannya musnah. Pada awal pagi itu, Lahuma turun ke sawah bersama isterinya untuk memulakan kerja menebas. Jeha telah meminta izin suaminya untuk memungut pucuk paku di tepi paya berhampiran sawah mereka. Perkara yang tidak diingini telah berlaku di mana Jeha telah diserang oleh ular tedung yang mengakibatkan Jeha lemah semangat dan tidak dapat melakukan kerja di sawah. Hampir sebulan lebih Jeha lemah semangat dan Lahuma telah mengajak anaknya iaitu Sanah dan Milah untuk menolongnya menebas di sawah. Semasa menebas tersebut, mereka telah diserang oleh lintah kerbau. Malang tidak berbau apabila Lahuma telah terkena duri nibung yang menyebabkan dia tidak dapat bekerja lagi. Hal ini menyebabkan Jeha terpaksa mengambil alih tugas Lahuma. Lahuma tidak betah tinggal di rumah. Dia sendiri telah mencuba untuk membuang duri nibung yang masih berada dalam kakinya. Tindakan tersebut talah menyebabkan lukanya makin parah sehingga menyebabkan kuman merebak ke seluruh badannya dan menyebabkan seluruh badaknya membusung. Akhirnya Lahuma meninggal dunia. Jeha menghadapi kesukaran untuk mengerjakan sawah tersebut kerana kudratnya tidak sama dengan kudrat Lahuma. Dia telah meminta tolong anakanaknya untuk membantunya di sawah. Penghulu kampung juga telah membantu memutar semak yang tumbuh di sawah mereka dengan menggunakan traktor. Akhirnya, Jeha dapat menanam benih semai di dalam sawahnya. Dugaan mendatang apabila ketam padi menyerang sawah mereka. Jeha tidak dapat tidur dengan nyenyak untuk menghalau ketam tersebut. Jeha juga rindu akan suaminya. Hal ini menyebabkan Jeha sering bercakap seorang diri. Beliau juga dihimpit masalah apabila sering memikirkan nasib sawahnya di masa akan datang. Akhirnya Jeha disahkan gila dan dia dirawat di Tanjung Rambutan. Tugas menjaga sawah berpindah kepada Sanah, anak sulung Lahuma dan Jeha. Sanah berasa sukar untuk mengerjakan sawah tersebut kerana selama ini dia hanya memerhatikan emak dan ayahnya mengerjakan sawah. Sanah bersama Milah telah mengusahakan sawah itu. Mereka telah diduga apabila banjir telah melanda sawah mereka. Setelah masalah banjir reda, mereka diuji dengan kehadiran burung tiak yang memakan padi di sawah. Sanah dan adik-beradiknya yang lain tidak patah semangat untuk menghalau burung tersebut. Akhirnya padi mereka sudah boleh dituai. Sanah rindu akan emaknya. Dia telah membuat keputusan untuk merasmikan beras baru tersebut apabila emaknya pulang dari
Tanjung Rambutan. Wakil pekerja dari Tanjung Rambutan telah menghantar emaknya pulang, namun, emaknya dilihat semakin parah. Hal ini menyebabkan emak mereka tidak dibenarkan tinggal di rumah.
3.0
Analisis Karya
Pada bahagian ini, novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad akan dikaji. Kajian adalah meliputi aspek pemikiran, falsafah, nilai budaya dan pandangan hidup, estetika dan kepengarangan, serta nilai ilmu. 3.1
Pemikiran
Pemikiran merupakan salah satu aspek yang akan dikaji dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad ini. Pemikiran merupakan isi penting yang dapat disimpulkan apabila kita membaca sesebuah karya. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd Rahman Napiah & Moohd Rashid Md. Idris (2016: 69), dengan kata lain, pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Terdapat beberapa pemikiran yang ingin ditonjolkan oleh pengarang dalam karyanya. Antaranya ialah: 3.1.1
Kemiskinan
Kemiskinan merupakan salah satu desakan atau himpitan hidup yang tidak dapat dielak oleh sesiapa pun. Kematangan seseorang menguruskan hidupnya akan menyebabkan seseorang itu akan mengambil mudah tentang masalah kemiskinan tersebut. Hal tersebut dapat dilihat seperti yang berlaku dalam keluarga Lahuma. Walaupun Lahuma berasal daripada keluarga yang susah dan tidak mempunyai peralatan yang canggih untuk menguruskan sawahnya, Lahuma tidak pernah merungut dan tidak pernah berputus asa. Dia tetap mengerjakan sawahnya yang berkeluasan 14 relung itu tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa pun. Hal ini terbukti berdasarkan petikan yang berikut: “… Lahuma percaya bahawa kalau begini keadaan tugas menajak itu, akan cepat habis juga. Akan habis sama dengan petani-petani yang menggunakan traktor. Pada mulanya dia hendak menggunakan traktor tetapi apabila memikirkan serelung sudah menelan belanja lapan ringgit, dipendamkan saja hasrat itu…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 78)
Berdasarkan petikan tersebut, dapat dibuktikan bahawa Lahuma sememangnya berada dalam keadaan tersepit dan susah. Kesusahannya dapat dilihat apabila dia ingin menggembur tanah dan menebas sawah. Dia hanya menggunakan tulang empat keratnya sahaja untuk melakukan semua itu tanpa menggunakan mesin seperti orang lain. Dia keberatan menggunakan traktor kerana memikirkan upah yang perlu dibayar apabila dia ingin menyewa traktor tersebut. Menurut Ungku Maimunah Mohd Tahir (2007: 72-73), Shahnon mengatakan bahawa apabila beliau menulis novel ini, beliau dihantui oleh satu masalah besar yang dihadapi oleh masyarakat Melayu tani iaitu kemiskinan. Inilah yang menjadi perhatiannya dan inilah yang ingin diserlahkan dalam novelnya. Sebagai anak yang lahir dan dibesarkan dalam persekitaran pedalaman dan pertanian, soal kemiskinan para petani bukanlah satu perkara yang asing baginya. 3.1.2
Moral
Selain daripada aspek kemiskinan, pengarang juga ingin menonjolkan aspek moral dalam novel “Ranjau Sepanjang Jalan” ini. Selain kemiskinan, makalah Shahnon Ahmad juga menarik perhatian terhadap satu sifat yang menurutnya telah menjadi darah daging para petani, iaitu kegigihan dan keazaman mereka untuk meneruskan hidup tanpa putus asa. Bersandarkan pegangan tersebut, golongan petani juga tidak pernah lupakan kepada pencipta apabila mereka menyerahkan segala usaha mereka kepada Allah. Hal ini terbukti berdasarkan kepada petikan yang berikut: “…Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Allah S.W.T. Ini pegangan Lahuma sekarang. Malah, telah menjadi pegangan yang kukuh sejak zaman datuknya, Haji Debasa…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 78)
Prinsip tersebut telah diulang sebanyak empat kali sebelum cerita sebenarnya dimulakan. Dengan perkataan lain, dari segi struktur, prinsip ini didahului sebelum cerita dimulakan. Hal ini telah menunjukkan bahawa sememangnya Shahnon Ahmad ingin menegaskan bahawa keluarga Lahuma tinggi dari aspek moralnya. Walaupun mereka berasal daripada keluarga yang susah dan miskin, kegigihan dan keazaman tidak pernah terpisah daripada hidup mereka di samping ketakwaan yang tinggi kepada Allah dengan menyatakan bahawa segala-gala yang berlaku adalah ketentuan dari Allah.
3.1.3
Kesetiaan Seorang Isteri terhadap Suami
Shahnon Ahmad turut memaparkan pemikiran tentang kesetiaan seorang isteri terhadap suaminya yang dipaparkan melalui watak Jeha. Selepas kematian suaminya yang tercinta iaitu Lahuma, Jeha berubah sikap seperti orang yang tidak siuman. Dia kerap terbayangkan waktu-waktu bersama dengan suaminya mengerjakan sawah dan segalanya. Bayangan suaminya kerap mendatangi beliau. Jeha benar-benar tidak dapat menerima ketentuan bahawa suaminya itu telah pergi buat selamanya. Hal ini dapat dilihat menerusi petikan berikut: “Jeha tidak lupa kepada suaminya, Lahuma. Busung suaminya tidak dapat dipisahkan...” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 223)
“Bapa kau tidak mati. Dia ada dalam dada mak ni.” Dada itu ditepuk-tepuknya. (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 234)
3.1.4
Cabaran Ketua Keluarga Mencari Rezeki
Ketua keluarga mempunyai tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Tugas seorang suami tidak hanya tertumpu kepada isteri tetapi merangkumi kehidupan anak-anak dan keperluan mereka. Suami perlu bekerja keras untuk memastikan isteri dan anak-anak berada dalam keadaan yang selesa. Seperti dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, Lahuma merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk memikirkan cara mencari rezeki demi sesuap nasi kepada ahli keluarganya. Disebabkan itu, Lahuma bekerja keras dengan menanam padi dan hasilnya boleh dijual untuk memperoleh pendapatan. Lahuma juga di dapati sentiasa memikirkan masa depan keluarga dan Lahuma berangan untuk melihat cucu dan cicitnya menikmati beras yang telah dituai hasil daripada titik peluhnya sendiri. Lahuma juga memikirkan kepentingan keluarga mereka kerana dia adalah satu-satunya lelaki yang berada dalam keluarganya dan dia memikirkan sekiranya dia mati siapa yang akan meneruskan perjuangannya dan adakah cucu cicitnya akan merempat di jalanan dan meminta sedekah kelak. Keadaan ini diceritakan pada bab 1 seperti di petikan di bawah: “…tetapi apa yang akan berlaku jika dia mati nanti? Bendang 14 relung itu akan dibahagi-bahagikan. Dua relung seorang. Dan apabila anak-anaknya telah dikurniakan zuriat, mereka sendiri membahagi-bahagikan bendang itu pula sedikit cucu-cucunya akan dapat. Dan boleh jadi cicit-cicitnya nanti tidak akan mendapat walau satu tapak bendangnya sekalipun…” (Ranjau Sepanjang Jalan,2006: 5)
3.1.5
Bersyukur kepada Tuhan
Sanah sangat bersyukur rezeki yang diberikan oleh Allah kepada keluarga mereka. Walaupun hidup mereka sederhana namun masih cukup untuk Sanah dan keluarganya makan dan minum. Sanah tidak menyalahi takdir dan percaya kepada rezeki yang dikurniakan Allah. Misalnya dalam petikan di bawah: “Tetapi kemurungan itu hanya terbatas kepada diri mereka saja. Tidak dikaitkan dengan kekuasaan Allah. Kehendak-NYA tidak dimaki-maki oleh mereka. Penerimaan bala yang sering berlaku itu menjadi biasa kepada mereka. Hidup ini memang begitu keadaannya.” (Ranjau Sepanjang Jalan, 316)
“ Tahun depan dia akan bertemu lagi dengan tiak-tiak itu. Dan dia kan bersenjatakan doa saja kepada ALLAH S.W.T.” (Ranjau Sepanjang Jalan, 321)
3.2
Falsafah
Falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Tegasnya, seseorang yang berpegang kepada falsafah ialah orang yang mencari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang berkaitan dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Dengan itu, falsafah ialah perkara yang membincangkan sesuatu secara terperinci untuk mendapat jawapan yang benar dan real terhadap sesuatu perkara. Antara bidang tumpuan dalam falsafah ialah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik dan logik. 3.2.1
Falsafah Ekonomi
Falsafah ekonomi merujuk kepada sistem pendapatan dan pengurusan harta benda. Ia melibatkan kebolehan seseorang itu menguruskan kehidupan bersandarkan kepada sesuatu yang dipunyainya. Berdasarkan novel RSP, dapat dilihat bahawa Lahuma mempunyai masalah melibatkan aspek ekonomi. Hal ini terbukti apabila beliau terpaksa memikirkan pelbagai cara untuk menguruskan sawahnya. Kudrat Lahuma menjadi lemah apabila dia terkena duri nibung. Oleh itu, dia terfikir untuk menyewa traktor daripada penghulu. Namun, akibat kesempitan wang, beliau terpaksa memikirkan alternatif lain bagi membayar sewa tersebut. Hal ini terbukti berdasarkan petikan yang berikut: “…Traktor tuk penghulu itu mudah. Kita bayar sewanya bila padi masak.” Lahuma mengaju pendapatnya pula.
“Tetapi tuk penghulu tidak akan beri sewa,” tingkah Jeha yang mengetap bibir, tidak setuju dengan pendapat suaminya itu…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 128-129)
3.2.2
Falsafah Politik
Falsafah politik pula merujuk kepada aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara. Kebiasaan dalam sistem politik, ai akan dikaitkan dengan sistem pemerintahan, dan sistem pemerintahan itu pula akan dikaitkan dengan golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah akan mendominasi sesuatu kawasan tersebut dan golongan yang diperintah akan mematuhi sistem yang telah ditetapkan oleh golongan pemerintah. Begitu juga dengan sistem politik yang terdapat di Kampung Banggol Dedap. Kampung tersebut diketuai oleh seorang penghulu yang kaya. Kekayaannya tergambar apabila beliau mempunyai banyak relung sawah dan mempunyai traktor untuk menggembur tanah. Namun, Lahuma menyatakan bahawa penghulu tersebut kurang mengenang jasa. Hal ini terbukti berdasarkan petikan yang berikut: “…Ingatan kepada tuk penghulu berubah. Tuk penghulu tidak akan mengenang jasa-jasa orang sepertinya. Selama ini tuk penghulu tidak pernah mengenang jasa orang lain. Tetapi apalah ada kepada tuk penghulu itu…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 113)
3.2.3
Falsafah Logik
Falsafah logik juga terdapat dalam karya Shahnon Amas ini. Falsafah logik merujuk kepada pemikiran yang rasional, taakulan dan sebab musabab. Dalam bahasa yang lebih mudah, logik dapat dikatakan sebagai tindakan atau solusi yang diterima oleh akal dalam melakukan sesuatu terutamanya dalam menyelesaikan masalah. Tindakan yang logik dalam menyelesaikan masalah akan mengakibatkan masalah tersebut dapat diselesaikan dengan baik. dalam RSP ini, dapat dilihat Lahuma telah melakukan tindakan yang tidak dapat diterima langsung oleh logik akal. Perhatikan petikan yang berikut: “… Kaki sakitnya ditarik ke atas riba. Bengkaknya menguning tegang. Dengan menahan kesakitan, Lahuma menghala hujung mata pisau itu ke tapak kakinya yang mengandungi nanah itu. Daging kakinya terpokah. Tersembur nanah hampir-hampir secawan. Dihirisnya daging itu. kemudian dipicit-picit hingga terketar-ketar tangannya…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 116-117)
Berdasarkan petikan tersebut, dapat dilihat Lahuma telah bertindak di luar kewarasan akalnya apabila dia bertindak membelah kakinya yang membengkak. Tindakan tersebut telah menyebabkan bisa semakin merebak ke kawasan lain yang mengakibatkan satu badannya membengkak dan akhirnya dia meninggal. 3.2.4
Falsafah Sosial
Hubungan kekeluargaan ini dapat dilihat berdasarkan hubungan antara ahli keluarga itu sendiri. Berdasarkan RSJ ini, dapat dikatakan pengarang cuba menonjolkan hubungan kekeluargaan dalam karyanya. Hubungan kekeluargaan tersebut cuba ditonjolkan melalui sikap saling bekerjasama di antara Sanah dan adik beradik mengerjakan sawah milik mereka sekeluarga selepas mereka kematian ayah dan selepas ibu mereka menjadi tidak siuman. Sikap tersebut dibuktikan berdasarkan kepada petikan yang berikut: “...Jenab yang berada di sebelah petak tengah nampak tertonyoh-tonyoh dengan galahnya itu. Sampah-sarap yang berada di tepi-tepi permatang ditolak-tolak ke arah lain...Sanah turun ke tengah-tengah petak itu sambil menolak-nolak ranting dan dahan yang tersangkut...” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 271)
3.2.5
Falsafah Etika
Etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Bekerja bersungguh-sungguh merupakan falsafah etika. Hal ini kerana pengajaran yang mendalam kita perolehi melalui nilai berkerja bersungguh-sungguh ini. Berdasarkan cerita Ranjau Sepanjang Jalan ini, dapat dilihat watak Jeha yang bekerja bersungguh-sungguh demi menyara kehidupannya sekeluarga. Setelah pelbagai cabaran dan dugaan yang menimpanya beliau kini boleh tersenyum gembira sedikit melihat hasil kerjanya di bendang sawah tersebut yang mula menghijau dengan suburnya. Di bawah merupakan petikan yang menunjukkan Jeha bekerja bersungguh-sungguh: “...Jeha terasa lapang dadanya semula. Padinya yang baru disulam berubah kehijaunya lepas sehari ke sehari. Berkepak-kepak daun-daun kecil itu apabila dipuput angin bukit. Ikan-ikan haruan, keli, puyu dan sepat mulai bersorak-sorak semula dibantang padi...” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 218)
3.3
Nilai Budaya dan Pandangan Hidup
Menurut Ramli Isin (1997: 65), daripada penelitian dan penganalisisan terhadap teks-teks atau novel-novel pilihan, satu hal yang dapat dikesan iaitu kecenderungan penumpuan atau aliran yang hampir sama novelis itu dalam
menanggapi, menghayati dan mencernakan dengan teliti kenyataan (realiti) dan nilai masyarakat bangsa mereka yang dihadapi dan dialami oleh mereka dalam kehidupan sehari-hari, sama ada di kampung mahupun di bandar dan pesisirannya. Kemudian, ini akan dicitrakan semula ke dalam bentuk novel itu melalui unsur dan gejala behasa yang dikuasai mereka. Begitu juga dengan Shahnon Ahmad. Beliau telah melihat nilai budaya masyarakat tani dan memasukkan nilai budaya tersebut ke dalam karya beliau. Berikut merupakan nilai budaya yang terdapat dalam RSP:
3.3.1
Tegas
Tegas merupakan salah satu nilai budaya yang wujud dalam RSP ini. Tegas merujuk kepada suatu perwatakan yang wujud dalam diri seseorang yang menyebabkan sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh orang tersebut tidak dapat diubah dengan sewenang-wenangnya. Sikap tegas ini kebiasaannya wujud dalam diri seorang ketua, sama ada ketua keluarga, ketua masyarakat dan sebagainya. Berdasarkan perwatakan yang telah digambarkan dalam novel kajian ini, dapat dikatakan bahawa Lahuma seorang yang tegas dalam membuat keputusan. Beliau sebagai seorang ketua keluarga akan membuat keputusan dalam sistem penanaman padi di sawah. Petikan di bawah ini membuktikan bahawa Lahuma seorang yang tegas. “… Kau berdua turun di sebelah sana,” arah Lahuma sambil jari telunjuknya dituding ke satu penjuru…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 73)
3.3.2
Bersemangat Waja
Bersemangat waja merujuk kepada sikap positif yang wujud dalam diri seseorang. Semangat yang waja ini dapat dilihat apabila seseorang tersebut ditimpa musibah atau mempunyai masalah yang besar, dia tidak akan mudah melatah atau mengalah dengan ujian yang menimpa dirinya itu. Berdasarkan novel RSP ini, perwatakan bersemangat waja tersebut dapat dilihat dalam diri Jeha. Jeha merupakan isteri kepada Lahuma merupakan seorang yang bersemangat waja. Dia sanggup turun ke sawan untuk menyelesaikan tugasan suaminya. Malahan, dia telah mengambil alih tugas suaminya sepenuhnya. Lahuma telah mencadangkan bahawa Jeha meminta bantuan daripada penghulu untuk menggembur tanah mereka, namun Jeha telah menolak cadangan suaminya itu. Jeha menyatakan bahawa dia mampu melakukan segala-galanya. Perenggan di bawah ini membuktikan semangat waja Jeha tersebut. “… Tetapi saya boleh habiskan,” bantah Jeha sungguh-sungguh. Dia boleh menajak bendang itu sampai habis. Sanah dan Milah ada bersama. Jeha percaya tentang kekuatannya. Payah minta tolong orang…”
(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 127)
3.3.3
Kasih sayang
Kasih sayang merujuk kepada perasaan kasih dan sayang kepada sesuatu. Perasaan tersebut boleh wujud kepada kebendaan, sesama manusia, alam sekitar dan sebagainya. Berdasarkan novel ini, dapat dilihat bahawa nilai kasih sayang itu sememangnya kuat dalam keluarga Lahuma. Kasih sayang boleh wujud antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak atau antara anak-anak sendiri. Petikan di bawah ini merujuk kepada kasih sayang antara suami dan isteri iaitu antara Jeha dan Lahuma. Jeha yang berada dalam keadaan letih kerana baru pulang dari membuat kerja di sawah sanggup melayang suaminya yang berasa dalam emosi itu. Dia sanggup mengelap kaki Lahuma yang membesar walaupun dirinya pada ketika itu berada dalam keadaan yang letih. “… Jeha menggosok-gosok betis yang kasar dan berbonggol dengan urat hijau itu. Bengkak itu nescaya merangkak naik hingga ke pinggang, kemudian ke perut dan terus ke dada. Bisa onak sudah bergaul dengan bisa bekas picit dan bisa hirisan pisau. Jeha memerhatikan wajah suaminya lagi…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 123-124) 3.3.4
Mengenang Budi
Salah satu nilai budaya yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah mengenang budi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, budi didefinisikan sebagai akal, kebijaksanaan, pekerti, akhlak, tingkah laku, kelakuan dan watak (2010:212). Manakala, jika ditafsir secara umum mengenang budi membawa maksud mengingati sumbangan atau jasa yang dilakukan oleh seorang individu terhadap individu lain. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, nilai mengenang budi dapat dilihat dalam diri Tuk Penghulu Kampung Banggul Derdap. Setelah melihat kesakitan dan keuzuran yang ditanggung oleh Lahuma akibat tusukan duri nibung, Tuk Penghulu berasa kasihan terhadap keluarga berkenaan kerana musim menanam padi akan kunjung tiba tidak lama lagi. Tetapi petak sawah keluarga tersebut masih belum habis dibersihkan. Bagi membalas jasa terhadap budi yang pernah dicurahkan oleh Lahuma yang mencari kerbau keweh Tuk Penghulu yang hilang dahulu, Tuk Penghulu telah bersetuju untuk memberi bantuan dengan mengarahkan orang suruhannya membersihkan petak-petak sawah Lahuma dengan traktor miliknya. Perkara ini dapat dilihat melalui petikan di bawah ini : “Dah habis menajak?” soal tuk penghulu. Matanya memandang Jeha yang nampak mempunyai minat. “Belum lagi. Yang tajak pun batang menerung, belum lumat,” ujar Jeha. “Siapa menajak?” soal penghulu. “Sejak Lahuma merekot, sayalah bersama anak-anak.”
Tuk Penghulu menggeleng. “Biar aku hantar traktor ke sawah kau selama dua tiga hari. Semuanya tentu habis.” Tuk Penghulu memberi cadangannya. (Ranjau Sepanjang Jalan: 2006, 152) Pandangan hidup dapat diperincikan kepada tiga bahagian iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat. Pandangan tersebut boleh wujud daripada ketiga-tiga aspek tersebut, malahan, ketiga-tiga aspek tersebut dikaji atau dibahagi pula kepada dua bahagian iaitu yang bersumberkan kepada Islam dan bersumberkan alam. Terdapat beberapa pandangan hidup dalam novel RSJ ini. Antaranya ialah: 3.3.5
Masyarakat yang Mengingati Pencipta
Masyarakat yang mengingati pencipta merupakan salah satu pandangan hidup yang wujud dalam novel karya Shahnon Ahmad ini. Situasi ini telah difokuskan kepada keluarga Lahuma sendiri. Lahuma amat berpegang teguh kepada takdir yang telah ditetapkan oleh Allah buat dirinya dan juga keluarga. Dia menerima ketentuan yang tetapkan. Sebelum memulakan kerja-kerja di sawah, beliau telah solat berjemaah bersama isterinya. Selepas solat tersebut, doa dipanjatkan agar musim mengerjakan padi di sawah dapat berjalan dengan lancar dan dia juga mendoakan agar dijauhi daripada sebarang musibah seperti banjir, serangan ketam dan burung tiak. Lahuma juga telah memulakan pekerjaan di sawah dengan lafaz bismillah. “… Lahuma membenamkan sebelah kakinya ke dalam baruh. Kemudian dibenamkan sebelah lagi. Dan dengan sekali bismillah, tajak yang berada di tangan dihayun ke udara dan ditujah ke atas batang menerung yang tumbuh rapat-rapat itu…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 73)
3.3.6
Kehidupan Masyarakat Petani
Kampung Banggul Dedap merupakan sebuah kampung yang masyarakatnya terdiri daripada keluarga petani. Oleh itu, rata-rata masyarakat di situ mengerjakan sawah sebagai pekerjaan harian mereka. Begitu juga dengan keluarga Lahuma. Lahuma telah mendidik anak-anaknya agar terbiasa dengan kerja-kerja pertanian. Oleh itu, sewaktu Jeha lemah semangat akibat melihat ular tedung di paya, Sanah dan Milah telah ditugaskan untuk membantu Lahuma di sawah. Petikan di bawah ini menjelaskan pekerjaan yang dilakukan oleh Sanah. “… Sanah melontarkan timba itu ke petak lain bagaikan tidak mampu lagi memungut binatang jahanam itu. Dia memegang tajak semula. Dan dengan tidak berlengah-lengah lagi, dia turun ke dalam baruh. Menghayunkan mata tajaknya ke atas dan ke bawah, meranapkan rumput-rumput yang tebal itu…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 75)
3.3.7
Masyarakat yang Memandang Negatif Terhadap Status Ibu Tunggal
Dalam novel ini, pengarang telah mengetengahkan pandangan hidup masyarakat yang memandang negatif terhadap status ibu tunggal. Seseorang yang menjadi ibu tunggal acapkali dilabel dengan pelbagai label negatif. Hal ini telah berlaku kepada Jeha setelah kematian suaminya Lahuma. Jeha telah dilabel sebagai ‘janda banyak anak’, ‘janda galak banyak anak’, ‘Jeha galak macam janda muda,’ ‘Jeha gilakan tuk penghulu’ dan pelbagai lagi label negatif. Hal ini dapat dilihat menerusi petikan berikut: “Orang Kampung Banggul Derdap cepat membawa mulut. Terus Jeha dianggap sebagai ‘janda banyak anak’. Jeha tidak marah dengan gelaran itu. Dia memang janda. Dia memang banyak anak. Baginya, gelaran ‘janda banyak anak’ itu tidak apa-apa makna...Tetapi apabila orang tahu tentang traktor tuk penghulu datang memokah tanah baruhnya tanpa bayaran apa-apa, gelaran itu ditambah lagi dengan ‘janda galak banyak anak’...Dan gelaran ‘janda galak banyak anak’ telah berubah lagi kepada ‘janda Lahuma busung galak banyak anak’. Gelaran itu kemudian berubah menjadi lagu budak-budak.” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 220)
3.4
Estetika dan Kepengarangan
Gaya bahasa atau keindahan bahasa merupakan antara elemen yang amat penting dalam sesebuah karya. Untuk keindahan atau estetika itu yang akan menggerakkan sebuah karya di mana pengarang akan mengembangkan jalan cerita dengan menggunakan diksi yang sesuai dengan penceritaan yang ingin ditonjolkan. Pemilihan diksi yang baik akan menyebabkan pembaca terbuat dengan jalan cerita yang ingin disampaikan. Pembaca juga tidak akan bosan untuk terus membaca karya tersebut. Dalam seni sastera, keindahan berkait rapat dengan struktur karya, olahan yang memberi kesan kepada pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Estetik juga merujuk kepada aspek kekuatan karya. Dapat dikatakan bahawa estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada nilai dan manfaat serta nikmat yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau. Akibat kemunculan elemenelemen tersebut, perasaan menawan dan terpahat dalam pemikiran akan muncul dalam diri pembaca (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah & Mohd Rashid Md. Idris, 2016: 91-92). Terdapat beberapa unsur estetika yang berjaya ditonjolkan oleh pengarang. Antaranya ialah: 3.4.1
Personifikasi
Personifikasi disebut juga pengorangan. Personifikasi ialah gaya bahasa kiasan yang memberi sifat-sifat manusia kepada benda-benda mati, baik perlakuan
dalaman atau perlakuan luaran. Penggunaan gaya bahasa personifikasi dapat memperjelas dan memudahkan pemahaman mesej sesebuah karya (Maniyamin Haji Ibrahim, 2006: 48). Berikut merupakan petikan yang mempunyai personifikasi yang terdapat dalam novel RSJ: “…Lahuma bersama Sanah dan Milah tegak berdiri di atas permatang pagi itu. Menerung dan rumput bulu landak dicantas bagaikan musuh yang paling ganas. Ditujahnya hulu cangkul ke dalam air…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 72)
Perkataan “ganas” tersebut sememangnya merupakan salah satu sikap manusia, namun, dalam teks di atas, istilah “ganas” tersebut telah diberikan kepada menerung dan rumput. Seolah-olah menerung dan rumput itu mempunyai perasaan. Berasaskan aspek estetika, pengarang ingin melambangkan bahawa menerung dan rumput tersebut tumbuh dengan meliar dan banyak. 3.4.2
Simile
Simile merujuk kepada perbandingan yang menggunakan kata-kata perbandingan. Antara kata-kata perbandingan tersebut ialah bak, laksana, umpana, seperti, bagai, bagaikan, ibarat, tamsil, dan seumpamanya. Simile juga dikenali sebagai perundingan dan bersifat eksplisit. Simile menyamakan sesuatu objek, perkara, hal, situasi dengan objek atau perkara yang lain. Perhatikan petikan di bawah. “…Namun, sebelum ketenangan tiba, kelihatan beberapa ekor lintah sebesar ibu jari beriring-iringan menghampiri pinggir permatang yang penuh lopak-lopak itu…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 72)
Berdasarkan petikan tersebut, dapat dilihat pengarang menyamakan lintah tersebut dengan ibu jari. Meskipun pengarang tidak menggunakan perkataan perbandingan seperti umpama, bagai, bak, namun, dapat dilihat unsur perbandingan pada petikan tersebut. 3.4.3
Anafora
Anafora merupakan pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berturutan. Pengulangan ini akan menghasilkan kesan emosi yang kuat. Penggunaan gaya bahasa pengulangan anafora dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan terlalu banyak ditemui. Antara petikan yang mempunyai gaya bahasa pengulangan anafora ialah :
“…Sanah masih kebingungan. Sekejap turun ke dalam baruh. Sekejap melompat naik ke atas permatang melihat betis. Sekejap turun lagi. Sekejap naik semula. Dia semakin tidak keruan…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 74)
Berdasarkan petikan tersebut, dapat dilihat terdapatnya pengulangan bagi perkataan “sekejap” bagi setiap awal baris. Petikan di bawah ini pula mempunyai pengulangan perkataan “barangkali”. “Barangkali dibawanya Kiah berjalan seperti yang dilakukan waktu siang. Barangkali turun ke sawah meninjau padi hijau. Barangkali. Barangkali. Barangkali.” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 245)
3.4.4
Disfemisme
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), disfemisme ialah kata-kata kasar untuk tujuan tertentu. Antara contoh petikan yang mengandungi gaya bahasa pertautan disfemisme yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ini ialah: “...Aku rebus hingga mampus. Aku yang membunuh ketam-ketam itu.” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 228) Berdasarkan contoh petikan di atas, pengarang menggunakan kata ‘mampus’ untuk memberi maksud mati. Kata ‘mampus’ digunakan untuk disesuaikan dengan keadaan Jeha yang sedang marah pada ketika itu. Perasaan marah Jeha itu ditujukan kepada ketam-ketam yang menyerang tanaman padi mereka ketika musim padi masak. Shahnon Ahmad dalam kerja kepengarangannya sangat selari dengan turutan prinsip teksdealisme itu; aspek penghadiran dan pelanggaran bagaikan silih berganti secara reproduksi dan kreatif. Teks-teksnya bukan sahaja membina mitos baharu seperti yang dianggap oleh golongan pascamoden, namun ia juga membina hukum kekuasaannya sendiri. Teks-teks Shahnon Ahmad memiliki kekuasaan sebagai teks sastera. Kepengarangan ialah usaha seseorang penulis untuk mencapai keperibadian atau individualisme; tegasnya ia kondifikasi terakhir teori teksdealisme dan merupakan kemuncak pencapaian (Mana Sikana, 2015: 29). Shahnon Ahmad telah memasukkan berapa aspek dalam kepengarangannya berdasarkan novel RSJ. Antaranya ialah:
3.4.5
Teknik Imbas Kembali
Teknik penceritaan imbas kembali dapat ditakrifkan sebagai mengenang kembali peristiwa atau perkara yang telah berlaku. Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula sesuatu peristiwa yang pernah dialami sama ada oleh pengarang ataupun watak yang terdapat dalam cerita tersebut. Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman. Dalam novel RSJ ini, teknik imbas kembali ditonjolkan melalui watak Jeha selepas kematian suaminya Lahuma. Jeha kerap teringatkan perkara-perkara yang dilakukan dan diperkatakan oleh suaminya ketika suaminya itu masih hidup. Berikut merupakan contoh teknik imbas kembali yang terdapat dalam novel ini: “...Ingatannya kepada Lahuma samar-samar datang. Dia teringat sesuatu yang sanggup menenteramkan kegilaannya. Kemudian dia beralih ke paya, tempat Lahuma meramas kepala ular tedung senduk dahulu. Jeha sedang mengutip ulam pucuk waktu itu. Ular tedung senduk memanggau kepala...” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 230)
3.4.6
Dialog
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), dialog ialah kata-kata yg dituturkan oleh watak-watak dalam drama atau fiksyen. Dalam sesebuah karya, kebiasaannya pengarang menggunakan teknik dialog bagi menampakkan percakapan atau perkara yang diucapkan oleh watak yang ditonjolkan. Dalam RSJ sendiri terdapat teknik dialog yang diketengahkan oleh Shahnon Ahmad seperti dialog di antara penghulu kampung dengan Jeha dan dialog di antara Jeha dan anaknya Sanah. Berikut merupakan antara contoh teknik dialog yang terdapat dalam novel ini: “Anak-anak kau mana?” tanya tuk penghulu. “Sanah? Milah? Jenab? Semek?” Jeha ketawa. “Anak-anak aku dah jadi anak dara. Mereka semua dah besar dan montokmontok. Macam aku ni. Tengok!” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 228)
3.4.7
Gambaran
Teknik gambaran juga telah diketengahkan oleh Shahnon Ahmad dalam karyanya. Menurut Mohd. Yusof Hasan (1995: 102-103), bila menggambarkan satu-satu keadaan pula, deskripsi Shahnon Ahmad tersangat realistik, wiwik dan terasa penyesuaian suasananya. Hal ini terbukti berdasarkan petikan yang berikut:
“… Kaki sakitnya ditarik ke atas riba. Bengkaknya menguning tegang. Dengan menahan kesakitan, Lahuma menghala hujung mata pisau itu ke tapak kakinya yang mengandungi nanah itu. Daging kakinya terpokah. Tersembur nanah hampir-hampir secawan. Dihirisnya daging itu. kemudian dipicit-picit hingga terketar-ketar tangannya. “Keluar! Keluar! Keluar!” tempiknya lagi Onak itu tidak juga mahu keluar. Dicapai pisau itu lagi. Ditujahnya ke dalam hingga hujungnya tertampan hujung onak…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 116-117) Berdasarkan petikan tersebut, dapat dilihat pengarang berjaya memasukkan unsur gambaran yang jelas sehingga pembaca sendiri mendapat gambaran semasa membaca. Pembaca dapat menghayati dengan baik situasi yang ingin ditonjolkan oleh pengarang. Pembaca dapat membayangkan keadaan semasa nanah hampir satu cawan itu terpancut keluar. Pembaca sendiri yang akan berasa nyilu apabila Lahuma menghiris kakinya sendiri menggunakan pisau. 3.5
Nilai Ilmu
Nilai ilmu itu pada asalnya berasal daripada dua perkataan iaitu nilai dan ilmu. Secara umumnya, nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Nilai pada dasarnya dapat dibahagikan kepada tiga konteks utama iaitu sifat bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Ilmu pula dapat didefinisikan sebagai pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Kesimpulannya, nilai ilmu dapat dilihat sebagai kualiti atau mutu sesuatu pengetahuan dalam sesuatu aspek. Terdapat beberapa jenis nilai ilmu dalam novel Shahnon Ahmad ini: 3.5.1
Ilmu Bertani
Dalam RSJ, Shahnon Ahmad telah mengetengahkan corak kehidupan masyarakat petani dahulu yang mengusahakan sawah padi secara tradisional sebagai sumber makanan mereka. Ilmu bertani yang diketengahkan dalam novel ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pemahaman kepada pembaca mengenai proses penghasilan padi. Contohnya dalam petikan di bawah: “...Aku yang menajak 14 relung itu. Aku yang sisir kesemuanya. Aku buat macam Lahuma juga. Aku cabut semai dan kandar semai sekali sepuluh berkas. Aku yang tanam padi di kesemua 14 relung itu. Aku! Aku Jeham isteri Lahuma...” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 227)
3.5.2 Ilmu Agama
Keluarga Lahuma tidak bersemangat untuk meneruskan hidup kerana kemiskinan namun keluarga ini tetap tabah dan berpegang kepada agama. Kemiskinan adalah keadaan kekurangan terhadap perkara-perkara yang biasa diperlukan oleh seseorang individu seperti makanan dan minuman, pakaian serta tempat tinggal kerana keperluan ini sangat berkait rapat dengan kualiti hidup manusia. Keluarga Lahuma menganut agama Islam dan mereka berpegang teguh kepada anutan tersebut. Contohnya, Lahuma redha dengan takdir dan ketentuan yang diberikan Tuhan kepada keluarganya. Lahuma tidak putus-putus berdoa kepada-Nya. Lihat petikan berikut: “…Aku tak akan menganiayai segala insan dan makhluk-MU. Aku tak akan membunuh segala bencana yang tak mengganguperjuanganku dan seluruh keluargaku,” rintih Lahuma dalam doanya…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 25)
Dalam novel ini, Shahnon Ahmad memberi watak Lahuma sebagai seorang yang sentiasa berpegang kepada agama. Bukan setakat Lahuma, isterinya Jeha juga sentiasa percaya kepada Tuhannya. Skala Jeha, iaitu isteri Lahuma terhadap takdir dan ketentuan Allah dilihat pada contoh beikut: “Namun tekad hati Jeha tidak juga luput. Bahaya di tangan ALLAH. Mati hidup Lahuma di tangan ALLAH. ALLAH boleh memelihara Lahuma. ALLAH boleh mengambil nyawa Lahuma.” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006:51-52)
3.5.3
Ilmu Perdagangan
Dalam novel ini, pengarang menonjolkan kehidupan masyarakat yang bertani namun mereka tetap juga melibatkan diri dalam perniagaan. Contohnya, Lahuma ingin menjual batang pinang kepada tauke-tauke Cina bagi mendapatkan sedikit wang sesudah habis musim mengetam. Lihat petikan berikut: “…Dia cuba menebang batang pinang di belukar untuk dijual kepada tauke-tauke Cina yang membawa batang pinang itu ke laut untuk dibuat pancang pukat…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 10)
3.5.4
Ilmu Menangkap Ikan
Dalam karya ini Shahnon Ahmad menyelitkan ilmu menangkap ikan. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, Lahuma menangkap ikan apabila ada waktu terluang khususnya selepas habis musim mengetam padi. Kewujudan istilah-istilah yang berkaitan dengan cara untuk menangkap ikan menunjukkan ilmu ini memang ada dalam novel ini. Contohnya seperti berikut:
“…Cuma sekali-skala Lahuma membuat bubu dan nada untuk menangkap ikan…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006:10)
Berdasarkan petikan tersebut, wujud istilah bubu dan nada yang merupakan perkakas untuk menangkap ikan. Melalui bacaan, pembaca dapat mengetahui bahawa bubu dan nada adalah cara tradisional yang digunakan oleh masyarakat kampung untuk menangkap ikan. 3.5.5
Ilmu Pengurusan Keluarga
Ilmu pengurusan keluarga sememangnya penting dalam sesebuah keluarga. Oleh itu, ilmu pengurusan tersebut sangat dituntut untuk dipelajari dan diserapkan dalam sesebuah keluarga. Kebiasaannya, ilmu pengurusan keluarga ini akan dipelajari dan dikuasai oleh ketua keluarga. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, ilmu pengurusan keluarga tersebut telah dikuasai dengan baik oleh Lahuma. Lahuma dapat menguruskan keluarganya dengan baik sekali sehingga dia dapat membesarkan ketujuh-tujuh orang anaknya walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan. Setelah kematian Lahuma, isterinya, Jeha telah mengambil alih tugas tersebut. Namun, setelah Jeha gila, anak sulung mereka iaitu Sanah telah menjadi galang ganti untuk memikul tanggungjawab tersebut. Daripada kronologi tersebut, dapat dilihat bahawa keluarga Lahuma sememangnya kaya dengan ilmu pengurusan keluarga. Perhatikan petikan yang berikut: “…Sanah mengejutkan Milah. Dia mengejutkan Jenab. Dia mengejutkan Semek. Mereka bangun dengan lesunya. Sepanjang siang tadi suara-suara mereka tercetus keluar melalui leher-leher yang secekak besar itu. “Kita potong saja padi kita malam ini,” kata Sanah sambil menunjukkan ke arah sawah…” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 312)
Berdasarkan petikan tersebut, dapat dilihat bahawa Sanah selaku anak sulung Lahuma dan Jeha mempunyai ilmu pengurusan keluarga. Dia mampu meminta kerjasama daripada adik-adiknya yang lain dalam usaha untuk memotong padi di sawah. Walaupun keadaan pada ketika itu masih gelap, adik-adiknya sanggup berjaga untuk menolong kakak mereka. Hal ini menunjukkan bahawa Sanah berjaya mengaplikasikan ilmu pengurusan kekeluargaan tersebut dalam diri adikadiknya. 4.0
Kesimpulan
Berdasarkan pembacaan, dapat dilihat bahawa karya Ranjau Sepanjang Jalan ini menepati aspek-aspek yang telah digariskan dalam sesebuah karya agung.
Aspek ini yang menjadikan novel Shahnon Ahmad ini dijulang tinggi sehingga masih dibaca dan dikaji oleh golongan masa kini. Ini membuktikan bahawa sememangnya Shahnon Ahmad layak digelar sebagai sasterawan negara yang terbilang dengan pemilihan gaya bahasa atau estetika yang digunakan sehingga dapat dikatakan bahawa segala ulasan dan penceritaan yang dikembangkan berjaya menyentuh hati pembaca sehingga berjaya menitiskan air mata pembaca. Menurut Rebecca Ilham (2013: 114), benar, beberapa teknik kepengarangan dalam Ranjau Sepanjang Jalan dilihat sebagai membosankan dan tidak kreatif, terutamanya penggunaan hiperbola seperti serangan ketam dan burung di sawah padi, banjir dan pelbagai malapetaka lain yang dianggap celaka terhadap petani juga kegemaran Pak Shahnon mengulang frasa-frasa tertentu. Namun, pada perspektif seorang pengkaji dan pengkritik amatur, teknik-teknik kepengarangan yang tentunya dipilih lalu diaplikasikan dengan penuh kesedaran itu mempunyai tujuan yang lebih besar, iaitu untuk menyampaikan suara masyarakat. Pendekatan yang digunakan oleh Shahnon Ahmad tersebut berjaya memaparkan kehidupan golongan petani kepada kaca mata pembaca yang rataratanya tidak pernah membayangkan kehidupan seorang petani. Mereka tidak dapat melihat sendiri gaya hidup golongan yang bekerja keras demi sesuap nasi ini. Melalui penulisan novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, pembaca yang mungkin terdiri daripada golongan atasan dapat menyelami pahit getir untuk menjadikan sebutir beras.
BIBLIOGRAFI
Ismail Yusoff. (2008). Kesusasteraan Melayu Lama dan Baru. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Mana Sikana. (2015). Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.
Maniyamin Haji Ibrahim. (2006). Gaya Bahasa Kiasan: Penggunaan dan Keberkesanannya dalam Sajak. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.
Mohd. Yusof Hasan. (1995). Penghayatan Fiksyen Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ramli Isin. (1997). Novel-novel Melayu Mutakhir: Analisis Cerminan Nilai Budaya Bangsa. Dalam Othman Puteh (Edt.). Teks Cerminan Nilai Budaya Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rebecca Ilham. (2013). Ranjau Sepanjang Jalan dan Shahnon Ahmad. Dalam Rahimidin Zahari (Edt.). (2013). Cikgu Shahnon di Mata Kami. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Sahlan Mohd. Saman & Che Abdullah Che Ya. (2005). Novel. Dalam Sahlan Mohd. Saman & Shaiful Bahri Md. Radzi (Edt.). (2005). Persuratan Melayu: Tradisional ke Moden. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah & Mohd Rashid Md. Idris. (2016). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Shahnon Ahmad. (2006). Ranjau Sepanjang Jalan. Shah Alam, Selangor: Alaf Dua Puluh Satu Sendirian Berhad.
Ungku Maimunah Mohd Tahir. (2007). Ranjau Sepanjang Jalan. Dalam Hamzah Hamdani & Zeti Aktar Jaafar (Edt.). (2007). Shahnon Ahmad dalam Esei dan Kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Analisis Teks Moden Ranjau Sepanjang Jalan 2
1.0 Pengenalan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad merupakan pelopor sastera yang tidak asing lagi di Malaysia. Beliau telah menulis berbagai karya yang bermutu dan banyak menceritakan mengenai isu yang berkait rapat dengan masyarakat di Malaysia. Shahnon Ahmad berasal daripada keluarga yang miskin dan hidup dalam suasana kampung yang miskin. Oleh sebab itu, kebanyakan karyanya terhasil daripada isu kemiskinan dalam masyarakat desa khususnya. Antara novel beliau yang diangkat menjadi karya agung ialah novel Ranjau Sepanjang Jalan. Novel ini mempunyai 341 halaman bercetak terbitan Alaf 21 pada 2006. Novel Ranjau Sepanjang Jalan terbitan Alaf 21 ini merupakan terbitan kedua setelah Utusan Publication menerbitkan novel ini pada tahun 1997. Novel ini mempunyai 24 bab yang menceritakan tentang kemiskinan dan perjuangan keluarga petani sawah di Kampung BanggulDerdap, Sik Kedah.
Novel Ranjau Sepanjang Jalan ini memaparkan kepayahan dan kemiskinan keluarga petani. Isi kemiskinan ini sudah sebati dalam diri Shahnon Ahmad menyebabkan beliau mampu menerangkan sesebuah kisah dalam Ranjau Sepanjang Jalan dengan teliti sekali. Para pembaca yang membaca mampu merasai dan menghayati setiap perkara yang berlaku dalam keluarga petani dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Novel ini juga mengetengahkan dan mendalami erti kasih sayang, kekuatan, kegigihan, ketabahan dan perjuangan di dalam sekelompok masyarakat tani di desa. Selain itu nilai kemiskinan melalui konsep kesederhanaan, ketakwaan, kesabaran, keikhlasan, dan kejujuran seseorang ketika mengalami kesukaran dalam menjalani kehidupan di dunia.
Novel Ranjau Sepanjang Jalan ini dihasilkan dengan plot yang sangat kreatif dan bermain dengan emosi pembaca sehingga menyentak akal fikiran masyarakat sekarang melalui kehidupan petani dahulu yang sanggup berjuang mencari sesuap nasi untuk diri sendiri malah perjuangan seluruh lapisan masyarakat setempat pada masa itu untuk mendapatkan sesuap nasi. Begitu kritis, sensitif dan pintarnya pemikiran Shahnon Ahmad sehingga dapat menggambarkan kesusahan hidup golongan miskin diseluruh negeri di Malaysia dengan begitu berkesan kepada pembaca.
2.0
Latar Belakang Penulis
Dato' Haji Shahnon bin Ahmad dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Sik, Kedah adalah seorang penulis Malaysia, mendapat gelaran Sasterawan Negara, serta bekas Ahli Parlimen Sik. Beliau dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1982. Beliau juga merupakan seorang Profesor Emeritus di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau kini menetap di 61, Cangkat Minden, Jalan 1, 11700 Gelugor, Pulau Pinang.
Beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar hingga lulus Sijil Persekolahan. Kemudian beliau menjadi guru di Grammar English School, Kuala Terengganu pada tahun 1954, kemudian menjadi Pegawai Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1955 sehingga 1956. Beliau kembali bertugas sebagai guru dan mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Bukit Besar, Kedah dari tahun 1957 sehingga 1959. Pada tahun 1960, beliau menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid hingga tahun 1963. Kemudian beliau mengajar sastera di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim hingga tahun 1967. Pada tahun 1968, beliau berangkat ke Canberra, Australia dan bertugas sebagai Pegawai Penyelidik di Australian National University dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda pada 1971. Beliau kemudian menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Pada 1975, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sastera USM dan dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia USM pada 1979.
Shahnon giat menulis sejak pertengahan tahun 1950 dalam genre novel, cerpen, drama, kajian, esei dan kritikan serta wawancara. Antara novel terkenal beliau ialah Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, TIVI dan Shit. Antara anugerah yang pernah dimenangi beliau ialah Hadiah Karya Sastera (19711973), "Pejuang Sastera" oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn pada tahun 1976, Anugerah Sastera Negara (1982), dan Anugerah ASEAN II Kebudayaan, Komunikasi dan Persuratan Kesusasteraan (1990). Pada tahun 1980, beliau dianugerahi Pingat Darjah Kebesaran Datuk Setia Diraja Kedah oleh Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang membawa gelaran Datuk. Gelaran Profesor Emeritus pula diterima daripada Universiti Sains Malaysia pada 11 September 1993.Antara novel yang beliau ialah Terdedah Melaka (1965), Menteri, Alor Setar, Protes (1967), Perdana (1969), Srengenge, Sampah (1974), Kemelut (1977), Seluang Menodak Baung (1978). Tunggul-tunggul Gerigis (1989), Ummi dan Abang Syeikhul (1992), Ibu Adalah Pentafsir dan Sungai (1995), terjemahan Stumps (1997) dan Shit.
3.0
Sinopsis Ranjau Sepanjang Jalan
Ranjau Sepanjang Jalan adalah satu karya dari Shahnon Ahmad yang banyak menyentuh tentang kemiskinan dan perjuangan keluarga petani sawah di Kampung BanggulDerdep, Sik Kedah. Berlatar belakang kampung halaman penulis sendiri Shahnon Ahmad, beliau membawa pembaca menghayati dan menginsafi keperitan hidup dalam kemiskinan golongan petani pada masa dahulu agar generasi sekarang akan sedar dan insaf akan susah payahnya untuk mendapatkan sesuap nasi. Melalui novel ini penulis berjaya mencipta satu plot yang penuh kreatif dan permainan emosi yang berjaya menyentak akal fikiran kelompok masyarakat sekarang yang mana petani dahulu sanggup berjuang untuk mencari sesuap nasi untuk diri sendiri malahan seluruh lapisan masyarakat setempat pada masa itu.
Kisah bermula daripada kehidupan keluarga Lahuma dan isterinya Jeha bersama tujuh orang anak gadis mereka iaitu, Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah, yang berjuang menguruskan sawah mereka sebanyak 14 relung sebagai satu kepentingan utama dalam kehidupan mereka. Walaupun untuk satu musim hasil padi tidak boleh terkurang, padi menjadi segala-galanya, hidup mati mereka semuanya bergantung kepada hasil padi. Perjuangan Lahuma sebagai ketua keluarga cukup memberikan impak yang besar terhadap keluarganya. Sehingga akhirnya Lahuma kecundang akibat kakinya terpijak onak nibung yang meragut nyawanya sendiri. Kedaifan dan kesengsaraan keluarga petani ini bertambah buruk lagi setelah pemergian Lahuma. Maka Jeha, isteri Lahuma memikul tanggungjawab yang besar dan banyak menghadapi cabaran dan rintangan dalam mengusahakan sawah peninggalan suaminya. Sebelum itu, selalunya Lahuma mengerjakan sawah mereka dan dibantu oleh Jeha. Tetapi dengan ketiadaan Lahuma, Jeha bersama anak-anak perempuannya pula memikul beban mengerjakan sawah. Namun tenaga Lahuma tidak terganti walaupun dengan gabungan tenaga Jeha dan anak-anak perempuannya.
MalangnnyaJeha tidak dapat bertahan dengan segala kesusahan yang diharunginya sendirian tanpa Lahuma. Banjir, serangan ketam-ketam dan burung-burung tiak menjadikan Jeha tidak keruan dan akhirnya Jeha menjadi gila akibat dugaan mendatang tanpa henti semasa mengusahakan sawahnya. Setelah Jeha menjadi gila dan di hantar ke hospital Tanjung Rambutan, Perak, segala bebanan dan tanggungjawab keluarga diambil alih oleh anak sulungnya iaitu Sanah. Sanah bersama adik-adiknya adalah penerus perjuangan Lahuma dan Jeha sebagai keluarga tani untuk menguruskan sawah mereka.
4.0
Pemikiran Isi Dan Mesej
Isi dan mesej bermaksud pemikiran yang diketengahkan oleh penulis dalam sesebuah karya. Isi dan mesej ini ialah salah satu ciri yang harus dimiliki oleh
karya yang boleh diangkat dan dinobat sebagai sebuah karya agung ialah memiliki isi dan mesej yang baik dan bermanfaat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ‘isi’ bermaksud sesuatu yang termuat dalam sesuatu benda, atau kandungan. ‘Mesej’ pula bermaksud sesuatu gagasan atau pengajaran yang hendak disampaikan dalam sesuatu karya sastera dan lain-lain. Oleh itu, isi dan mesej ialah sesuatu perkara yang termuat dalam sesebuah karya sastera yang menjadi pengajaran kepada pembaca. Terdapat banyak isi dan mesej yang sesuai dijadikan pengajaran kepada pembaca yang membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan.
4.1
Kehidupan sebuah keluarga yang bergantung kepada tanaman padi
Berdasarkan novel Ranjau Sepanjang Jalan, novel ini mengisahkan kehidupan sebuah keluarga yang bergantung kepada hasil tanaman padi. Secara keseluruhannya novel ini banyak menceritakan mengenai susah payah petani dari menebas semak sehingga menuai padi menjadi beras. Walaupun banyak dugaan yang menimpa, petani perlu bekerja keras dan memastikan padi dapat dituai pada masa yang telah ditetapkan. Dalam novel ini mengisahkan keluarga petani iaitu Lahuma dan isteri dan tujuh anaknya berhempas pulas memastikan padi mereka ditanam pada waktu yang ditetapkan agar mereka tidak ketinggalan oleh petani padi yang lain. Walaupun mereka tidak mempunyai jentera untuk membajak bendang mereka, tetapi dengan tulang empat kerat Lahuma dan sekeluarga, padi mereka tetap menghasilkan padi mengikut jadual. Pada setiap tahun Lahuma dan Jeha menanam padi mereka dan menghadapi pelbagai dugaan seperti kemarau, banjir, serangan haiwan seperti burung tiak, ketam, tikus dan ular berbisa. Petikan di berikut menunjukkan betapa pentingnya sawah padi kepada keluarga mereka, Jeha teringat pesan Lahuma dulu, “Anak-anak kita perlu makan siang malam. Tak ada nasi anak-anak kta akan mati. Makan kita bergantung pada sawah. Pakaian bergantung pada sawah. Sakit atau sihat bergantung pada sawah. Mati hidup bergantung pada sawah. Sawah nadi besar kita sejak datuk nenek dahulu lagi. Ia mesti dipupuk dan dijaga. Biar siapa datang menyerang, kita wajib melawan. Biar siapa datang mengacau, kita wajib melawan. Biar datang seribu musuh, kita mesti lawan. Itulah hidup kita.” (Ranjau Sepanjang Jalan:213)
Selain itu, akibat daripada tertusuk duri nibung, Lahuma terpaksa berehat dan meminta Jeha isterinya untuk menyambung mengerjakan 14 relung mereka sehingga siap. Setelah Lahuma meninggal dunia, Jeha telah mengambil alih menjadi ketua keluarga dan menjaga relung yang ditinggalkan oleh Lahuma untuk dikerjakan oleh Jeha dan anak-anaknya. Jeha dibantu oleh Tok Penghulu untuk membersihkan relung mereka sebelum menanam anak padi. Hal ini adalah
bantuan setelah ketiadaan Lahuma dan sebagai membalas jasa Lahuma membantu Tok Penghulu menangkap Kerbau liarnya. Namun, Jeha tidak mampu bertahan dengan segala dugaan yang menimpa mereka sekeluarga setelah Lahuma meninggal dunia. Akhirnya Jeha menjadi gila dan tok penghulu dan orang kampung telah menghantar Jeha ke Hospital Tanjung Rambutan untuk rawatan. Petikan dibawah menceritakan mengenai Jeha yang terpaksa dibawa ke Hopsital Tanjung Rambutan:
Dua hari kemudian, tuk penghulu datang membawa beberapa orang lelaki yang tidak dikenali. Jeha mesti dirawat juga. Orang kampung tidak ada masa untuk mengubati Jehalagi.mereka sibuk dengan padi di sawah. Sibuk dengan banjir. Mahu tidak mahu, Jeha mesti dibawa pergi jua ke suatu tempat untuk diubati.
… Emak mereka telah manjadi gila. Ini sudah diketahui oleh adik-adik Sanah. Emeak mereka akn dibawa pergi untuk diubati, dan ini pun diketahui oleh mereka juga. Tetapi mereka kurang mengetahui bila emah akan pulang… (Ranjau Sepanjang Jalan:279-281)
4.2
Cabaran ketua keluarga mencari rezeki
Menjadi seorang ketua keluarga sangat sukar dan berat bebanan yang perlu dipikul. Tugas seorang suami tidak hanya menjaga isteri dan anaknya sahaja tetapi suami perlu memastikan segala keperluan harian dan keperluan pendidikan anak-anak lengkap. Oleh itu untuk memastikan isteri dan anak-anak berada dalam keadaan yang selesa, suami perlu bekerja keras untuk mencari rezeki dan menampung keluarganya. Dalam novel ini, Lahuma sebagai ketua keluarga perlu memikirkan cara untuk menyuap sesuap nasi kepada semua ahli keluarganya dan memastikan mereka mendapat makanan yang cukup dan tidak kebuluran. Oleh itu Lahuma bekerja siang malam tanpa lelah menanam padi dan hasilnya boleh dijual kepada peraih dan untuk keperluan Lahuma sekeluarga.
Lahuma juga sentiasa memikirkan masa depan mereka sekeluarga dan Lahuma juga ada berangan untuk melihat cucu dan cicitnya menikmati beras yang telah dituai oleh hasil titik peluh mereka sendiri. Lahuma juga sentiasa memikirkan kepentingan keluarga mereka kerana dia adalah satu-satunya lelaki yang berada dalam keluarganya dan sekiranya Lahuma mati siapa yang akan meneruskan perjuangannya dan adakah cucu cicitnya akan merempat dijalanan dan meminta sedekah kelak. Perkara ini ada diceritakan di dalam bab 1,
Tetapi apa akan berlaku jika dia mati nanti? Bendang 14 relung itu akan dibahagi-bahagikan. Dua relung seorang. Dan apabila anak-anaknya itu dikurniakan zuriat, mereka sendiri membahagi-bahagikan bendang itu pula lagi sedikit cucu-cucunya akan dapat. Dan boleh jadi cicit-cicitnya nanti tidak akan mendapat walau satu tapak bendang sekalipun.
…”Cicit-cicit kita akan meminta sedekah. Cicit-cicit kita akan minta sedekah,” rungutnya seorang diri. Kemudian dia mendengus kasar. (Ranjau Sepanjang Jalan: 5)
Dugaan hebat telah diterima oleh keluarga Lahuma pada tahun tersebut. Ketika Lahuma menebas semak di bendang, Lahuma ditusuk duri nibung di bahagian tapak kakinya. Disebabkan tusukan duri nibung, Lahuma terpaksa berehat dirumah dan urusan bendang diberikan kepada Jeha dan anaknya Sanah dan Milah. Ketika di bersendirian di rumah, Lahuma bermonolog sendiri dan memikirkan masa depan keluarga mereka sekiranya dia masih tidak turun ke bendang. Pelbagai telahan dibuat sehinggakan dia tekad untuk menoreh kakinya dengan pisau cukur demi menjaga padinya dari bencana. Lahuma berkeras menorah kakinya tanpa rasa ragu dan menghentak-hentak kakinya sehingga darah terpancut keluar. Disebabkan bisa duri nibung dan bisa pisau cukur, badan Lahuma semakin membengkak sehingga melarat kepada penyakit busung perut. Lahuma tidak boleh berjalan dan bercakap. Cecair-cecair mengalir keluar dari semua rongga hidung, telinga dan, rekahan perut Lahuma. Akhirnya Lahuma mati dan meninggalkan janda dan anak perempuan tujuh orang. Petikan dibawah menceritakan keadaan Lahuma selepas ditusuk duri selama sebulan:
Beberapa hari kemudian, ternyatalah bengkak itu tidak mahu surut langsung, malah sudah melarat kepada penyakit busung. Perut Lahuma bertambah besar seperti perut Jeha mengandung Sembilan bulan. Lama-kelamaan perut Lahuma pecah-pecah kulitnya. Daripada retak-retak itu, mengalir sejenis air yang paling hanyir. Lahuma tidur terlentang saja.
Puas bomoh datang memberi ubat sakit busung tetapi air bias yang hanyir itu mengalir juga melalui retak-retak perut. Perut itu perlu dicuci dan dibasuh hingga air hanyirnya meresap kain basahan.
(Ranjau Sepanjang Jalan:144)
4.3
Kesetiaan isteri demi suami dan anak-anaknya
Seorang isteri merupakan peneman yang sangat setia kepada suaminya ketika susah dan senang. Seorang isteri yang taat ialah isteri yang mendengar arahan dan nasihat daripada suaminya. Dalam Ranjau Sepanjang Jalan, Jeha telah diduga apabila suaminya Lahuma tidak mampu menajak akibat ditusuk duri nibung. Lahuma telah meminta Jeha dan anaknya Sanah dan Milah untuk meneruskan kerja tertangguh di bendang. Walaupun Jeha mengetahui bahawa dengan kudratnya dan kedua anaknya tidak mampu menyaingi kekuatan Lahuma, namun Jeha tetap meneruskan usaha suaminya dan memastikan padi mereka menjadi pada tahun ini.
Jeha dan dua anaknya Sanah dan Milah bertungkus lumus membersihkan tanah untuk menanam padi. Dia juga telah berjanji untuk memastikan padi pada tahun tersebut akan berhasil dan mereka sekeluarga tidak akan kebuluran. Kesetiaan Jeha kepada suami dan anak-anaknya perlu dicontohi oleh masyarakat kini kerana semangat Jeha yang kental dan tidak putus asa terhadap tanaman mereka dan demi janji kepada arwah suaminya yang akan menjaga padi dan anak-anaknya. Petikan dibawah menunjukkan dialog ketika Lahuma tidak mampu ke sawah, Lahuma telah meminta Jeha untuk turun membersihkan kawasan bendang.
“Esok awak turun saja dengan budak-budak tu”, sambung Lahuma. Sesekali dia menyeringai apabila Jeha menekan di bahagian yang sakit. Jeha mendengar pesanan itu dengan perasaan sebak. Dia mengangguk. Biarlah dia yang memikul beban Lahuma. Dia sanggup melakukannya. …Jeha cuba mengiyakan saja. Bendang itu tentu tidak sanggup dihabiskan olehnya dan Sanah serta Milah. Jeha sedar tentang kedudukannya yang sebenar. Tiada Lahuma, tiadalah beras untuk anak-anak. Mulutnya terasa ringan untuk menyatakan ‘Aku tiga beranak tak boleh menajak semuanya. Aku tak sanggup. Kita sewa sajalah setengahnya.’ Namun, Jeha tidak berani meluahkannya pada waktu itu. (Ranjau Sepanjang Jalan:99-100)
4.4
Masalah yang dihadapi petani dalam menghadapi bencana alam
Pelbagai masalah yang dihadapi oleh semua petani ketika musim menanam padi bermula. Dari bendang dibajak sehingga padi telah masak dan tiba musim menuai akan tiba pelbagai masalah. Antara masalah yang dihadapi ialah bencana alam seperti kemarau dan banjir, serangan binatang seperti burung tiak, ular berbisa, ketam-ketam, dan tikus. Berdasarkan novel ini, pada permulaan menceritakan mengenai Jeha yang hamper dipatuk ular tedung
berbisa. Lahuma telah membunuh ular tersebut dan Jeha telah mengalami trauma selama beberapa bulan. Banjir juga melanda bendang sehingga memusnahkan anak padi dan menghanyutkan sampah sarap ke dalam bendang.
Petani telah berhujan panas untuk menjaga padi mereka sehingga masak dan ketika padi mula menguning burung tiak pula menghampiri untuk memakan padi yang masak. Burung yang datang bukan berates tetapi beribu-ribu sehingga petai perlu menjaga bendang dari pagi sehingga lewat petang. Petani perlu memikirkan pelbagai cara untuk memusnahkan perosak ini agar hasil tanam mereka menjadi dan mereka mampu menyara keluarga masing-masing. Petikan dibawah adalah ketika Jeha serta Sanah dan adik-adiknya sedaya upaya untuk membunuh berates ribu ketam yang datang untuk mematahkan anak padi yang baru ditanam, “Pungut! Pungut! Pungut!” jerit Jeha sambil membongkok-bongkok di celah baris semai yang baru ditanam itu. Dua, tiga ekor sekali cekak. Sesetengahnya dipijak hingga terbenam lemas dalam lumpur. Yang setengahnya diramas begitu saja. Kadang-kadang apabila tiba pada puak-puak yang banyak bertumpang tindih, dikuak-kuak saja masuk ke bakul. Kawah diletak di atas tungku. Api dinyalakan. Dan Jeha menuangkan isi bakul itu ke dalam kawah berisi air. Ketam itu bergerak-gerak apabila bertempur dengan air. Apabila air mula panas, ketam-ketam itu mula bergerak cepat. Apabila buihbuih air panas itu terkuak, ketam-ketam itu mulai tenggelam dan berbalik-balik badan. Kepanasan air sudah mula terasa sedikit-sedikit kulit belakang ketam mulai merah. (Ranjau Sepanjang Jalan:196-197)
5.0
Nilai Budaya dan Pandangan Hidup
Perkataan budaya berasal daripada kata Sanskrit iaitu budayyah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi. Perkataan ini membawa maksud budi pekerti atau akal (Mohd Rashid Md. Idris,2014). Manakala, jika diteliti secara umum budaya ditakrifkan sebagai suatu amalan yang dibawa atau dikerjakan oleh sekumpulan manusia. Budaya kebiasaannya akan dianggap mempunyai hubungan yang erat dengan kehidupan masyarakat. Setiap perlakuan masyarakat akan dikaitkan hubungannya dengan kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Selain itu, budaya juga dikatakan merangkumi keseluruhan norma masyarakat termasuklah nilai, ilmu pengetahuan, keagamaan, struktur-struktur kemasyarakatan, serta ciri-ciri khas yang membentuk sesebuah masyarakat.
Sementara itu, pandangan hidup pula ditakrifkan sebagai sebuah draf atau konsep terhadap kehidupan yang akan dijalani. Pandangan hidup yang dimiliki pada umumnya dalam kalangan masyarakat adalah pandangan yang sesuai dengan agama dan norma-norma masyarakat. Pandangan hidup merupakan perkara yang mutlak untuk dimiliki oleh setiap manusia didunia ini. Hal ini kerana dengan memiliki pandangan hidup, seseorang individu itu dapat mengetahui arah tuju kehidupannya. Bukan itu sahaja, bahkan pandangan hidup juga akan membentuk jati diri seseorang individu. Jati diri adalah gambaran sifat atau karakter dalam diri seseorang. Jati diri dalam setiap orang kebiasaannya berperanan sebagai prinsip hidup yang membantu individu tersebut untuk tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran sekeliling. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan yang telah dianalisis ini, terdapat beberapa nilai budaya dan pandangan hidup yang terkandung di dalamnya.
5.1
Nilai Budaya
5.1.1 Mengenang Budi Salah satu nilai budaya yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah mengenang budi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, budi didefinisikan sebagai akal, kebijaksanaan, pekerti, akhlak, tingkah laku, kelakuan dan watak (2010:212). Manakala, jika ditafsir secara umum mengenang budi membawa maksud mengingati sumbangan atau jasa yang dilakukan oleh seorang individu terhadap individu lain. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, nilai mengenang budi dapat dilihat dalam diri Tuk Penghulu Kampung BanggulDerdap. Setelah melihat kesakitan dan keuzuran yang ditanggung oleh Lahuma akibat tusukan duri nibung, Tuk Penghulu berasa kasihan terhadap keluarga berkenaan kerana musim menanam padi akan kunjung tiba tidak lama lagi. Tetapi petak sawah keluarga tersebut masih belum habis dibersihkan. Bagi membalas jasa terhadap budi yang pernah dicurahkan oleh Lahuma yang mencari kerbau keweh Tuk Penghulu yang hilang dahulu, Tuk Penghulu telah bersetuju untuk memberi bantuan dengan mengarahkan orang suruhannya membersihkan petak-petak sawah Lahuma dengan traktor miliknya. Perkara ini dapat dilihat melalui petikan di bawah ini : “Dah habis menajak?” soal tuk penghulu. Matanya memandang Jeha yang nampak mempunyai minat. “Belum lagi. Yang tajak pun batang menerung, belum lumat,” ujar Jeha. “Siapa menajak?” soal penghulu. “Sejak Lahuma merekot, sayalah bersama anak-anak.” Tuk Penghulu menggeleng.
“Biar aku hantar traktor ke sawah kau selama dua tiga hari. Semuanya tentu habis.” Tuk Penghulu memberi cadangannya. (Ranjau Sepanjang Jalan,152)
5.1.2 Kasih Sayang Seterusnya, dalam novel ini masyarakatnya juga mengamalkan budaya kasih sayang. Kasih sayang dalam novel ini dapat dilihat daripada dua aspek yang berbeza iaitu kasih sayang seorang isteri terhadap suami dan juga kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya. Dalam konteks ini, watak utama yang merupakan pasangan suami isteri dalam novel ini menunjukkan kasih sayang yang utuh antara satu sama lain. Sebagai contoh, setelah kaki Lahuma menjadi semakin parah akibat tercucuk dek duri nibung, Jeha tetap setia di sisi suaminya. Jeha sanggup mencuci luka dan nanah yang berbau busuk dan hanyir pada kaki suaminya demi rasa kasih dan cintanya pada si suami. Walaupun Jeha sedar tuntutan untuk mengerjakan bendang masih belum selesai, tetapi dia tetap menjaga suaminya dengan sebaik mungkin. Berikut adalah contoh yang menunjukkan kasih sayang Jeha terhadap suaminya, Lahuma :
Petang itu, Jeha tidak turun ke sawah. Kaki suaminya dicelur dan dituam lagi. Ubat ramuan dicari dan ditambah. Beberapa kali kain panas diusap-usap ke atas kaki yang bengkak itu. Lahuma terbaring saja sepanjang petang itu. Jeha menghembus-hembuskan kaki itu. Akhirnya, Lahuma terlena. Jeha menghembus lagi perlahan-lahan hingga kelopak mata Lahuma benar-benar terkatup. Kaki bengkak yang tersidai di atas ribanya itu perlahan-lahan diangkat dan diletak pula ke atas bantal lasam. Dengan hati-hati dia meninggalkan suaminya. (Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 125)
Seterusnya, budaya kasih sayang dalam novel ini turut dipaparkan melalui watak Jeha sebagai ibu yang amat menyayangi anak-anaknya. Anak-anak Jeha terdiri daripada tujuh orang semuanya iaitu Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah. Selepas kematian Lahuma, Jeha meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja kuat membanting tulang di sawah untuk mencari rezeki bagi menyara anak-anaknya. Jeha terpaksa mengetepikan kesedihan akibat daripada kematian suaminya, dia bertekad untuk mengerjakan sawah bagi menyara kehidupan anak-anaknya. Perkara ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah ini :
… Dan hilanglah wajah Lahuma daripada pandangannya.
Tetapi, pandangan itu Cuma pada mata Jeha saja. ‘Lahuma berada di manamana,’ fikir Jeha. Lahuma menyuruhnya ke bendang esok. Sanah dan Milah dan anak-anak yang lain mesti diberi makan. Dan makanan itu Jeha cukup faham. Hanya nasi saja yang menjadi bahan selama ini. Hanya bendang itulah satusatunya pusaka Lahuma yang akan menyambung dia dan nyawa anak-anak tujuh orang itu. (Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 159)
5.1.3 Adat Merisik Kebiasaannya, masyarakat Melayu mengamalkan adat-adat tertentu dalam proses perkahwinan. Antara adat yang diamalkan adalah seperti adat merisik atau meminang, adat bertunang dan seterusnya adat bersanding. Begitu juga dalam novel ini, masyarakatnya turut mengamalkan budaya atau merisik. Situasi ini dapat dilihat ketika Lahuma dan Jeha sedang berbicara tentang anak sulung mereka iaitu Sanah. Sanah dikatakan sudah meningkat dewasa dan mampu untuk melakukan kerja-kerja rumah dengan cekap. Sehubungan itu, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang datang merisik puteri sulung mereka, Lahuma akan memberi keizinan sekiranya pihak tersebut daripada golongan keluarga yang baik-baik. Situasi ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah ini :
“Tak lama lagi datanglah risik, sungut Jeha yang masih berada di belakang. “Sanah tu dah bertubuh sekarang”. Lahuma tidak menyahut kata-kata Jeha. Anak sulungnya itu pantas membuat kerja. Kalau setakat padi seguni itu, dapat ditumbuknya sampai habis.
… “Kalau datang risik?” duga Jeha lagi. “Lepaskan saja kalau yang datang tu boleh tahan.” (Ranjau Sepanjang Jalan,30)
5.2
Pandangan Hidup
5.2.1 Kemiskinan Hidup Masyarakat Petani
Lazimnya, masyarakat akan mengaitkan kemiskinan dengan penderitaan atau kesusahan. Golongan yang miskin akan dikatakan melarat kehidupannya. Berdasarkan novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, kehidupan masyarakat petani
digambarkan sebagai golongan yang miskin. Mereka hanya bergantung pada hasil tanaman padi semata-mata bagi menyara kehidupan. Justeru, golongan ini akan berusaha sedaya upaya untuk melawan perkara-perkara yang menjadi halangan tanaman padi mereka untuk tumbuh dengan subur. Misalnya, penduduk Kampung Banggul Derdap berhabis-habisan melawan serangan ketam, burung tiak dan juga banjir yang melanda tanaman mereka. Sekiranya mereka membiarkan sahaja tanaman mereka diganggu oleh ketiga-tiga perkara tersebut, pasti mereka akan kebuluran tanpa makanan. Hal ini kerana padi adalah sumber rezeki mereka sejak turun-temurun. Contohnya adalah seperti berikut :
“Hidup kaum tani, fikir Jeha, akan hidup di tengah-tengah lumpur. Akan berkubang macam kerbau. Akan berjemur panas macam tanah tandus. Akan basah macam terendam di tengah-tengah banjir besar. Mereka akan memungut ketam dan membunuh binatang bedebah itu. Mereka harus belajar membunuh. Membunuh setiap benda yang akan menghalang pada mereka. Burung tiak yang akan datang berjuta-juta dan berlaksa-laksa. Jeha terasa lapang dadanya bila teringat Lahuma yang akan disambungkan perjuanngannya hingga ke anak cucu cicit. Lahuma yang banyak memberi tenaga kepada seluruh keluarga.” (Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 120)
5.2.2 Berpegang Kuat Pada Ajaran Islam
Islam merupakan agama yang mengimani satu Tuhan, iaitu Allah. Ajaran Islam adalah berlandaskan seperti mana yang tercatat dalam Al-Quran. Sehubungan itu, dalam novel ini terdapat satu pandangan yang menunjukkan watak-watak dalam novel ini berpegang kuat pada ajaran Islam. Misalnya, Lahuma sentiasa menunjukkan sifat patuhnya kepada pencipta dengan cara menunaikan solat secara berjemaah dan berdoa bersama-sama dengan isterinya. Sifat Lahuma ini dapat dilihat dalam petikan ayat berikut :
Malam merangkak dari senja ke maghrib dan terus masuk waktu isyak. Lahuma sedang bertimpuh di atas tikar mengkuang sambil kedua-dua belah tangannya tercantum menadah langit. Jeha yang berada di belakangnya dalam keadaan serba putih bertimpuh dengan kemas sekali. Mukanya ditutup rapat dengan kedua-dua belah tapak tangan. Maing-masing bermohon doa kepada Allah S.W.T.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 14)
Selain itu, Lahuma juga percaya dengan kekuasaan Allah. Oleh itu, sebelum memulakan kerja-kerja di sawahnya, Lahuma memohon perlindungan terlebih dahulu dengan cara berdoa kepada Allah S.W.T. Dia berdoa agar dilindungi daripada segala bencana atau perkara-perkara yang tidak diingini. Berikut adalah contoh yang menunjukkan situasi Lahuma sedang berdoa memohon pada Allah S.W.T :
Azam lahuma tidak mahu melangkah turun esok pagi-pagi tanpa keizinan Yang Maha Esa. Kedua-dua belah tangannya ditadah. Sudut hatinya melupakan segala kerumitan, hanya tertumpu pada ALLAH. ”Ya ALLAH, Yang Maha Besar, Yang Maha Agung, benarkanlah aku mula bekerja esok dan biarlah selama itu aku dilindungi oleh-MU. Jauhkan aku daripada segala bencana alam, daripada segala penyakit, daripada lipan-lipan dan ular-ular dan kala jengking yang bisa-bisa. (Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 14-15) 5.2.3 Percaya Pada Qadak dan Qadar
Percaya pada qadak dan qadar membawa maksud percaya pada ketentuan Allah S.W.T. Sebagai hamba, manusia perlu redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan kepadanya. Novel Ranjau Sepanjang Jalan memperlihatkan pandangan hidup yang dimiliki oleh masyarakatnya yang percaya pada qadak dan qadar yang ditetapkan oleh Allah. Hal ini jelas sekali dapat dilihat dalam diri Lahuma dan juga Jeha. Contohnya adalah seperti di bawah ini :
Lahuma dan Jeha cukup percaya bahawa mereka juga akan mempunyai pegangan yang sama. Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Allah S.W.T. Kini, pegangan itu telah banyak memberi ketenangan hidup kepada mereka sekeluarga. (Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 2)
Berdasarkan contoh di atas, sifat redha dengan ketentuan qadak dan qadar dapat dilihat dalam diri Lahuma dan Jeha kerana mereka percaya bahawa ajal maut serta rezeki kesemuanya ditentukan oleh Allah S.W.T. Mereka tidak pernah kesal dengan kekurangan yang mereka alami walaupun sekali. Mereka hanya redha dengan ketentuan-Nya agar hidup lebih tenang dan harmoni.
6.0
Nilai ilmu
Dalam karya-karya baik karya agung tradisional mahupun karya agung moden, nilai ilmu memang selalu diselitkan oleh pengarang atau penukil. Menurut Mohd Rashid MdIdriset al. (2014), dalam karya tradisional Melayu terdapat gambaran menyeluruh tentang budaya ilmu orang Melayu. Konsep nilai menurut kamus dewan edisi keempat (2010)adalah merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan tara, manakala ilmu pula dirujuk sebagai ilmu pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Maknanya, nilai ilmu ini boleh diringkaskan sebagai pengetahuan yang mempunyai nilai dan berguna kepada penerima maklumat atau pembaca teks tersebut. Dalam karya-karya agung, terselit pelbagai nilai ilmu yang sesuai dengan latar karya tersebut dihasilkan. Dalam karya agung moden, iaitu novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad juga mempunyai beberapa nilai ilmu yang berguna kepada pembacanya khususnya ilmu yang berkaitan dengan masyarakat Melayu. Antara nilai ilmu yang terdapat dalam karya tersebut ialah ilmu bercucuk tanam, ilmu perdagangan dan ilmu agama.
6.1
Ilmu bercucuk tanam
Novel Ranjau Sepanjang Jalan ini memang berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat petani di kampung. Dari awal hingga akhir bab novel ini, perkembangan cerita memang fokus kepada kehidupan keluarga Lahuma yang menjadikan bertanam padi sebagai sumber utama rezeki. Kesusahan dan kesungguhan masyarakat petani di kampung BanggulDerdap, Sik Kedah menggambarkan betapa menyelamatkan sebutir padi daripada menjadi mangsa burung Tiak, ketam dan bencana alam itu sangat susah dan perit sekali. Dalam novel ini, pengarang menyelitkan cara petani menanam padi. Contohnya seperti berikut:
Lahuma meneruskan kerjanya mengasah parang. Esok belukar itu akan ditebas. Esoklah akan bermulanya hari dia menanam padi. Selepas menebas, tanah itu akan digembur dan dirata. Padi akan ditabur. Dan sebelum menunggu semai itu cukup usianya, Lahuma anak-beranak akan turun ke sawah. Rumput dan menerung tebal terpaksa ditajak hingga tercabut perdu-perdu dan akar-akarnya. (Ranjau sepanjang jalan, 2006:11).
Berdasarkan petikan daripada novel tersebut, dapat dilihat bahawa pengarang cuba untuk menerangkan urutan menanam padi. Bermula dari menyediakan peralatan kemudian petani perlu menebas tapak untuk menanam padi sebelum
merata dan mengembur tanah. Seterusnya, benih padi akan disemai. Sementara menunggu semaian tersebut cukup untuk dipindahkan, petani perlu menajak rumput dan menerung yang menguasai tapak menanam padi.
6.2
Ilmu agama
Keluarga Lahuma yang menjadi fokus utama jalan cerita novel ini hidup dihimpit kemiskinan. Sekiranya pembaca memang menghayati karya ini, kemiskinan yang digambarkan boleh menyebabkan keluarga Lahuma ini lemah semangat untuk meneruskan hidup namun keluarga ini tetap tabah dan berpegang kepada agama. Kemiskinan adalah keadaan kekurangan terhadap perkara-perkara yang biasa diperlukan oleh seseorang individu seperti makanan dan minuman, pakaian serta tempat tinggal kerana keperluan ini sangat berkait rapat dengan kualiti hidup manusia. Keluarga Lahuma menganut agama Islam dan mereka berpegang teguh kepada anutan tersebut. Contohnya, Lahumaredha dengan takdir dan ketentuan yang diberikan Tuhan kepada keluarganya. Lahuma tidak putus-putus berdoa kepada-Nya. Lihat petikan berikut:
“Aku tak akan menganiayai segala insan dan makhluk-MU. Aku tak akan membunuh segala bencana yang tak mengganguperjuanganku dan seluruh keluargaku,” rintih Lahuma dalam doanya. (Ranjau sepanjang jalan,2006:25).
Dari awal bab dalam novel ini, Shahnon Ahmad memberi watak Lahuma sebagai seorang yang sentiasa berpegang kepada agama. Bukan setakat Lahuma, isiterinyaJeha juga sentiasa percaya kepada Tuhannya. KeredhaanJeha, iaitu isteri Lahuma terhadap takdir dan ketentuan Allah dilihat pada contoh beikut:
“Namun tekad hati Jeha tidak juga luput. Bahaya di tangan ALLAH. Mati hidup Lahuma di tangan ALLAH. ALLAH boleh memelihara Lahuma. ALLAH boleh mengambil nyawa Lahuma.” (Ranjau sepanjang jalan, 2006:51-52)
6.3
Ilmu perdagangan
Walaupun novel ini berlatarkan kehidupan masyarakat tani tetapi mereka tetap juga melibatkan diri dalam perniagaan. Contohnya, Lahuma ingin menjual batang pinang kepada tauke-tauke Cina bagi mendapatkan sedikit wang sesudah habis musim mengetam. Lihat petikan berikut:
Dia cuba menebang batang pinang di belukar untuk dijual kepada tauketauke Cina yang membawa batang pinang itu ke laut untuk dibuat pancang pukat. (Ranjau sepanjang jalan,2006: 10).
6.4
Ilmu menangkap ikan
Sinonim dengan latar belakang kehidupan kampung, dalam karyanya ini Shahnon Ahmad menyelitkan ilmu menangkap ikan. Dalam novel ranjau sepanjang jalan ini, Lahuma menangkap ikan apabila ada waktu terluang khususnya selepas habis musim mengetam padi. Kewujudan istilah-istilah yang berkaitan dengan cara untuk menangkap ikan menunjukkan ilmu ini memang ada dalam novel ini. Contohnya seperti berikut:
Cuma sekali-sekala Lahuma membuat bubu dan nada untuk menangkap ikan. (Ranjau sepanjang jalan,2006:10).
Berdasarkan contoh petikan tersebut, wujud istilah bubu dan nada yang merupakan perkakas untuk menangkap ikan. Melalui bacaan, pembaca dapat mengetahui bahawa bubu dan nada adalah cara tradisional yang digunakan oleh masyarakat kampung untuk menangkap ikan.
7.0
Seni kepengarangan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), seni bermaksud karya yang dicipta dengan bakat, manakala kepengarangan bermaksud perihal yang berkaitan dengan pengarang. Justeru itu, seni kepengarangan dapat ditakrifkan sebagai karya yang digarap oleh pengarang mengikut identiti atau cara mereka berkarya dengan gaya dan pembawaan mereka sendiri.
Dalam novel ranjau sepanjang jalan, terdapat beberapa teknik atau cara yang dikesan melalui seni kepengarangan yang digunakan oleh pengarangnya iaitu Shahnon Ahmad. Seni kepengarangan ini terhasil daripada cara pengarang menghasilkan penulisannya berdasarkan cara pengolahan serta pengalaman pengarang tentang sesuatu penulisan yang dicipta.
7.1
Menggunakan bahasanya yang ringkas tetapi padat
Dalam novel ini, Shahnon Ahmad mengaplikasikan seni kepengarangan dengan menggunakan bahasanya yang ringkas tetapi padat. Walaupun pengarang menggunakan perkataan-perkataan yang biasanya digunakan oleh orang-orang lain, namun perkataan-perkataan itu dapat melengkapkan apa yang mahu disampaikannya. Justeru, kita seolah-olah diberi gambaran yang jelas tentang peristiwa dalam novel tersebut. Selain itu, Shahnon juga gemar menggunakan dialek Kedah dan bahasa daerah tetapi tidak keterlaluan.
7.2
Teknik penggunaan watak begitu jelas dan berkesan
Shahnon Ahmad turut mengarang menggunakan teknik penggunaan watak yang begitu jelas dan berkesan. Hal ini dapat dilihat melalui watak-watak yang dibawa dalam novel ini disamping perwatakan yang diolah dengan jalan cerita dan latar tempat yang menjadi tunjang hidup cerita ini. Sebagai contoh, watak Lahuma dan Jeha yang menjadi watak utama dalam cerita ini digarap dengan penuh penghayatan sebagai seorang petani yang sangat miskin dan hanya bergantung hidup kepada hasil tanaman padi mereka. Justeru, melalui perwatakan yang diceritakan, pembaca berasa peristiwa itu benar-benar berlaku bukannya daripada cetusan idea pengarang. Watak-watak yang digunakan seolah-olah memaparkan perwatakan manusia sebenar dalam sesebuah masyarakat tersebut.
7.3
Teknik penceritaan
7.3.1 Imbas Kembali Pengarang banyak menggunakan teknik penceritaan imbas kembali dalam Novel Ranjau Sepanjang Jalan ini. Teknik penceritaan imbas kembali dapat ditakrifkan sebagai ‘flashback’ iaitu mengenang kembali peristiwa atau perkara yang telah berlaku. Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya.Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman. Sebagai contoh, dalam novel ini, watak utamanya, Lahuma teringat akan serangan ketam dan lintah sepanjang proses menanam padi. Lahuma teringat akan lintah-lintah gajah yang liar berenang mencari betisnya. Sekurang-kurangnya, tahun ini secupak darahnya akan terlepas ke perut lintah. Lahuma teringat pada ketam-ketam halus yang menggigit-gigit batang padi mudanya tahun lalu. Bukan sedikit tetapi berpuluh-puluh ribu jumlah ketam putih itu merosakkan tanamannya. Teringat ketam itu dipungut dan kemudian dihenyak-henyak dengan tumit. (Ranjau sepanjang jalan, 2006: 10)
Seterusnya, teknik imbas kembali ini juga dapat dilihat melalui watak Jeha iaitu isteri Lahuma yang mengenang kembali peristiwa semasa dia terserempak dengan ular tedung yang hampir-hampir saja membunuhnya tetapi sempat diselamatkan oleh suaminya. Petikan imbas kembali ini dapat dilihat seperti yang berikut: Dia teringat bagaimana dia terkena bahana ular tedung dulu. Bagaimana Lahuma menerkam dan mematahkan leher ular yang bisa itu. Bagaimana Lahuma cincang ular itu hingga hancur. (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 103)
7.3.2 Imbas Muka Imbas muka merupakan cara pengarang memberikan bayangan awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan. Teknik imbas muka dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku. Dalam novel ini, teknik imbas muka banyak digunakan oleh pengarang untuk menjadikan cerita ini boleh diteka dari awl lagi oleh pembaca. Sebagai contoh, watak utamanya Lahuma dan Jeha banyak digunakan dalam penggunaan teknik imbas muka ini. Contohnya, dalam novel ini, Lahuma terfikir akan apa yang bakal terjadi kepada sawah dan keluarganya. Lahuma juga berfikir tentang masa depan anak- anak.
Selain itu, Jeha telah merancang tentang pengurusan sawah pada tahun berikutnya. Jeha juga berfikir tentang apa yang akan terjadi kepada anakanaknya serta sawah milik keluarganya sekiranya dia mati.
7.3.3 Monolog Monolog dapat ditakrifkan sebagai pertuturan kepada diri sendiri sama ada boleh disuarakan atau diucapkan dalam hati. Monolog tidak ditujukan kepada orang lain dan tidak memerlukan reaksi ataupun jawapan daripada orang lain. Monolog hanya ada dua sahaja iaitu monolog dan monolog dalaman. Dalam novel ini, watak-wataknya sering digunakan sebagai watak yang menuturkan monolog. Sebagai contoh, Lahuma bermonolog tentang upah untuk membayar traktor. Contoh petikan yang memaparkan monolog ini ialah:
Cukup kalau menajak dan mencangkul saja. Lagipun, kalau menggunakan traktor akan makan banyak ringgit. ‘Serelung lapan ringgit,’ fikir Lahuma. Kalau 14 relung, sudah berapa? Dia cuba mengira dalam kepalanya. (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 79) Selain itu, pengarang turut menyelitkan teknik monolog dalaman dalam novel ini. Sebagai contoh, monolog ini dituturkan oleh Lahuma terhadap perosak yang mengganggu keluarganya sepanjang proses mereka menanam padi iaitu lintah kerbau. Monolog dalaman yang ditunjukkan ialah:
Aku tidak akan membunuh kau, kalau kau tidak menghisap darahku. Tetapi, bila aku habis menabur semai aku akan mengharungi air ini. Dan dikala itu, kalau kau semua masuk datang mengapuk pada betisku dan menghisap darahku, darah isteriku, darah anak-anakku, aku tidak teragak-agak membunuh kamu semua. Aku akan cincang dengan parang tajam ini. Aku akan bubuh racun kesemuanya, tegas suara hati Lahumasebagainekad dia akan melakukannya. (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 22-23)
7.3.4 Dialog Dialog merupakan kata-kata yang dituturkan oleh watak-watak dlm drama atau fiksyen. Dalam sesebuah cerita ataupun novel, kebanyakan pengarang menggunakan teknik dialog dalam menampakkan percakapan atau perkara yang diucapkan oleh watak yang digunakan. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, pengarangnya menggunakan dialog yang dituturkan oleh Lahuma dan Jeha. Sebagai contoh, dialog yang dimuatkan dalam novel ini ialah:
“ Kalau anak padi tumbang kerana ketam, boleh juga saya sulam. Tetapi kalau tiak datang mengamuk bila padi menguning, apalah nasib kita tahun ini? Burung tu bukan seekor dua. Bukan berpuluh dua, tapi ratus ribu. Terlalu banyaknya.” “ Ketam dan tiak itu insan seperti kita juga. ALLAH menguasai segala-galanya. Kalau burung-burung itu nak datang juga, kita hanya membiarkan saja. Hanya ALLAH yang boleh melarang mereka. Hanya AALH yang sanggup menegah mereka.” (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 18-19)
7.4
Teknik Pemerian/ Deskriptif
Pemerian dapat ditakrifkan sebagai hal atau cara memerikan sesuatu atau penghuraian tentang sesuatu perkara. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, teknik pemerian atau lebih dikenali sebagai deskriptif ini banyak digunakan oleh pengarang untuk memerihalkan sesuatu perkara. Sebagai contoh, pengarang memerihalkan tentang kerosakan padi akibat daripada serangan burung tiak yang menyebabkan tanaman padi Lahuma sekeluarga mengalami kerugian. Petikan pemerian ini dapat dilihat melalui petikan ini:
Padi-padi itu akan habis menjadi hampa kalau tiak turun berkawan-kawan tahun ini. Padi-padi yang berkapuk di tangkai-tangkai yang sebesar jari kelengkeng budak itu akan tanggal begitu saja. Tangkai-tangkai yang meliuk-liuk berat menahan buah-buah padi akan menjadi kosong. Tiak dari rimba lain akan datang lagi. Dari gunung yang nampak tersangat jauh itupun akan datang juga apabila ternampak padi masak. (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 299)
Seterusnya, pengarang juga turut menggunakan teknik pemerian ini dalam menghuraikan cara mengerat perdu padi yang dilakukan oleh Sanah dan adikadiknya.
Malam itu padi masak tidak diketam setangkai demi setangkai lagi. Dikeratnya perdu-perdu padi dikerat hingga bertimbun-timbunjerami bersama tangkai yang telah jarang-jarang bergayutan dengan buah-buah padi itu…padi bersama jerami bertimbun-timbun dalam petak…padi itu dipukul di dalam tong kosong di situ juga. Berkecai-kecai buah-buah yang tinggal itu masuk tong. Tangkai-tangkainya remuk apabila tertampan juring-juring tong yang tajam itu. Buah-buahnya berkecai jatuh lepas seperdu lagi. (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 313)
8.0
Seni bahasa
Menurut Hashim Awang dalam Abu Hassan dan Mohd Rashid MdIdris dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014), gaya bahasa ialah cara menggunakan katakata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga didefinisikan sebagai penyusunan kata, iaitu satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran, dan tujuannya. Antara gaya bahasa yang digunakan dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006), adalah seperti yang berikut:
8.1
Gaya Bahasa Pengulangan
Gaya bahasa pengulangan ialah gaya bahasa yang mengandungi unsur-unsur pengulangan bunyi, suku kata, kata, frasa atau bahagian ayat yang dianggap penting untuk menghasilkan kesan dan memberi tekanan dalam sesebuah konteks yang sesuai.
(i)
Anafora
Anafora merupakan pengulangan perkataan yang sama pada permulaan klausa. Terdapat beberapa petikan yang dipetik dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006) yang mengandungi skema perulangan anafora.
Bab 1 dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006), pengarang menggunakan skema perulangan anafora pada permulaan ayat iaitu pengulangan perkataan padi dan bawa seperti petikan di bawah ini:
Padi ditanam. Padi dijemur. Padi dimasak dan padilah yang menyambung hidup mereka sejak zaman-berzaman ini. (Ranjau Sepanjang Jalan: 3)
Bawa parang ke mari. Bawa batu asah ke mari. (Ranjau Sepanjang Jalan: 8)
Petikan dalam bab 2 Ranjau Sepanjang Jalan (2006) juga mengandungi unsur perulangan anafora, iaitu perkataan singkirkan. Petikan ini juga menceritakan
tentang Lahuma berdoa kepada Allah agar padinya dijauhkan daripada segala banjir besar dan kemarau panjang. Singkirkan segala banjir besar yang boleh melimpahi padiku. Singkirkan kemarau panjang yang mengeringkan tanah bendangku. (Ranjau Sepanjang Jalan: 15) (ii)
Repitasi
Repitasi ialah pengulangan perkataan di tengah baris. Berikut merupakan contoh petikan yang dipetik dalam Shahnon Ahmad (2006):
Lahuma pantang menyebut nama-nama bencana itu kuat-kuat. Akan menimpakah bencana yang teruk tahun ini? Lahuma tidak dapat memikirkan akibatnya kalau kesemua bencana itu menimpa. (Ranjau Sepanjang Jalan: 68)
Petikan bab 5 ini mengandungi pengulangan perkataan bencana ditengah baris dalam setiap ayat di atas yang dikenali sebagai repitasi.
8.2
Gaya bahasa pertautan
Gaya bahasa pertautan dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014) merupakan hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik, perumpamaan atau tamsilan.
(i)
Disfemisme
Menurut Mohd Rashid MdIdris et al. (2014), disfemisme ialah kata-kata kasar untuk tujuan tertentu. Antara contoh petikan yang mengandungi gaya bahasa pertautan iaitu, disfemisme: Lahuma teringat pada lintah-lintah gajah yang liar berenang mencari betisnya. (Ranjau Sepanjang Jalan: 11) Kali ini, dia akan siap dengan kawah untuk merebus ketam-ketam jahanam itu. (Ranjau Sepanjang Jalan: 12)
Petikan di atas diambil dari bab 1 yang menceritakan seorang watak bernama Lahuma teringat akan lintah-lintah yang menghisap darah pada betis dan sangat
geram terhadap ketam-ketam yang selalu merosakkan tanamannya. Pengarang ingin menyatakan bahawa lintah-lintah sebagai haiwan liar dengan menggunakan perkataan liar serta ketam-ketam sebagai haiwan yang tidak berguna dengan menggunakan perkataan jahanam.
(ii)
Eufemisme
Ungkapan yang lebih halus sebagai pengganti ungkapan yang dirasakan kasar dikenali sebagai eufemisme. Beberapa petikan yang berkaitan dengan unsur eufemisme yang dipetik dalam Shahnon Ahmad (2006):
PADA sebelah petangnya, mereka tiga beranak berangkat lagi ke baruh. (Ranjau Sepanjang Jalan: 78)
Petikan di atas dipetik dari Bab 6 dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006), pengarang menggunakan perkataan berangkat untuk menggantikan perkataan pergi. Hal ini demikian kerana, perkataan berangkat lebih halus berbanding dengan perkataan pergi.
8.3
Gaya bahasa pengguguran
(i)
Asidenton
Asidenton dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014) merupakan pengguguran kata hubung. Berikut adalah petikan yang mengandungi asidenton:
Makan tidur, makan tidur. (Ranjau Sepanjang Jalan: 11)
Petikan di atas ini dipetik dalam bab 1 dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006) yang menggugurkan kata hubung dan iaitu, dikenali sebagai skema pengguguran asidenton.
8.4
Gaya bahasa perbandingan
Gaya bahasa perbandingan dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014), merujuk kepada penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat membandingkan dua hal pada hal berlainan ataupun sengaja dianggap sama.
(i)
Personafikasi
Personafikasi merujuk kepada gambaran yang menganggap benda-benda dan idea seperti manusia. Antara beberapa petikan yang mempunyai unsur personafikasi:
Malam merangkak dari senja ke maghrib dan terus masuk waktu isyak. (Ranjau Sepanjang Jalan: 14)
Bab 2 dalam Shahnon Ahmad (2006), pengarang menyatakan bahawa malam disifatkan dengan perlakuan manusia, iaitu dengan menggunakan perkataan merangkak. Merangkak merupakan perbuatan atau perlakuan manusia.
Petikan di bawah ini pula dipetik dalam bab 5 Ranjau Sepanjang Jalan (2006), pengarang mengibaratkan bukit dan hutan sebagai manusia yang memiliki sifat gagah perkasa.
Kemudian, pandangannya dialihkan ke arah bukit dan rimba raya yang gagah perkasa bagaikan memagari Kampung BanggulDerdap daripada segala bencana alam. (Ranjau Sepanjang Jalan: 63)
Seterusnya, petikan di bawah ini diambil dari bab 11 yang menunjukkan unsur personifikasi iaitu, mengoyak-ngoyak merupakan perbuatan manusia.
Anak-anaknya akan turun ke sawah esok melihat traktor yang akan mengoyakngoyak kulit bendang itu. (Ranjau Sepanjang Jalan: 153)
(ii)
Simile
Simile dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014), merupakan perbandingan secara langsung, iaitu seperti, bak, bagai, umpama dan sebagainya. Berikut petikan yang dipetik dalam Shahnon Ahmad (2006):
Dia cuba menutupkan matanya namun setiap kali cubaan itu dibuat setiap kali itulah pula tapak kakinya sakit bagaikan ditusuk dengan jarum halus. (Ranjau Sepanjang Jalan: 103)
Petikan di atas diambil dari bab 5 Ranjau Sepanjang Jalan yang mengandungi unsur simile, iaitu bagaikan manakala, petikan di bawah ini dipetik dalam bab 15 yang menggunakan unsur simile iaitu, seperti. Bangkai ketam itu dituang bertimbun-timbun seperti busut yang setinggi lutut. (Ranjau Sepanjang Jalan: 200)
8.5
Gaya bahasa pertentangan
Gaya bahasa atau majaz pertentangan merupakan seni bahasa yang menggunakan kata yang bertentangan, simbolik, dan berhubungan. Abu Hassan Abdul (2013), menjelaskan bahawa majaz pertentangan ini merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan dari segi makna, sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau yang berhubungan.
(i)
Hiperbola
Hiperbola merupakan penggunaan istilah yang membesar-besarkan, berlebihlebihan dan melebih-lebihkan sesuatu perkara. Antara petikan dalam bab 13 Ranjau Sepanjang Jalan (2006) yang mengandungi hiperbola: Sekurang-kurangnya ikan haruan itu boleh ditunggang oleh Kiah. (Ranjau Sepanjang Jalan: 183)
Petikan di atas tersebut menunjukkan istilah atau perkara yang berlebih-lebihan yang menyatakan bahawa ikan haruan boleh ditunggang oleh manusia. Hal ini demikian kerana tidak mungkin ikan boleh ditunggang oleh seseorang.
8.6
Sinkof
Sinkof ialah singkatan perkataan seperti mu, ku, kau, tak, nak dan sebagainya. Antara contoh petikan yang mengandungi unsur sinkof adalah seperti berikut: Singkirkan segala banjir besar yang boleh melimpahi padiku. (Ranjau Sepanjang Jalan: 15) Banyak orang di kampung nak tanam padi Malinja. (Ranjau Sepanjang Jalan: 16) “Ambil bakul-bakulmu semua,” arah Jeha kepada budak-budak yang terbeliak itu… (Ranjau Sepanjang Jalan: 215)
8.7
Peribahasa
Menurut Za’ba (1965) dalam Abdullah Yusofet al. (2009), peribahasa ialah susunan kata-kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Peribahasa terdiri daripada simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan dan sebagainya. Sebagai contoh, dalam petikan bab 16 Ranjau Sepanjang Jalan (2006) terdapat satu jenis peribahasa iaitu, simpulan bahasa. Simpulan bahasa yang terdapat dalam petikan ialah membawa mulut yang bermaksud bercerita tentang keburukan orang lain. Orang Kampung BanggulDerdapcepat membawa mulut. (Ranjau Sepanjang Jalan: 220)
9.0
Kesimpulan
Kesimpulannya, Ranjau Sepanjang ini diangkat menjadi karya agung Melayu kerana mempunyai nilai-nilai yang tersendiri. Karya ini juga mengisahkan keperitan hidup yang dialami oleh keluarga petani tetapi mereka tidak mudah putus asa dalam menghadapi kesusahan hidup. Karya agung Melayu telah memberi kesan budaya, pemikiran, pandangan, falsafah hidup dan sebagainya yang berkekalan sehingga ke hari ini.
Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2013) menyatakan bahawa karya agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui
bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu.
View more...
Comments